PAS , Bukan Pakatan Harapan
Oleh NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
PAS adalah ganti Umno-BN untuk Malaysia. Itu
sahaja yang difahami oleh ahli dan penyokong PAS hari ini. Ia adalah
matlamat utama PAS memasuki PRU13 nanti.
Ramai yang akan menyangkal dengan berkata, bagaimana mahu ganti
Umno jika hanya mensasarkan kemenangan 40 kerusi? Ia jauh daripada
mencukupi. PAS hanya beromongan, dakwa pembangkang PH pula.
PAS menjawab, jika pun PAS memenangi lebih daripada 40 kerusi
sebagaimana yang disasarkan, itu pun belum mencukupi untuk memintas
Umno-BN. Tetapi semua sedar, pada masa itu PAS telah begitu kuat.
Apabila PAS kuat, Umno akan lemah. Umno akan lemah sebaik sahaja
kerusinya menurun dengan banyak, walaupun masih mendahului PAS dalam
jumlah kerusinya.
Hari ini, kekuatan Umno bukan pada kejayaannya menempa negara ini
dengan kejayaan dan kecemerlangan. Tidak. Negara kita kini hanya sedang
bertarung untuk tidak rebah sahaja, bukan pun untuk sihat, sejahtera dan
maju. Negara kita masih sakit daripada sakit lamanya yang bermula
daripada zaman keangkuhan Tun Mahathir memerintah negara 20 tahun dulu
dengan kuku dan taringnya. Sakit itu masih belum diubati dan jauh lagi
daripada sembuh.
Keangkuhan adalah musuh Allah. Keangkuhan sifatnya memerangi Allah
dan ugama-Nya. Sesiapa yang memerintah dengan angkuh, Allah akan
meletakkannya di barisan yang bertentangan dengan Allah, lalu Allah
mengisytiharkan perang ke atasnya secara menghadap. Tun Mahathir masih
berbangga dengan sejarahnya memerangi kerajaan Kelantan yang dulu dan
kini terus membawa sinar dan obor Islam yang benar untuk tatapan rakyat
Malaysia.
Beliau gagal dan sememangnya beliau pasti gagal. Beliau gagal
mengemudi Umno, lalu meletak jawatan dan meninggalkan Umno dan Malaysia
dalam kesakitan dan kelesuan. Tun Abdullah datang dengan penawar 'minyak
wangi seribu bencana'-nya. Ia melalikan untuk tempoh yang pendek,
kemudian bertukar kembali kepada sakit asalnya.
Doktor veteran yang gagal itu enggan menyerah kalah. Beliau
memerangi ubat pertamanya sendiri, lalu menawarkan ubat seterusnya,
Dato' Sri Najib Abdul Razak untuk memimpin negara. Ubat barunya gagal
lagi. Doktor veteran itu tersentak dengan tindak balas ubat barunya itu
yang kini makan tuan. Beliau mengisytiharkan kepada negara bahawa beliau
telah tersalah memberi ubat.
Hari ini beliau mencadangkan ubat yang ketiga. Siapa? Dirinya
sendiri. Beliau berkata kepada PAS dengan suara angkuh 20 tahunnya dulu,
"Pilih. Saya atau Najib." Kelakar, kelakar dan kelakar. Inilah kentut
politik seribu bencana seorang doktor veteran yang sakit dan gagal yang
sedang mengetuai sebuah hospital bernama PH untuk mengubati negara yang
sakit akibat angkaranya sendiri dulu.
Saya tegaskan negara kita hari ini sakit. Sakit lama yang belum
sembuh. Saya tegaskan lagi, Umno-BN hari ini kuat dan gagah di sisi
rakyat bukanlah kerana kejayaannya menempa apa-apa kejayaan besar untuk
negara. Tidak. Tetapi Umno hari ini masih gagah kerana mereka adalah
penyandang sejak tahun 1957. Penyandang memang sukar untuk ditumpaskan
hatta pada zaman pemberontakan terbesar ahli Umno memerangi Tun Mahathir
pada tahun 1999 di bawah DS Anwar Ibrahim.
Penyandang yang terus gagal akan dimamah tua dan kelesuan. Tongkat
saktinya akan dimakan anai-anai sedikit demi sedikit. Hanya nabi
Sulaiman yang wafat berdiri bertongkat kerana anai-anai terus menyayangi
baginda dengan arahan tuhannya. Adapun Umno, ia sedikit demi sedikit
akan lesu. Sama ada tongkat dulu yang patah atau lututnya sendiri.
Takdir memilih dan menentukan.
Sasaran minima 40 kerusi parlimen adalah sebuah gerakan besar untuk
pengislahan negara daripada PAS. Ia adalah realistik bagi PAS daripada
terus berilusi dengan penawar seribu bencana ciptaan seorang doktor
veteran gagal yang terus angkuh dengan taubat demi taubatnya yang bohong
dan palsu.
