https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kenali tentera siber Umno

Oleh

KETIKA blogger pro-Umno dan tentera siber dikenali dengan nama "budak sri kinta" mula aktif memuat naik pandangannya secara online, ia hanya dipenuhi dengan keinginan untuk mencabar kehadiran dominan pembangkang di media sosial selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.

Sembilan tahun selepas itu, apa yang bermula sebagai usaha sukarela kini jadi pekerjaan hampir sepenuh masa untuk membantu Umno memenangi perang politik dalam dunia media sosial, dan memastikan Barisan Nasional (BN) tidak sekali lagi mengulangi pencapaian terburuk mereka dalam PRU itu.

"Budak sri kinta" merupakan antara ribuan jentera siber Umno yang kebanyakannya terdiri daripada ahli dan penyokong Umno di peringkat pusat hingga ke akar umbi.

Mereka inilah pahlawan kekunci atau “keyboard warior” yang menggunakan platform media sosial untuk menangkis setiap serangan pembangkang terhadap kerajaan.

Tidak hanya terhad menangkis serangan, tentera siber itu menjadi tulang belakang dan sebagai medium informatif menyebarkan dasar dan kejayaan yang dibuat parti dan kerajaan kepada rakyat.

Katanya, kebangkitan tentera siber Umno tercetus pada PRU12 yang ketika itu menyaksikan BN hilang beberapa negeri.

"Ramai ketika itu tampil berjuang termasuk saya. Sebab sentimen pada masa itu kita tak nak DAP ambil alih Malaysia."

PRU12 pada 2008 menyaksikan BN mengekalkan kerusi Parlimen namun kalah di peringat Dewan Undangan Negeri dengan kehilangan Pulau Pinang, Selangor dan Kedah.

"Sebenarnya semua boleh jadi tentera siber ini asalkan pandai main di sosial media," kata blogger itu

"Kebanyakannya sukarelawan tapi ada juga yang buat sepenuh masa, daripada biro IT bahagian. Oleh itu agak sukar untuk kita tahu jumlah sebenar tentera siber," katanya.

Pengerusi Biro IT Umno Malaysia ialah Ahmad Maslan dan terdapat sembilan ahli jawatankuasa atau penyelaras setiap negeri.

Pada 4 November lalu, biro itu menganjurkan konvensyen tentera siber Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan kehadiran lebih 3,500 blogger.

Tentera siber Umno dibayar?

Ketika ditanya sama ada tentera siber dibayar atau tidak, blogger itu berkata situasinya bergantung berdasarkan pecahan kumpulan tentera siber.

Katanya, ada tentera siber sukarelawan dan memang tidak dibayar dan hanya menerima hadiah ketika majlis tertentu seperti berbuka puasa dan sebagainya.

"Macam saya setelah berapa lama dalam dunia media ada pemimpin parti yang memberikan sikit imbuhan bagi menampung perbelanjaan bil telefon, Internet dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga tidak menafikan ada tentera siber yang dibayar secara bulanan antara RM500 hingga RM3,000 oleh kumpulan tertentu melalui Pejabat Perdana Menteri selain diberikan peruntukan seperti telefon dan komputer riba.

Trend berubah

Blogger yang mahu dikenali sebagai Faisal Rohban berkata beliau menolak untuk dilabelkan sebagai tentera siber sebaliknya lebih senang dipanggil aktivis media sosial.

Beliau aktif di media sosial sejak 2008 tetapi sebelum itu banyak menyumbang artikelnya kepada akhbar Utusan Malaysia sehinggalah trend menulis di blog muncul di Malaysia.

Katanya, trend tentera siber kini mula berubah daripada dulunya identiti mereka disembunyikan dan banyak menggunakan nama gelaran tetapi kini mula mendedahkan nama.

“Sebelum ini saya tulis tentang sesuatu isu saya akan telefon pihak yang ada kaitan untuk kita sahkan supaya setiap apa kita tulis kena ada fakta sumber, dan cara ini pun dinasihatkan oleh pemimpin Umno.

"Lagi satu sukar juga untuk tentera siber sembunyikan identiti kerana kalau di Facebook pun sekarang syaratnya amat ketat, tak boleh ada akaun sembarangan nak buat."

Faisal yang menjalankan perniagaan sendiri berkata beliau tidak menerima apa-apa bayaran namun mengakui adanya sumbangan diberi dalam majlis khas tertentu.

"Kita memang tidak terima apa-apa wang pun tapi biasanya kalau ada sambutan majlis Aidilfitri dengan media sosial, bloger diberi hadiah."

Ditanya mengapa beliau mahu memperjuangkan parti itu walau tidak dibayar, Faizal berkata ia lebih kepada rasa tanggungjawab sebagai ahli Umno.

"Apabila kita kata dapat hasil faedah daripada kerajaan bukan bermakna kerajaan datang longgokkan duit seketul kepada kita.

"Ia melalui persekitaran ekonomi yang baik. Apabila ekonomi baik dan berkembang rakyat akan dapat faedah. Saya tidak pernah ada urusan perniagaan dengan kerajaan walaupun RM1."

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.