https://critoxium.com/shop/

Terkini

Sirah Nabawiyyah dan berpolitik

Oleh ABDUL HADI AWANG

 BERSEMPENA dengan memperingati kelahiran Rasulullah S.A.W pada bulan Rabiul Awal ini, umat Islam wajib mempelajari teladan dan contoh pelaksanaan Islam yang sempurna, sebahagiannya adalah aspek politik yang menjadi salah satu daripada peranan manusia diciptakan. Maka Allah menjadikan Rasulullah S.A.W adalah ikutan terbaik yang dipilih oleh Allah menjadi Rasul Akhir Zaman bagi sepanjang zaman dan dikuatkan dengan mukjizat ilmu daripada Al Quran.

Peranan Nabi Muhammad S.A.W membawa rahmat Allah kepada seluruh alam dan keadilannya pula terhadap semua, sehingga melangkah perbezaan agama, bangsa dan negara, termasuk wajib berlaku adil terhadap musuh, walaupun di saat kemuncak kemarahan dan kebencian, kerana menyahut seruan Allah S.W.T:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨ المائدة
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Maidah: 8)

Perdamaian didahulukan walaupun terhadap musuh yang menceroboh supaya melihat Islam yang diamalkan secara langsung, bukannya teori sahaja atau cerita daripada golongan yang dengki terhadap Islam dan menganggapnya penghalang nafsu si zalim. Ini berpandukan firman Allah:
وَإِن جَنَحُواْ لِلسَّلۡمِ فَٱجۡنَحۡ لَهَا وَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٦١ الأنفال
“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Anfal: 61)

Pendekatan dakwah Nabi Muhammad S.A.W berusaha menyelamatkan manusia seramai-ramainya, dengan penuh kebijaksaan dan memilih cara terbaik tanpa paksaan. Walau apa jua halangan sekalipun, Baginda S.A.W terus beristiqamah dan tetap berpegang kepada Islam tanpa boleh dihanyutkan oleh pihak lawan yang paling zalim tanpa batas.

Berkat kesabaran bersama ketegasan beristiqamah menjadikan cahaya Islam menembusi hati yang layak mendapat hidayah dan tidak boleh dikalahkan oleh musuh yang tidak layak mendapat hidayah kerana takabur dan kezalimannya.

Perjuangan Islam terus mara ketika kuat dan lemah. Marhalah Makiyyah yang paling mencabar pada masa paling lemah kerana tiada negara yang menaunginya, yang ada hanyalah beriman kepada Allah bersama Islam dan percayakan janji Allah akan kemenangan dunia dan akhirat.

Apabila menghadapi halangan yang menekan dan menyekat perjalanannya, dakwah terus mara mengambil setiap kesempatan dan ruang, diizinkan berhubung dengan pihak yang masih tidak menerima Islam.

Allah mengizinkan hubungan bernama Tahalluf (bersefahaman), Himayah (mendapat perlindungan), Taawun (bertolong-menolong) dan berbagai pendekatan kerjasama dengan pihak bukan Islam, yang ada titik persamaan dalam menghormati hak kemanusiaan dan bencikan kezaliman, walaupun masih tidak mahu menerima Islam.

Rasulullah S.A.W tetap mengambil setiap ruang tersebut dan peluang untuk menyatakan Islam secara dakwah dan melaksanakan perkara yang boleh dilaksanakan walaupun dalam melakukan syiar ibadat sahaja dan menunjukkan akhlak yang mulia, meskipun belum lagi dapat menegakkan cara kehidupan sehingga berpolitik menegakkan negara.

Rasulullah S.A.W dan para sahabat yang awal itu tetap teguh juga menyatakan Islam yang sempurna termasuk yang dihalang pelaksanaannya dan yang paling dibenci oleh musuh. Apabila Abu Talib, bapa saudara yang paling disayangi, disegani dan dihormati menyampaikan tawaran daripada pemimpin Makkah, mencadangkan supaya Rasulullah S.A.W ditabalkan menjadi raja dan dijanjikan harta kekayaan, tetapi syaratnya terus mengekalkan dasar, konsep dan sistem jahiliah dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat. Maka Rasulullah S.A.W menolak dan menjawab dengan tegas:
يا عم، والله لو وضعوا الشمسَ في يميني، والقمر في يساري على أن أترك هذا الأمر حتى يُظهره الله، أو أهلك فيه ما تركته. السيرة النبوية لابن هشام) 1/ 372(
“Wahai bapa saudara kesayanganku! Sekiranya diletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan (menegakkan Islam) ini sehinggalah Allah memenangkannya atau aku mati sebelumnya (ketika masih dalam perjuangan), nescaya aku tidak meninggalkan perjuangan ini.” (Sirah Nabawiyah Ibnu Hisyam: 372/1)