Sasaran minima 40 kerusi adalah kekuatan bagi PAS dan kelemahan
yang ketara bagi Umno. Kemenangan lebih besar untuk PAS pasti akan
menjelma. Ia akan menjelma sebaik PAS terus kukuh dengan istiqamahnya
memperjuangkan Islam dan nilai-nilainya yang tinggi dalam menjamin
tadbir urus negara yang penuh integriti, sejahtera dan cemerlang.
Dalam persaingan bola sepak Eropah, pasukan yang mensasarkan hanya
kejuaraan liga akan kecewa teruk jika gagal memenanginya. Tetapi pasukan
yang turut mensasarkan kelayakan ke Liga Juara-Juara (CL) akan kekal
ceria dan bangga apabila mencapainya walaupun tewas kejuaraan liga. YNWA
PH akan kecewa teruk bersama penyokongnya jika Umno terus memenangi
PRU13. Hanya itu sasaran mereka yang satu. Gagal bererti gelap
selamanya. Tetapi PAS adalah sebaliknya. Umno-BN bukan boleh
ditumbangkan dengan idea karut doktor veteran yang gagal, sakit dan
menyebabkan negara sakit dengan ubat ciptaannya.
PAS adalah realistik. Apa yang dicapainya nanti adalah nilai
bermakna bagi terus menyumbang ke arah kejayaan negara mengubati
dirinya, seterusnya melangkah lebih laju menempa kejayaan. Anda boleh
nanti meneliti Wawasan induk Negara Sejahtera (WINS) yang kini giat
dibina oleh PAS sebagai wawasan terbaiknya untuk negara dan rakyat
tercinta.
PAS, sifat juangnya adalah islah. Untuk melakukan Islah atau
pembaikan, ia bukan dengan hanya satu jalan iaitu menunggu Umno tumbang.
Anda tidak perlu menunggu taubat nasuha datang, barulah hendak bersolat
dan beramal soleh. Terus bersolat dan beramal soleh dalam dosa. Itu
persaingan yang jika diisi keikhlasan tinggi akan mencetus taubat nasuha
yang menghancurkan kerajaan dosa dan maksiat dalam hati setiap
hamba-Nya. Begitulah islah PAS dalam negara. Ia bergerak tanpa henti
walau penat dan lama..
Kejayaan Tun Mahathir hari ini ialah terus berjaya menumpaskan
Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakannya dulu melalui para
pendukungnya yang gagal bertahan dengan tonik "Reformasi" yang keramat
itu. Mereka masih mampu untuk terus ditipu oleh taubat palsu yang
bersalut keangkuhan.
Kejayaan Tun Mahathir hari ini ialah menghilangkan ketajaman
perseteruannya dengan DAP yang dimusuhinya melalui dasar kerasisan Umno
dulu.
Kejayaan Tun Mahathir hari ini ialah membenam PAN ke dalam lumpur.
DAP menyucuk hidungnya lalu membiarkan Tun Mahathir menariknya ke kubang
lumpur. Berkubanglah di situ dengan penuh amanah kepada tuan yang
melahirkanmu..
Itulah kejayaan Tun Mahathir, mengulangi kejayaannya dulu
menubuhkan Umno Baru untuk mengalahkan Ku Li. Dia meninggalkan Umno
untuk mengalahkan Pak Lah. Dia menubuhkan PPBM untuk mengalahkan Najib.
Aksi terbaiknya kini ialah memenjarakan Anwar Ibrahim di dalam dan
memenjarakan pengikutnya di jeriji telunjuknya di luar. What a Kajang kick!!
Adapun kejayaannya ke atas PAS hari ini ialah kentut politiknya, "Pilih. Saya atau Najib.' Kelakar, kelakar dan kelakar..
PAS mendominasi pengalaman menghadapi Umno yang gagah dengan
sifatnya sebagai penyandang kepimpinan negara yang tidak pernah kalah
sejak merdeka. PAS hidup dalam susah dan senang, lemah dan gagah, kejian
dan pujian. PAS menembusi segala kesukaran itu dengan cemerlang
sehingga hari ini. Hari ini tiada siapa sedia berkata bahawa PAS sedang
menuju kegelapan kecuali musuhnya yang terus membenci dan mendengki.
Benci dan dengki tidak akan sama sekali menumbangkan PAS.
Ia adalah PAS untuk ganti Umno. Bukan PPBM, bukan PKR dan bukan DAP-PAN.
Majulah PAS untuk negara menuju keredhaan Allah.
Tahniah Harimau Muda U23 tewaskan Arab Saudi, negara World Cup. Sinar hebat anak muda negara..





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.