Kempen "Undi Rosak": Musuh Islam dan musuh negara
Oleh ABDUL HADI AWANG
POLITIK disebut dalam ilmu syariat dengan perkataan Khilafah, Siyasah, Imamah atau Mulk, semuanya perkataan sinonim dan menjadi sebahagian daripada Islam sebagai Al-Din
yang sangat berbeza dengan takrif perkataan agama dalam bahasa yang
lain, kerana Islam adalah petunjuk Allah yang sempurna kepada alam
ciptaan-Nya termasuk makhluk manusia. Ini menjadikan Islam lebih luas
daripada agama dan ideologi, dan ditegaskan bahawa politik menjadi
sebahagian daripada tujuan manusia diciptakan.
Firman Allah:
وَإِذْ
قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ
وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ
مَا لَا تَعْلَمُونَ
[البقرة: 30]
“Dan (ingatlah) ketika
Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan
seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan
Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak
menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan
darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan
memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku
mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".”
(Surah Al-Baqarah: 30)
Khalifah itu ialah menegakkan Islam dan mentadbir urusan politik
dengan Islam. Maka semua para Rasul A.S yang berdakwah menyatakan Islam
yang sempurna, termasuk juga dalam urusan politik. Kesemua mereka
memimpin umat supaya beribadah kepada Allah dan menghadapi ketua negara
dan Al-Malaa (para pemimpin dan pemerintah) yang terpesong daripada petunjuk Allah.
Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah bagi menegakkan negara yang
mendaulatkan Islam. Apabila berlaku kewafatan Baginda S.A.W setelah
Al-Quran disempurnakan, maka para Sahabat R.A dan pengikutnya yang setia
berhimpun, sehingga sebahagian besarnya tidak menyertai upacara
pengebumian Baginda S.A.W. Mereka mengemukakan tiga calon, akhirnya
dipilih Saidina Abu Bakar R.A. iaitu calon paling layak yang berilmu dan
berakhlak daripada Qabilah Quraisy, kaum yang mendominasi masyarakat
majmuk pada zamannya.
Kehadiran mereka dalam perhimpunan memilih khalifah itu adalah
pilihan raya umum yang kewajipannya sehingga lebih penting daripada
pengebumian jasad Rasulullah S.A.W yang sangat mulia. Para ulama tafsir,
hadis dan feqh menegaskan bahawa perkara ini menjadi wajib berdasarkan
nas Al-Quran, Hadis Mutawatir, Ijma’ ulama, para Sahabat dan Tabien.
Pada awalnya ilmu politik Islam menjadi sebahagian daripada ilmu
feqh, kemudiannya diasingkan dalam kitab dan pengajian yang khusus.
Al-Mawardi, Abu Yaala dan Imam Al-Haramain mengarang kitab yang khusus.
Imam Al-Ghazali meletakknya dalam bab aqidah. Adapun Sheikh Daud
al-Fathani, pengarang kitab jawi meletakkan dalam Kitab Musolli.
Adapun teori yang memisahkan politik daripada agama berasal
daripada ajaran yang sesat daripada ajaran Allah yang diamanahkan kepada
para Rasul A.S. Fahaman yang salah ini disebut dalam kitab Injil yang
telah dipesongkan. Di antaranya disebut:
“Render to Caesar the things that are Caesar’s and to God the things that are God’s” (Huraiannya dalam Injil Mark 12; 13-17) (Berikanlah kepada Kaisar apa yang wajib kamu berikan kepada Kaisar dan kepada Tuhan apa yang wajib kamu berikan kepada Tuhan).
Mereka memisahkan hukum kenegaraan dan undang-undang yang ada di dalam
Taurat yang diwajibkan juga beriman kepadanya, kerana Isa A.S diutuskan
kepada Bani Israel yang telah berpegang kepada Kitab Taurat.
