https://critoxium.com/shop/

Terkini

Harga minyak naik, kubu kuat Umno di Selangor goyah

Oleh 

JIKA sentimen pengundi di bandar Kuang boleh memberikan sebarang petunjuk peluang Umno di Selangor pada pilihan raya umum akan datang, nampaknya pakatan pemerintah bakal berdepan kekecewaan besar.

Dan ini adalah kerana pengundi di kubu kuat Umno itu sudah bersedia meluahkan kemarahan mereka berkaitan peningkatan harga minyak menerusi kertas undi.

Pada jelajah Umno malam semalam yang menampilkan Muhammad Muhammad Taib yang baru menyertai semula Umno setelah beralih arah kepada PAS dan kemudiannya PKR, khalayak kecil sejumlah 100 orang datang tetapi ramai yang meninggalkan ceramah itu apabila ia berlanjutan.

Bagi mereka yang tidak menghadiri ceramah itu, penjelasan mereka juga adalah punca kepada rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk yang semakin bertambah kepada kerajaan Barisan Nasional- peningkatan harga minyak.

“Saya tahu tentang ceramah dan (Muhammad Muhammad) Taib datang ke sini semalam, tetapi saya ada kerja lebih penting untuk buat misalnya isi tangki petrol saya,” kata Muhamad Kushairi Kamaruddin, seorang peniaga nasi ayam yang sudah menetap di Kampung Setia sejak 1990.

Semalam kerajaan mengumumkan harga minyak terbaru yang memecah rekod harga termahal sejak sistem apungan terurus bahan api diperkenalkan pada Mac.

RON95 naik 7 sen kepada RM2.39 seliter sementara RON97 naik 6 sen kepada RM2.66 seliter.
Harga diesel pula meningkat lima sen kepada RM2.25 seliter. Juga rekod harga termahal pernah dicapai di bawah sistem apungan terurus.

Harga minyak sudah naik lima minggu berturut-turut
.
“Tujuh sen sekarang, tujuh dulu, jika kumpul-kumpul, masih banyak,” kata Ketua Kampung Permata Latif Shah Hussin Shah.

“ Ia penting, terutama sekali untuk orang pendapatan rendah dan pengundi muda kawasan ini,” kata lelaki berusia 58 tahun yang merupakan penyokong setia Umno itu.

Katanya, kebanyakan penduduk bimbang bagaimana peningkatan harga minyak memberi kesan kepada belanja harian mereka, dan berapa banyak mereka masih ada “di hujung bulan untuk beri makan anak bini mereka”.

Kuang adalah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Selayang dan tidak pernah dimenangi pembangkang.

Adun Abdul Shukur Idrus dari Umno menang kerusi itu menentang calon PKR Tenku Maraziyah Tenku Sulaiman pada PRU2013 dengan majoriti 1,255 undi.

Bagaimanapun, pemimpin akar umbi Umno dan penyokong setia mereka percaya sekiranya kerajaan tidak serius menangani isu makan minum yang menekan penduduk Kuang dan penduduk pendapatan rendah lain di seluruh negara, keputusan pilihan raya umum akan datang boleh menyakiti BN.

Peniaga nasi ayam, Muhamad Kushairi berkata walaupun pengundi berusia di Kuang mungkin akan terus menyokong Umno, ramai pengundi muda sudah sedia memberikan sokongan kepada pembangkang.

“Disebabkan semua masalah minyak, ekonomi, duit, GST.
“Saya rasa PKR lebih baik di Selangor,” katanya. –

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.