https://critoxium.com/shop/

Terkini

Jangan termakan janji Najib, Waytha ingatkan orang India

PETALING JAYA: Pemimpin Hindraf, P Waythamoorthy yang pernah menganggotai kabinet Datuk Seri Najib Razak mengingatkan kaum India supaya tidak menerima janji perdana menteri untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat itu.

Waytha dilantik senator oleh Najib sebagai memenuhi memorandum persefahaman bersama Barisan Nasional (BN) ketika pilihan raya umum 2013.

Waytha yang ditugaskan sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab menjalankan program memanfaatkan kaum India, dengan rancangan mewujudkan sebuah unit khas dengan kuasa eksekutif penuh.

Bagaimanapun, Waytha berkata pengalamannya selama 8 bulan dalam jawatan itu menyedarkan beliau yang Najib tidak pernah berniat untuk mewujudkan unit yang dijanjikan itu, memaksanya meletakkan jawatan pada Februari 2014.

“Dia asyik memberi alasan untuk melengah dan saya hanya boleh katakan yang dia tidak ingin mengganggu MIC,” kata Waytha merujuk parti komponen utama mewakili India dalam BN.

Waytha berkata peruntukan kerajaan kepada kaum India perlu melalui MIC, tetapi ia tidak sampai kepada tujuan asalnya.

“Terdapat juga peruntukan khas dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) tetapi nilainya yang berjuta-juta ringgit disalurkan kepada beberapa NGO di bawah nama pelbagai projek”.

“Penyiasatan menunjukkan kebanyakan NGO ini dimiliki pemimpin-pemimpin MIC. Program-program ini tidak memanfaatkan rakyat,” katanya

Waytha mengulas ucapan Najib semasa pembukaan perhimpunan agung parti Makkal Sakti baru-baru ini.

Najib antara lain berjanji untuk mementingkan kebajikan kaum India yang sedang berubah dari “masyarakat estet” kepada masyarakat moden.

Menurut Najib, mewujudkan dan melaksanakan Pelan Tindakan Masyarakat India adalah selaras dengan usaha ini, dan mengajak kaum India menyokong BN kerana gabungan itu satu-satunya yang mampu melaksanakan janjinya berbanding pembangkang.

Tetapi menurut Waytha, MoU yang ditandatangani Najib dan Hindraf selepas PRU13 untuk membantu masyarakat India adalah bukti janji Najib adalah sekadar “vetti pechu” (“cakap kosong”).

Katanya, Najib ketika itu bersetuju untuk menyelesaikan isu yang menjejaskan 800,000 pekerja estet terbuang.

Menurut Waytha, rancangan ekonomi Hindraf merangkumi latihan-semula untuk pelbagai sektor industri dan projek agro untuk mereka yang dibuang dari estet.

“Sebahagian rancangan Hindraf adalah membina 100,000 rumah mampu milik untuk pekerja estet selama 5 tahun. Peruntukan untuk bajet khas dipersetujui dan cadangan Hindraf sebanyak RM4.5 bilion diterima sebagai prinsip.

“Najib menyakinkan seluruh masyarakat India bahawa zaman mereka dipinggirkan dari ekonomi umum akan berakhir dengan penglibatan Hindraf dalam kerajaan yang akan memastikan semua janji dikotakan.

“Najib secara peribadi telah mangaku bahawa MIC tidak boleh lagi dipercayai untuk membela masyarakat India,” katanya.

Waytha berkata apa yang dibimbangi Najib pada masa itu ialah kehilangan undi kaum India akibat kempen “Undi Sifar untuk BN” yang dilancarkan Hindraf.

“Pengumuman Najib akan Rancanngan Kaum India Malaysia tidak mempunyai apa-apa yang baru kerana kebanyakannya adalah janji-janji dalam rancangan Hindraf yang terdahulu.

“Najib telah mencadangkan Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (Sedic) setelah peletakan jawatan saya (daripada Kabinet), tetapi rancangan ini juga telah gagal untuk memberi kesan kepada kehidupan India kelas bawahan.

“Jawatankuasa Pelaksanaan Khas untuk masyarakat India yang bertujuan untuk menangani isu kerakyatan di Malaysia adalah satu lagi kegagalan kerana tiada keazaman politik untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Waytha berkata turut menyindir ungkapan Najib yang terkenal iaitu “nambikei” (kepercayaan), dengan berkata ia sepatutnya disebut “nambikei throgi” (pengkhianat kepercayaan).

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.