Kesesatan berlaku apabila sebahagian besar Bani Israel tidak
beriman kepada kerasulan Nabi Isa A.S dan apabila ajaran Injil dibawa
kepada umat lain dengan cara yang tidak sempurna. Firman Allah:
وَيُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ٤٨
وَرَسُولًا إِلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنِّي قَدْ جِئْتُكُمْ بِآيَةٍ مِنْ
رَبِّكُمْ أَنِّي أَخْلُقُ لَكُمْ مِنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ
فَأَنْفُخُ فِيهِ فَيَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِ اللَّهِ وَأُبْرِئُ
الْأَكْمَهَ وَالْأَبْرَصَ وَأُحْيِي الْمَوْتَى بِإِذْنِ اللَّهِ
وَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا تَأْكُلُونَ وَمَا تَدَّخِرُونَ فِي بُيُوتِكُمْ
إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَةً لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ٤٩
[آل عمران: 48-49]
“Dan Allah akan mengajarnya
(Isa A.S) ilmu Kitab, dan hukum-hukum aturan agama, dan juga kandungan
Kitab-kitab Taurat dan Injil. (48) Dan (akan
melantiknya (Isa A.S.) menjadi Rasul kepada Bani Israel, (dengan
menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya Aku telah datang kepada kamu,
dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhan kamu, iaitu Aku boleh
membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian Aku
tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) Dengan izin
Allah; dan juga Aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang
sopak, dan Aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan
izin Allah; dan Aku juga boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang
kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya
perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat)
bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang
diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu)
beriman. (49)”
(Surah Ali-Imran: 48-49)
Fahaman yang salah selepas ajaran Nabi Isa A.S dibawa pula oleh
penjajah ke negara kita, supaya meninggalkan ajaran Islam yang wajib
diimani dan ditegakkan syariat-Nya, dan membiarkan penjajah itu
memerintah negara dengan cara mereka.
Para orientalis yang masuk ke dalam masyarakat Islam ditugaskan
supaya membawa ajaran salah ini ke dalam masyarakat Islam. Di antaranya
nama yang tersohor di rantau ini, Snouck Hurgronje (Orientalis asal
Belanda), yang menegaskan usaha yang mesti dilakukan oleh penjajah barat
terhadap Islam ialah menjauhkan penganutnya daripada Islam, secara
khususnya ajaran politik. Tujuannya supaya membiarkan ajaran penjajah
terus menakluk umat Islam.
Maka seruan ke arah memulau pilihan raya atau undi rosak adalah
sebahagian daripada agendanya, supaya kuasa politik umat Islam
dilemahkan atau diserahkan kepada pihak lain, sama ada memilih bukan
Islam atau memberi peluang kepada pihak lain menguasai negara melalui
pilihan raya. Ini berlaku apabila beranggapan politik tidak penting atau
dikatakan sebagai amalan kotor yang mesti ditinggalkan oleh umat
Islam.
Para ulama Islam yang muktabar termasuk Imam Al-Ghazali yang banyak
menulis kitab Tasawuf yang dikira tidak peduli politik, tetapi
menegaskan di dalam kitab Aqidah:
الدين أس والسلطان حارس، وما أس له فمهدوم وما لا حارس له فضائع
(الاقتصاد في الاعتقاد)
“Al-Din (Islam) adalah asasnya,
kuasa pemerintahan (politik) adalah pengawasnya. Apa yang tidak ada
asasnya menjadi runtuh (binasa) dan apa yang tidak ada pengawas menjadi
hilang”
(Iqtisad Fi I’tiqad)
Ini menunjukkan bahawa mereka yang meninggalkan urusan politik
adalah meruntuhkan agamanya dan menghilangkan kewibawaan umatnya serta
meninggalkan syariat Allah. Walaupun alasannya kerana tidak bersetuju
dengan amalan pilihan raya hari ini yang disalah fahamkan sehingga
dikira tidak ada dalam urusan agama Islam. Inilah bahaya yang telah
diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W:
لينقضن عرى الإسلام عروة عروة، فكلما انتقضت عروة تثبث الناس بالتي تليها، فأولهن نقضا الحكم وآخرهن الصلاة
(المسند إمام أحمد بن حنبل)
“Demi sesungguhnya akan
dirungkai ikatan ajaran Islam yang kukuh, satu demi satu. Setiap satu
simpulan itu dirungkai, nescaya manusia berselerak terpaksa berpegang
kepada simpulan yang masih ada berikutnya. Pertama-tama dirungkai ialah
hukum hakam dan yang terakhir ialah solat”
(Musnad Imam Ahmad bin Hanbal)
Semua para Rasul A.S diperintah bertemu dengan pihak pemerintah
pada zaman masing-masing walaupun tidak ada pilihan raya di zamannya,
dengan bersikap positif terhadap kebaikan dan menentang kemungkaran
secara berhadapan, bukannya pemulauan atau mengasingkan diri daripada
masyarakat atau melarikan diri daripada kewajipan berpolitik.
Pilihan raya adalah alat bagi memilih pemimpin yang wajib dalam
kehidupan bermasyarakat dan menjadi sebahagian daripada syariat Islam,
sama ada mewakilinya menjadi pemerintah secara langsung atau mewakili
dalam kewajipan amar maaruf dan nahi mungkar yang menjadi teras kepada
jati diri umat Islam dan manusia seluruhnya yang wajib dipimpin oleh
umat Islam. Allah telah mewajibkan adanya kumpulan dalam kalangan umat
Islam yang melaksanakannya. Firman Allah:
وَلْتَكُنْ
مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ
وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ١٠٤
[آل عمران: 104]
“Dan hendaklah ada di
antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan
(mengembangkan Islam), dan Amar makruf dan Nahi Munkar (menyuruh berbuat
segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah
(buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang
yang berjaya.”
