Umno-PAS: Atas Lain, Bawah Lain
Oleh A Kadir Jasin
MULA-MULA sekali terima
kasih kepada pemuda Melayu yang menemui saya di Ceramah Perdana “Mai Dengaq,
Balik Habaq” Pakatan Harapan/PPBM di Bukit Jambul, Pendang, Jumaat lalu.
Dengan suara gementar, dia
meminta maaf kerana mengganggu saya. Katanya dia ada satu soalan besar yang
mengacau fikirannya.
Ibunya guru taman
didikan kanak-kanak (tadika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Dia berkata, ibunya
diberitahu oleh orang Umno sekiranya Barisan Nasional (BN) kalah, Pakatan
Harapan (PH) akan tutup Kemas dan kakitangan Kemas akan dibuang kerja.
Saya kata kepadanya, itu
tidak betul. Sebaliknya PH akan memperkukuh dan memperluaskan sistem pendidikan
- daripada prasekolah hingga ke peringkat paling tinggi - dan menjana lebih banyak
peluang pekerjaan bukan membuang orang.
Cerita pemuda itu
hanyalah satu daripada pelbagai jenis ugutan dan ancaman yang digunakan oleh
Umno-BN bagi menakut-nakutkan pengundi agar tidak berhijrah menyokong PH.
Kalau di peringkat atas
menteri memberi amaran dan pengancam kakitangan awam agar terus memperhambakan
diri kepada Umno-BN atau menderita hukuman dan deraan, di peringkat bawah
pun macam itu juga. Malah lebih teruk.
Bapak-bapak kepala
Umno-BN yang bermentaliti kelas “kepala bapak kau” (meminjam ungkapan Perdana
Menteri, Perdana Menteri, ((Datuk Seri
I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil)), Mohd
Najib Abdul Razak) tidak lagi
membezakan di antara kerajaan dan parti.
Dalam kegelabahan mereka
kerana bayang-bayang kekalahan semakin terang, mereka menganggap dan melayan
kakitangan awam sebagai hamba Umno-BN dan bukan sebagai kakitangan awam yang ada
kehormatan.
Di dalam gelap saya juga
dihampiri hadirin yang berkata mereka bersimpati dengan Tun Dr Mahathir dan PH
walaupun mereka masih bersama Umno dan PAS.
Saya faham sentimen
mereka. Saya dilahirkan dalam keluarga Umnu dan menjadi ahli Umno Bahagian Pendang selama lebih 30 tahun hingga
tahun 2015 apabila saya menarik diri secara rasmi.
Saya faham sangat pentingnya afiliasi parti, sama ada dengan Umno atau PAS. Menjadi
ahli atau penyokong salah sebuah parti itu adalah sebahagian daripada sistem
sosial.
Setiap individu, di
saat-saat penting kehidupan dan kematiannya, tidak dapat tidak akan dikaitkan
dengan afiliasi politiknya. Si anu itu orang Umno, si polan pula orang PAS.
Di kawasan inilah, dalam
pilihan raya umum (PRU) 1969, kempen mengkafirkan orang Umno oleh PAS memberi
kesan besar Umno apabila wakil rakyat Perikatan masa itu, Dr Mahathir kalah
kepada calon PAS, Haji Yusof Rawa.
(Hari ini, anak Almarhum
Yusof Rawa, Yang Berhormat ((Datuk) Dr Mujahid Yusof Rawa, adalah di antara
musuh politik Dr Mahathir yang telah berubah menjadi rakan seperjuangan demi menyelamatkan
Malaysia.)
Tetapi hakikat bahawa
pada malam Jumaat lepas banyak orang Umno dan PAS secara diam-diam, sambil
bercangkung dalam gelap, mendengar ucapan pemimpin PH adalah satu perubahan
luar biasa.
Ertinya mereka tidak
lagi taasub kepada sistem masyarakat yang mengikat mereka kepada Umno dan PAS.
Mereka mahu mendengar cerita PH kerana mereka juga terhimpit dan tersepit
dengan kesempitan hidup yang disebabkan oleh salah urus ekonomi dan penyelewengan oleh kerajaan
kleptokrasi Najib.
Kalau ramai ahli dan
penyokong Umno tidak lagi mampu atau mahu mempertahankan kepemimpinan parti dan kerajaan, ahli dan penyokong
PAS pula digugat imannya oleh cerita-cerita kehidupan mewah
sesetengah ulama mereka setelah dikaitkan dengan sogokan oleh Najib.
Soal keakraban luar
biasa di antara Presiden mereka, (Tuan Guru Datuk Seri) Abdul Hadi Awang dengan
Presiden Umno masih menjadi punca
kekeliruan bagi ramai ahli dan penyokong PAS kerana di peringkat akar umbi Umno
masih berupa musuh ketat mereka.
Walaupun kebencian
mereka cuba diarahkan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) namun dalam pemikiran
mereka, musuh tradisi mereka adalah Umno.
Di saat-saat bapak-bapak kepala mereka bersekedudukan dengan Umno dan dikaitkan dengan gaya
hidup mewah dan hedonistik, ahli dan penyokong biasa PAS bukan sahaja tidak menikmati
habuan itu sebaliknya ditekan oleh kesempitan hidup.
Manakala Najib tidak
mahu atau tidak mampu menafikan dakwaan yang dia telah memberi rasuah kepada watak-watak
tertentu dalam PAS, Abdul Hadi terpaksa
bertungkus-lumus cuba membersihkan nama PAS.
Malangnya, Abdul Hadi mungkin
sudah termasuk perangkap Najib apabila dia memfailkan saman terhadap pengarang Sarawak
Report, Clare Rewcastle Brown, di London.
Dalam bahasa mudah, Abdul
Hadi telah diperangkap untuk melakukan kerja kotor bagi pihak Najib.
![]() |
| Keris panjang: Abdul Hadi terpaksa berlagak bebas dan garang |
Sebagai tindak balas
kepada reaksi negatif persekongkolan dengan Umno-BN itu, Abdul Hadi beberapa
hari kebelakangan ini terpaksa berlagak bebas dan berani dengan mengisytiharkan
yang PAS akan bertanding 140 kerusi Parlimen dan memerintah Selangor mengikut
syariat Islam.
Kesimpulannya, macam
Umno juga, PAS tidak boleh lagi memperkotak-katikkan orang Melayu seperti dulu.
Orang Melayu
kampung, peneroka Felda dan penghuni perumahan rakyat tidak boleh lagi dijual murah
oleh Umno dan PAS.
Mereka tidak boleh lagi diperbudak-budakkan dan mereka mempunyai lain pilihan - Pakatan Harapan.







Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.