Begitu juga Rasulullah S.A.W. menolak permintaan untuk menubuhkan kabinet bayangan sebelum kemenangan yang ditawarkan oleh Bani Amir. Baginda Nabi S.A.W juga menolak Bani Syaiban yang percayakan kebenaran Islam tetapi mahu menunggu kemenangan yang dilihat secara kenyataan tanpa bersedia menghadapi cabaran yang besar dalam perjuangannya.

Rasulullah S.A.W. hanyalah menerima golongan Ansar daripada Aus dan Khazraj yang berbaiah dan setia dengan baiahnya, sepertimana yang dinyatakan dalam firman Allah tentang mereka:
مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا ٢٣ لِّيَجۡزِيَ ٱللَّهُ ٱلصَّٰدِقِينَ بِصِدۡقِهِمۡ وَيُعَذِّبَ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ إِن شَآءَ أَوۡ يَتُوبَ عَلَيۡهِمۡۚ إِنَّ 
ٱللَّهَ كَانَ غَفُورٗا رَّحِيمٗا ٢٤ الأحزاب
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (23) (Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Dia kehendaki atau Dia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (24)” (Surah al-Ahzab: 23-24)

Inilah teladan perjuangan Islam yang beristiqamah. Inilah juga contoh yang wajib diikuti oleh semua ahli PAS yang ditubuhkan menjadi mata rantai perjuangan Islam yang tidak putus di sepanjang zaman. Teguh bersama aqidah, dasar dan matlamat perjuangan, serta bijak menangani pendekatan dakwah dan menghadapi cabaran perubahan semasa dan situasi, serta realiti masyarakat yang menjadi tujuan dakwahnya.

Langkah menyembunyikan cita-cita Islam hanya dalam keadaan darurat bagi golongan lemah yang disebut sebagai rukhsah, berpandukan firman Allah:
مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِهِۦٓ إِلَّا مَنۡ أُكۡرِهَ وَقَلۡبُهُۥ مُطۡمَئِنُّۢ بِٱلۡإِيمَٰنِ وَلَٰكِن مَّن شَرَحَ بِٱلۡكُفۡرِ صَدۡرٗا فَعَلَيۡهِمۡ غَضَبٞ مِّنَ ٱللَّهِ وَلَهُمۡ عَذَابٌ عَظِيمٞ ١٠٦ النحل
“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan daripada Allah dan mereka pula beroleh azab yang besar.” (Surah An-Nahl: 106)

Adapun para pemimpin Harakah Islamiyah dan pengikutnya yang berada di medan perjuangan hendaklah memilih ketegasan menyatakan Islam secara terbuka walaupun akibatnya sangat mencabar, yang disebut azimah bagi menyontohi para Rasul Ulu Al-Azmi berpandukan firman Allah kepada Rasulullah S.A.W:
فَٱصۡدَعۡ بِمَا تُؤۡمَرُ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٩٤ الحجر
“Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad) dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu.” (Surah Al-Hajr: 94)

Firman Allah:
لَتُبۡلَوُنَّ فِيٓ أَمۡوَٰلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡ وَلَتَسۡمَعُنَّ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ مِن قَبۡلِكُمۡ وَمِنَ ٱلَّذِينَ أَشۡرَكُوٓاْ أَذٗى كَثِيرٗاۚ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ فَإِنَّ ذَٰلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ ١٨٦
"Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: Banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).” (Surah Ali-Imran: 186)

Inilah petunjuk Al-Quran dan Sirah Nabawiyah dalam aspek aqidah, dasar dan matlamat. Adapun pendekatan dan strategi yang berkait dengan perkara ijtihad memerlukan kebijaksanaan dalam menghadapi perubahan dan perbezaan zaman, yang berlainan situasi dan realiti yang ditunjukkan oleh Sirah Nabawiyah yang sangat berkait dengan Asbab Nuzul dan berlakunya Hadis Rasulullah S.A.W. dalam perkara furu’.

