ADA satu hal yang sangat jelas dalam lawatan Perdana Menteri Najib
Razak ke Singapura baru-baru ini, betapa beliau yakin – cukup yakin –
Barisan Nasional (BN) akan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dan
menang dengan cukup selesa.
Keyakinan itu terserlah semasa mesyuarat pegawai dan ketika
perbincangan sampingan, sehingga ternampak oleh pegawai-pegawai
Singapura itu akan berlainannya sikap dan gaya pemimpin yang terkait
skandal ini berbanding beberapa bulan sebelumnya.
Apakah keyakinan Najib untuk menang PRU14 ini berasaskan fakta, atau
hanya sekadar berani yang dibuat-buat sebagai satu helah untuk
memberitahu Singapura bahawa mereka akan terus berdepan dengannya lagi
walaupun siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih diteruskan?
BN percaya ia akan menang 140 kerusi Parlimen dan dapat semula
majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, sementara satu kaji selidik
dalaman meramalkan parti pemerintah itu boleh sapu sehingga 170 daripada
222 kerusi Dewan Rakyat.
Ada beberapa alasan kepada keyakinan itu: Ekonomi yang mengukuh,
pakatan pembangkang yang tidak padu serta kesungguhan PAS di bawah
kepimpinan Presiden Abdul Hadi Awang untuk bertanding sebanyak mungkin
kerusi dan memecahkan undi Melayu.
"BN yakin dapat menang sehingga 100 kerusi Parlimen di Semenanjung
Malaysia saja," kata satu sumber jentera pilihan raya BN
BN juga yakin mengekalkan sokongan yang diperolehinya selama ini di Sabah dan Sarawak, katanya.
Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, 165 kerusi ada di Semenanjung Malaysia, Sarawak 31 dan Sabah 25.
BN menang 133 daripada 222 kerusi pada PRU13, dengan 25 daripadanya
di Sarawak dan 22 di Sabah, satu keputusan yang lebih buruk berbanding
pilihan raya umum sebelumnya.
Prestasi itu lebih buruk berbanding 2008, tahun yang menyaksikan
peralihan besar sokongan rakyat kepada pembangkang, apabila BN buat
pertama kalinya sejak 1969 gagal menguasai dua pertiga majoriti di Dewan
Rakyat, menang 140 kerusi Parlimen.
Najib kali ini yakin hubungan Umno yang lebih baik dengan PAS, musuh
tradisinya dalam merebut undi Melayu, akan melonjakkan kedudukan BN dan
menyukarkan Pakatan Harapan menang dalam pertembungan tiga penjuru.
Dasar dan ekonomi
Kajian dan analisis menunjukkan BN untung kalau ada pertandingan tiga penjuru kerana sokongan kepada pembangkang akan berpecah.
PRU14 ini bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga
penjuru di hampir semua kerusi apabila BN akan berdepan bukan saja
dengan PH tetapi sebuah lagi blok pembangkang yang diketuai oleh PAS,
sebuah parti yang dekat dengan pengundi Melayu iaitu 60% daripada
keseluruhan pengundi.
BN juga lebih bersedia melangkah ke PRU14 berbanding pilihan raya
sebelum ini, kata pengarah strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim.
"(Najib) yakin kerana pemimpin senior Umno dalam kepimpinan tertinggi
turut memainkan peranan dan bekerja keras," katanya
Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Pemuda BN Zaidel Baharuddin
melihat Najib sudah berjaya mengembalikan keyakinan bukan saja parti
komponen BN bahkan pelabur dan komuniti peniaga.
"Pertama, BN sudah tak ada isu perselisihan fahaman dalaman sesama mereka. Umno dan komponen parti BN sudah kuat, sudah susun jentera.
"Kedua, dari segi ekonomi juga sudah berjaya. Penanda aras ekonomi
meningkat, eksport meningkat, pengukuhan ringgit, selain penambahan mata
di bursa saham. Ini yang telah dilakukan," katanya
Kejayaan Najib, jelas Zaidel, memberi lebih banyak ruang kepada
pemimpin BN untuk menyerang dan tidak terperangkap untuk menjawab
serangan pembangkang "yang hanya mampu mencanang idea di ceramah
politik."
"Rasanya BN tak perlu risau apa yang dia (pembangkang) kata kepada kita. Kita ada dasar yang akan dilaksanakan."
Sesetengah dasar itu sudah dirasakan oleh rakyat terutamanya di
kawasan bandar, yang dikuasai oleh pembangkang pada PRU13, kata Ketua
Umno Bahagian Bandar Tun Razak Rizalman Mokhtar.
Ini termasuk meningkatkan taraf pengangkutan awam melalui transit
aliran deras (MRT), membina 80,000 unit rumah mampu milik dan
mengurangkan kadar jenayah.
"Banyak perkara ini sudah diatasi. Selain itu, kadar jenayah juga sudah diturunkan.
"Kalau saya jadi rakyat, saya lihat banyak perkara yang beliau (Najib) lakukan," katanya
Pada PRU13, BN kalah hampir di semua kerusi Parlimen di kawasan
bandar, termasuk hanya menang dua daripada 10 kerusi di Kuala Lumpur.
Jangan selesa sangat
Tetapi sebagai pemerhati politik, Amir menjelaskan BN perlu
berhati-hati berdepan dengan faktor Dr Mahathir Mohamad, yang kini
mengetuai kempen PH mengasak Putrajaya dan dinamakan sebagai calon
perdana menteri pakatan itu jika menang PRU14.
"Dr Mahathir ialah pemimpin berpengalaman yang telah memimpin dan
memenangi lima pilihan raya umum sebelum ini. Jadi, BN tidak patut
memandang ringan hal itu," katanya.
Malah katanya, BN tidak boleh terlalu selesa mengharapkan
pertembungan tiga penjuru akan memihak kepadanya, seperti yang dibaca
oleh banyak kajian politik.
"PAS boleh jadi pengacau kepada BN dan Pakatan Harapan bergantung kepada kerusi," katanya.
Pada PRU 2008 misalnya, calon BN misalnya kalah di kerusi Parlimen
Padang Terap, Sik, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Bakri, Wangsa Maju dan
Kota Kinabalu dengan majoriti yang lebih rendah berbanding undi rosak.
Namun jentera parti menepis peringatan seperti itu dengan menyatakan,
isu yang menimbulkan rasa kurang senang rakyat seperti kos sara hidup
tinggi akan ditangani dengan pemberian pelbagai insentif termasuk
bantuan tunai kepada kumpulan sasaran dari sekarang sampailah menjelang
PRU14 nanti.
1MDB macam mana?
Menurut pemimpin Umno, kemarahan rakyat terhadap dakwaan salah laku kewangan dalam syarikat pelaburan negara 1MDB sudah reda.
Mereka juga yakin pakatan pembangkang kini dalam keadaan kucar-kacir, tidak seperti semasa pilihan raya umum 2008 dan 2013.
Keyakinan Najib untuk menang selesa pada PRU14 nanti, kalau hendak
dirumuskan, begini: Ekonomi yang lebih baik, pembangkang yang tidak
bersatu, peranan PAS sehingga berlakunya pertandingan tiga penjuru yang
memecahkan undi untuk pembangkang serta kemarahan terhadap isu 1MDB yang
semakin reda.
Tetapi ada satu lagi perkara yang tidak harus dilupa: Semasa PRU
2013, Najib juga ada keyakinan yang sama untuk BN menang dengan selesa
Keyakinan Najib menjelang pilihan raya
Reviewed by DetikDaily
on
Januari 27, 2018
Rating: 5
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
2488435
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Post Comment
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.