Ugutan: Husam ulangi taktik lapuk Tun M?
Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
DALAM ucapan beliau pada Ceramah
Perdana Sempena Pelancaran Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bachok di
Pejabat PAN Bachok malam tadi, 9 Februari 2018, Naib Presiden PAN, Haji
Husam Musa, mengeluarkan ugutan untuk menyiarkan rakaman ucapan sulit
seorang pemimpin PAS yang mengakui kononnya “PAS secara senyap telah
bekerjasama dengan Umno dan telah menerima wang daripada Umno” menjelang
Pilihan Raya Umum (PRU) Kali Ke-14 ini.
Kata Haji Husam: “Saya dulu mengatakan
PAS bekerjasama dengan Umno, sekarang nampak PAS nak bertanding sendiri,
jadi apakah yang saya katakan dulu salah? Insya Allah, kalau Parlimen
dibubarkan, saya yakin akan ada rakaman pengakuan seorang pemimpin PAS
dalam sebuah pertemuan sulit bahawa PAS secara senyap telah bekerjasama
dengan Umno dan telah menerima wang daripada Umno, termasuk bagi Pilihan
Raya Sarawak yang lepas, PAS telah menerima wang daripada Umno, ini ada
rakamannya yang saya kira akan tersiar apabila tiba masanya.”
Ugutan Haji Husam ini mengingatkan saya
kepada perkara sama yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad selaku
Presiden Umno waktu itu terhadap Presiden S46 waktu itu, iaitu Tengku
Razaleigh Hamzah, dan rakan kerjasama S46 di dalam Angkatan Perpaduan
Ummah waktu itu, iaitu PAS, menjelang PRU Kali Ke-8 pada 21 Oktober
1990.
Ia berlaku bila Tun Dr Mahathir
mengumumkan, pada 21 September 1990, bahawa beliau memiliki satu pita
rakaman ucapan sulit Tengku Razaleigh, di dalam satu perjumpaan para
pemimpin S46 di kediaman Tengku Razaleigh di Kuala Lumpur, yang menyebut
rancangan Tengku Razaleigh untuk 'membunuh' PAS, di samping
menghidupkan kembali Umno asal, setelah pakatan pembangkang memenangi
PRU8.
Tunggu punya tunggu, akhirnya sampai ke
sudah pita rakaman ucapan sulit Tengku Razaleigh ini gagal untuk
didedahkan oleh Tun Dr Mahathir walaupun setelah beliau dicabar untuk
berbuat demikian oleh pelbagai pihak, khususnya oleh Presiden PAS waktu
itu, Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, dan oleh Tengku Razaleigh sendiri.
Ugutan sebegini adalah cubaan paling
mudah untuk memberikan persepsi negatif terhadap lawan politik kerana ia
tidak memerlukan apa-apa pengeluaran modal atau hanya memerlukan
pengeluaran modal yang sangat minimal.









Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.