Hakikatnya, penutupan plaza tol itu adalah hasil usaha UMNO Selangor yang membawa suara rakyat untuk di­sampaikan kepada pucuk pimpinan negara, sejak sekian lama. Sebab itu amat lucu apabila Azmin secara tiba-tiba mendakwa ia adalah hasil perjuangannya. Persoalannya mengapa beliau tidak hapuskan kutipan tol tersebut sebaik sahaja memegang tampuk kuasa di Selangor?
Penulis ingin bertanya kepada Menteri Besar, di mana pembangunan Selangor yang boleh Azmin banggakan? Apakah faktor wow yang boleh beliau buktikan itu adalah usaha beliau dalam membangunkan negeri ini? Sedarkah Azmin bahawa ketika Pakatan Harapan mengambil alih negeri tersebut, mereka umpama masuk ke sebuah rumah yang sudah dipenuhi kelengkapan. 

Azmin dan gerombolannya hanya masuk dengan ‘mencuci kaki’ dan ‘memasang langsir’ sahaja, menikmati segala kemudahan yang telah tersedia, tetapi tidak semena-mena mendakwa segala kelengkapan itu adalah hasil usahanya. 

Begitulah lebih kurang analoginya dengan perangai Menteri Besar yang suka mengambil kredit daripada usaha orang lain. Apakah Azmin tidak tahu malu? Apakah Azmin menganggap rakyat di negeri ini terlalu bodoh hingga tidak tahu hujung dan pangkal siapa yang membangunkan Se­langor sehingga menjadi sebuah negeri maju seperti yang ada hari ini. Apa yang jelas hari ini, kerajaan Selangor di bawah pakatan pembangkang hanya tahu menjual aset-aset negeri untuk mendapat hasil yang cepat. 

Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Azmin tanpa segan silu menjual bangunan PKNS, menjual Hotel Brisdale, Hotel Quality Inn, lima unit apartmen di Mekah dan lain-lain milik kerajaan negeri, termasuklah menjual beberapa tapak perniagaan untuk peniaga-peniaga kecil milik majlis perbandaran kepada syarikat swasta dengan harga jutaan ringgit.

Malah lebih menyedihkan apabila kerajaan Pakatan Harapan telah menutup Yayasan Selangor, sebuah yayasan yang ditubuhkan ketika Selangor di bawah pemerintahan BN untuk membantu anak-anak Selangor luar bandar melanjutkan pelajaran mereka.

Begitu juga dalam soal rumah murah dan rumah mampu milik. Penulis merasa amat terkilan apabila Perbada­nan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang ditubuhkan untuk membina rumah-rumah mampu milik untuk rak­yat Selangor berpendapatan rendah, kini sudah bertukar dasarnya di bawah kerajaan pakatan pembangkang.

PKNS yang ditubuhkan bertujuan membantu rakyat Selangor khususnya orang Melayu dalam isu-isu pemilikan hartanah, kini seumpama sebuah syarikat pemaju swasta yang mahu mengaut untung tanpa mempedulikan lagi nasib rakyat yang menjadi asas penubuhannya, khususnya orang Melayu.

Apakah Azmin merasakan dengan ideanya memberikan perkhidmatan bas percuma sudah memadai bagi menutupi kegagalannya di mata rakyat? Apakah dengan adanya perkhidmatan bas percuma itu membuktikan Se­langor kini bertambah maju? 

Berapa kerat rakyat di negeri ini yang dapat menikmati perkhidmatan bas percuma itu dan apakah rakyat ­semakin kaya dan senang dengan perkhidmatan bas percuma yang dibangga-banggakan Azmin itu?

Penulis lihat Azmin kini hidup bagaikan di dalam fantasi. Seolah-olah Selangor yang membangun itu dibina oleh beliau dan gerombolan pakatan pembangkang yang baru dua penggal memerintah. Beliau perlu sedar daripada fantasinya dan melangkah masuk ke alam realiti. Realitinya hari ini, status Selangor sebagai sebuah negeri maju tercalar sebaik sahaja pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan negeri.

Isu air yang tidak pernah menjadi isu besar di negeri itu tiba-tiba menjadi isu kronik dan kritikal akibat kedangkalan pemimpin pembangkang yang lebih mengutamakan kepentingan politik mereka berbanding kesusahan rakyat.

Di zaman pemerintahan pakatan pembangkanglah, air di Selangor dicatu secara besar-besaran sehingga menyebabkan peniaga dan kilang-kilang industri di Selangor menghadapi masalah.

Pada zaman pemerintahan pakatan pembangkanglah, isu ketiadaan air menjadi begitu serius sehingga bertukar menjadi satu krisis di mana hampir keseluruhan rakyat Selangor, berada dalam kesusahan dan kepayahan akibat ketiadaan air.

Dan di zaman pembangkang jugalah Selangor digelar negeri ‘Darul Denggi’ apabila isu pengutipan sampah, tiada pemantauan projek pembangunan yang tidak efektif telah menyebabkan Selangor menjadi negeri nombor satu pa­ling banyak kes demam denggi di negara ini.

Azmin boleh bercakap apa yang beliau suka, tetapi hakikatnya beliau tidak mampu untuk menutup mata dan minda rakyat daripada melihat bermacam-macam kegagalan dan kelemahan di dalam pentadbiran pakatan pembangkang, khususnya di bawah pentadbirannya hari ini.

Bagi penulis, sepatutnya Azmin dan gerombolan pimpinan pembangkang di Selangor mengaku sajalah kelemahan mereka. Pimpinan pembangkang sebenarnya masih tidak mampu hendak mentadbir. Bukan mereka ini dapat menambah baik apa yang ada di dalam negeri, bahkan untuk menjaga dan mengekalkan pembangunan yang sedia ada juga mereka gagal lakukan.

Sebagaimana tunggang-langgang pembangkang me­ngurus tadbir parti dan pakatan mereka, begitu jugalah tunggang-langgangnya mereka dalam mentadbir negeri.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO. Selangor.