Seabed Constructor tamatkan misteri MH370?
Oleh Rozaman Ismail
SETELAH hampir setahun misi pencarian pesawat Malaysian Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 diberhentikan, kaum keluarga penumpang dan anak kapal pesawat tersebut boleh menaruh harapan baharu apabila kerajaan Malaysia mengotakan janji untuk terus komited dalam merungkai misteri kehilangan pesawat itu.
SETELAH hampir setahun misi pencarian pesawat Malaysian Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 diberhentikan, kaum keluarga penumpang dan anak kapal pesawat tersebut boleh menaruh harapan baharu apabila kerajaan Malaysia mengotakan janji untuk terus komited dalam merungkai misteri kehilangan pesawat itu.
Kelmarin, kerajaan menganugerahkan
kontrak kepada syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat
(AS), Ocean Infinity Limited bagi meneruskan pencarian di kawasan baharu
seluas 25,000 kilometer persegi di Lautan Hindi. Kontrak diberikan
berdasarkan kepada prinsip tiada pembayaran akan dibuat jika tiada
apa-apa penemuan dalam tempoh 90 hari operasi. Kerja-kerja mencari
pesawat misteri itu dijangka bermula 17 Januari ini.
Pengumuman ini sudah tentu sedikit sebanyak
memberi harapan baharu kepada rakyat Malaysia dan negara-negara terlibat
khususnya ahli keluarga 239 penumpang dan anak kapal MH370 itu.
Sejak
hari pertama kejadian lagi, seluruh dunia tidak putus-putus berdoa dan
berharap agar pesawat itu ditemukan. Bagaimanapun sehingga kini misteri
tinggal misteri walaupun pencarian pada skala besar-besaran dan
melibatkan banyak negara dengan penggunaan pelbagai peralatan canggih
sudah dilaksanakan.
Apabila kerja-kerja
mencari dan mengesan yang dilaksanakan oleh tiga buah negara iaitu
Australia, China dan Malaysia diberhentikan pada 17 Januari tahun lalu,
perasaan seluruh ahli keluarga dan waris mangsa bagaikan disentap dan
mereka seolah-olah sudah hilang harapan. Walaupun kecewa dan diuji lagi,
mereka tetapi tidak pernah berputus asa untuk berdoa agar misteri
kehilangan pesawat berkenaan berakhir dan ditemukan kembali alam apa
juga keadaan sekali pun.
Dengan kepakaran dan
segala peralatan canggih yang dimiliki oleh Ocean Infinity termasuk
kapal Seabed Constructor dengan lapan kenderaan dalam air automatik
(AUV) yang dilengkapi alat sensor dan kamera berteknologi tinggi serta
berkeupayaan merakam pelbagai maklumat di dasar laut, misi pencarian ini
diharapkan dapat memberi petunjuk baharu yang membawa kepada penemuan
pesawat ini.
The Economist dalam laporan
beritanya A fantastical ship has set out to seek Malaysian Airlines
flight 370 menyebut, AUV yang menggunakan sistem Hugin berupaya menyelam
sehingga 6,000 meter ke dasar laut berbanding dengan sistem lain yang
tidak sampai 4,000 meter.
Ini membolehkan
kenderaan itu sampai ke dasar laut dengan selesa. Penggunaan lapan buah
AUV membolehkan kerja-kerja pencarian boleh dilakukan secara serentak
atau selari di kawasan berbeza.
Setiap AUV
dibekalkan dengan pek bateri polimer lithium seberat 300 kilogram (kg)
yang sangat baik untuk kerja-kerja mencari kerana mampu bertahan
sehingga 60 jam. Teknologi sonar yang digunakan akan memeta dan
mengimbas kontur dasar laut serta menghantar apa sahaja isyarat yang
ditemukan. Oleh kerana pasir memantulkan bunyi yang lebih perlahan
berbanding serpihan besi, bermakna sebarang bentuk besi termasuk bangkai
atau serpihan kapal terbang lebih mudah dikesan.
Selepas
kerja-kerja ‘menjelajah’ dasar laut, AUV akan dinaikkan dan semua data
yang dikumpul (yang disimpan di dalam cakera keras kalis air dan boleh
mencapai dua terabait) akan dimuat turun ke dalam pusat data. Ahli-ahli
geologi dan juru hidrografi akan mengkaji peta dan meneliti sebarang
tanda berhubung pesawat yang hilang itu.
Apa
yang menarik, walaupun operasi tersebut disifatkan sebagai `operasi
berteknologi tinggi,’ pada peringkat ini kerja-kerja meneliti dijalankan
secara manual sepenuhnya. Setiap blok dasar laut yang telah dipetakan
akan dikaji oleh tiga pasang mata manusia. Pasukan ini akan mengeluarkan
senarai sasaran berpotensi sekiranya data tersebut kelihatan baik dan
relevan,AUV akan dihantar sekali lagi dengan sasaran utama ialah mencari kotak hitam.
The
Economist menyifatkan Seabed Constructor sebagai kapal peninjau paling
moden dan terkini di atas muka bumi ketika ini. Namun sekiranya segala
teknologi dan peralatan canggih yang dimiliki kapal tersebut masih juga
gagal mengesan MH370, peluang untuk menemukan pesawat tersebut seperti
sudah tiada dan misteri kehilangannya kekal, tidak terungkai.
Walau
apapun keputusan daripada pencarian selama 90 hari itu, rakyat Malaysia
khususnya ahli keluarga dan waris mangsa perlu terus berdoa agar
kerja-kerja mencari dan mengesan ini dipermudahkan dan menghasilkan
sesuatu yang boleh menamatkan misteri kehilangan MH370 yang sudah
berlarutan sekian lama, insya-Allah.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.