(Surah Ali-Imran: 104)
Allah telah melaknat kaum Bani Israel apabila tidak menunaikan kewajipan ini melalui firman-Nya:
لُعِنَ
الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ
وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ٧٨
كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ لَبِئْسَ مَا كَانُوا
يَفْعَلُونَ٧٩
[المائدة: 78-79]
“Orang-orang kafir Yahudi
dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil)
melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu
disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampau batas. (78)
Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari
perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi
sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (79)”
(Surah Al-Maidah: 78-79)
Dalam Feqah Muamalah Politik, Islam mendahulukan cara aman dan
damai, menarik sebanyak mungkin dalam dakwah yang dilindungi oleh
negara, dan membuktikan Islam itu adil terhadap semua, maka konsep
demokrasi adalah paling tepat. Kebetulannya pula pembaharuan demokrasi
barat adalah dipengaruhi oleh Feqah Politik Islam, hasil kajian para
orientalis yang menciplak ajaran Islam, walaupun tidak sempurna.
Adapun kelemahan dan salah lakunya pula hendaklah dibetulkan,
bukannya membatalkannya atau dipulaukan. Di mana tindakan pemulauan atau
merosak kertas undi adalah menempah kepada keburukan yang lebih besar
mudaratnya, apabila melakukan pilihan lebih besar mudaratnya kepada
negara dan umat. Laksana kebodohan terhadap seorang yang memilih
perjalanan meredah hutan rimba yang sukar dan berbahaya kerana tidak
bersetuju dengan jalan raya yang tidak diturap dengan sempurna.
Para ulama Islam dalam huraian Maqasid Syariah menegaskan:
ما لا يدرك كله لا يترك كله
“Apa yang tidak didapati semuanya tidak boleh ditinggalkan semuanya”
Dan menegaskan kaedah:
ارتكاب أخف الضررين
“Mengambil kemudaratan yang lebih ringan di kalangan adanya dua yang memberi mudarat”
Memulau pilihan raya atau merosak undi bermakna jumud dan tidak
bersedia membuat perubahan politik kepada yang lebih baik kalau
memerintah atau berpeluang menjadi pembangkang yang menasihat yang
menjadi jihad paling afdal kebajikannya kepada rakyat dan negara.
Memulau pilihan raya juga mendedahkan kepada pilihan yang
merosakkan negara dan rakyat, sama ada secara bersendiri atau mengundang
campur tangan asing yang menjajah semula.
Haram bagi umat Islam melaksanakan agenda memulau pilihan raya atau
merosak undi kerana menarik diri daripada menjadi teras kepimpinan umat
yang wajib demi menegakkan Islam dalam pemerintahan negara. Inilah
ketetapan Allah:
كُنْتُمْ
خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ
وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَوْ آمَنَ
أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ
وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ١١٠
[آل عمران: 110]
“Kamu (Wahai umat Muhammad)
adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia,
(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang maaruf (baik dan
berkebajikan) dan melarang daripada segala perkara yang mungkar (salah,
buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan
sebenar-benar iman).”
(Surah Ali-Imran: 110)
Kalangan umat Islam yang memulau pilihan raya atau merosak undi
adalah menyerah kalah sehingga penentuan kuasa politik diserahkan kepada
bukan Islam yang menjadi salah satu dosa paling besar. Perkara inilah
yang sangat dikehendaki oleh musuh Islam di dalam negara atau di luar
negara. Maka kalangan yang melaksanakan kempen memulau pilihan raya sama
ada kerana bodoh dan jahilnya atau kesediaannya menjadi alat bagi
memberi laluan mudah kepada musuh Islam dan musuh negara.
(IKLAN: Antara buku-buku terakhir Ahmad Lutfi Othman: Catatan Hujung, Pencuri Pilih Anjing, dan Lorong Sunyi Media Bebas. Sesiapa yang belum memilikinya, dan berminat, boleh hubungi Ahmad Luqman Hakim 019-2903291, dengan harga istimewa, potongan 50%.Stok adalah terhad,dapatkan sebelum kehabisan) Nantikan kemunculan buku terbaru beliau berjudul "Parti Amanah Negara: Cabaran, Halangan dan Potensi Sebagai Parti Islam Berpengaruh, Berintegriti.")






Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.