Semua para pemimpin dan ulama gerakan Islam di seluruh dunia adalah pelopor gerakan tajdid yang mengikut perkembangan dan perubahan zaman masing-masing dengan beristiqamah di atas dasar dan matlamat perjuangannya.

Adapun tajdid adalah mengikut keadaan yang berubah. Apabila tamat tempoh pendekatannya kerana masyarakat berubah dan berlakunya perubahan situasi, realiti dan isu. Maka pendekatan mereka hendaklah dikaji semula dan dilakukan muhasabah, bukan semuanya dijadikan nas yang tidak boleh diubah seperti Al-Quran dan Hadis dalam perkara asas. Namun, mereka yang terdahulu tetap disanjung kerana telah menunaikan janji dan baiah masing-masing sehingga akhir hayat beristiqamah.

Petunjuk yang kekal untuk diteladani ialah Sirah Nabawiyah dan mukjizat daripada petunjuk Al-Quran dalam perkara prinsip, konsep dan matlamat perjuangan. Maka hendaklah difahami di antara perkara asas yang disebut sebagai Thawabit iaitu perkara yang tetap teguh dan wajib beristiqamah di atasnya tanpa perubahan serta menjadi aqidah perjuangan dan wawasannya daripada dunia sehingga akhirat.

Selain itu, hendaklah difahami juga perkara yang wajib berubah yang disebut Mutaghayyirat yang berhubung dengan strategi dan pendekatan menarik seramai mungkin pengikut bersama Islam, berpandukan pesanan Rasulullah S.A.W kepada menantunya Saidina Ali bin Abi Talib K.W.H yang berkobar semangatnya dalam peperangan Khaibar untuk menghadapi kaum Yahudi, musuh yang paling zalim. Tiba-tiba Rasulullah S.A.W. bersabda:
فَوَاللهِ لأَنْ يَهْدِيَ اللهُ بِكَ رَجُلاً وَاحِداً خَيْرٌ لَكَ مِنْ أنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَم. متفقٌ عَلَيْهِ
“Demi Allah! Sesungguhnya kejayaanmu menjadikan seseorang itu mendapat hidayah Allah (menerima Islam) lebih baik daripada kamu mendapat kenderaan paling mahal harganya”

Sikap terbuka Rasulullah S.A.W dalam menerima kebaikan dan akhlak mulia yang ada pada musuh, sembelihan kaum Yahudi itu dimakan dan kepercayaan kepada Taurat yang sebenar diiktiraf, namun tetap menolak kekufuran mereka dalam banyak perkara dalam kitab Allah seperti haramnya riba dan lain-lain.

Inilah politik matang dan sejahtera yang sinonim dengan konsep demokrasi yang mengizinkan PAS bersuara dan bergerak secara terpilih di Parlimen dan DUN. Di lapangan pula, PAS bersama rakyat dengan cara menijinakkan bukan meliarkan, berhujah dengan menerang bukan menyerang secara melulu dan tidak memutuskan hubungan dengan semua pihak berasaskan konsep ta’awun mengikut petunjuk Allah dan Rasulullah S.A.W.
وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ أَن صَدُّوكُمۡ عَنِ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ أَن تَعۡتَدُواْۘ وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢ المائدة
“Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidil Haram itu, mendorong kamu menceroboh dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah Al-Maidah: 2)

Sabda Rasulullah S.A.W:
انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا) صحيح البخاري)
“Tolong saudara mu yang berlaku zalim atau dizalimi”
Pendekatannya ialah menyelamatkan si zalim supaya berhenti dan bertaubat dan selamatkan yang menjadi mangsa kezaliman dengan membela dan mempertahankan haknya. Mendahulukan kemaafan kepada yang bertaubat dan insaf, bukannya menghukum secara dendam. Inilah kunci yang membawa kejayaan ketika Fathu Makkah dengan berduyun-duyunnya datang menganut Islam.
“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.