https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pakatan Harapan makin mantap

Oleh Mohd Sayuti Omar

MENJELANG pembubaran parlimen kedudukan Pakatan Harapan (PH) dari hari ke sehari kian mantap dan kukuh. Perkembangan ini sudah pasti mengusarkan parti pemerintah terutamanya pemimpin nombor satunya Mohd Najib Razak.

Taburan wang dan pelbagai insentif serta ribuan janji projek ratusan jutaan ringgit dilafazkan Najib tampak tidak banyak merubah suasana serta mempesonakan rakyat. Ia tidak berbekas.

Sikap pengundi yang dilihat rata-rata akan menggunakan kuasa mutlak yang mereka miliki; bertindak bijak dengan mengambil wang dan apa sahaja yang dihulur namun akan merahsiakan undi mereka mencemaskan Najib. Pengundi tidak memberi komitmen mereka ambil pemberian tetapi rela menggadaikan undi.

Sikap inilah yang sukar untuk pihak UBN membuat telahan akan kemampuan mereka kelak.

Kesukaran ini juga Najib sedang bermain batu serembang sama ada hendak bubar parlimen dan memanggil Piraum atau tidak.

Suasana dan sikap rakyat sekarang, UBN tidak dapat membuat unjuran tepat menerusi segala apa yang dilakukan itu. Di masa silam kelaziman atau tradisi lapok dalam pilihan raya sebelum ini dikatakan akan berubah.

Kemurahan segera kerajaan BN itu tidak menjamin pengundi akan berpihak kepada UBN kali ini.

Apa lagi segala pemberian itu tidak dapat mengatasi masalah dan bebanan yang mereka pikul.
Kenaikan kos sara hidup disebabkan GST menjadi rakyat “gila” marahkan kepada BN. Tuntutan utama rakyat ialah bukan kesenangan di waktu pagi dan malam tetapi sepanjang hari.

Benar rakyat di pedalaman tidak peduli kepada isu skandal 1MDB dan kapal mewah Equanminity, mereka jahil mengenainya. Tetapi rakyat sangat terkesan dan terdesak dengan kos sara hidup. Nilai ikan kembung mencecah RM20 sekilo berbanding dengan harga pot getah RM1.45 sekilo menjadi nyanyian pilu rakyat di bawah sana.

Indikator terbaru dapat dilihat suasana dalam PH menunjukkan komponen itu kian mencabar BN, apabila beberapa road show atau jelajah negeri diadakan oleh para pemimpin PH diketuai Dr Mahathir Mohamad mendapat sambutan hangat.

Majlis-majlis jelajah bertemu rakyat yang sudah diadakan di Johor, Melaka, Perak dan Pahang menyerahlah akan sokongan mendadak. Beberapa kawasan sebelum ini menjadi jelumu kepada UBN, sudah pecah satu persatu. Ribuan rakyat yang kebanyakan penyokong tegar dan totok Umno memberanikan diri dan sedia langgar road block untuk hadir dengar ceramah PH.

Sebagai contohnya di Bera Pahang yang termasuk dalam kawasan parlimen Pekan diwakili oleh Najib sendiri. Sambutan di situ apabila Dr Mahathir turun di luar jangkaan. Walaupun ada usaha membendung kehadiran rakyat dengan ugutan, namun ugutan itu tidak dihiraukan lagi.

Mungkin kehadirannya tidak seramai di Johor ataupun di Kemunting Perak, tetapi kesediaan rakyat pedalaman kebanyakan peneroka untuk hadir mendengar syarahan Dr Mahathir sudah memadai dan sesuatu yang sangat positif. Di sinilah benar perkiraan politik para pemimpin PH bahawa Dr Mahathir menjadi ikon baru pembangkang sementara Anwar Ibrahim keluar penjara untuk mengambil alih mengemudi negara.

Hakikat ini diakui sendiri oleh Pengerusi IDE badan pengkaji dan penganalisa sosial politik, Prof Dr Mohammad Redzuan Othman bahawa aura yang ada kepada Dr Mahathir tidak boleh diremehkan. Dr Mahathir katanya masih menjadi pujaan orang Umno yang akan menyokong memberi undi kepada bekas PM itu ke mana beliau pergi.

Menurut Redzuan orang Umno tidak akan keluar Umno kerana mereka setia kepada parti itu tetapi orang Umno akan marah apabila Dr Mahathir dicaci dan dihina. Keadaan ini sesuatu yang positif kepada PH, katanya. Apa lagi kesediaan Dr Mahathir untuk bersama Anwar Ibrahim memberi satu momentum baru buat Pakatan Harapan dan ini tidak boleh diremehkan.

Benar kesanggupan rakyat keluar itu menjadi petunjuk awal bahawa mereka tidak hairan dengan Najib Razak, sebagai perdana menteri. Rasa malu alah dan “semen” mata kepada bapak Najib, Tun Razak Hussein sudah tidak berlaku lagi.

Dan terbaharu, PH mendapat suntikan apabila dua pertubuhan kaum India, Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) dan Parti Tindakan Hak Minoriti (Mira) menjadi rakan kepada PH. Mereka akan memberi sokongan kepada PH dalam pilihan raya akan datang.

Gelombang dibawa kedua rakan PH itu mungkin tidak sampai 20% undi keseluruhan, (sekitar 14.6 juta pengundi) tetapi penyertaan mereka cukup untuk menjamin undi India di negara ini berpihak kepada PH.

Apa lagi kalau PH ikut meletakkan kaum India sebagai calon mereka di kawasan tertentu, ia boleh menarik sokongan kaum India lebih meriah lagi kepada PH. Kaum India adalah kaum minoriti yang sangat menghormati kepada pemimpin mereka.

Dalam masa sama juga bekas presiden MIC Samy Vellu, dikatakan masih menghormati Dr Mahathir sebagai negarawan yang menghormati kaum India.

Pendirian dan kesetiaan Samy Vellu ini turut mempengaruhi kaum India untuk bersimpati kepada Dr Mahathir dan tentunya PH juga.

Begitu juga dengan kesediaan Pengerusi Bersih 2:0 Maria Chin Abdullah untuk dicalonkan sebagai calon bebas atas sokongan PH memberi kekuatan kepada PH. Maria sebagai wirawati memperjuangkan pilihan raya bersih, adil dan telus sudah tentu mempunyai penyokong yang ramai.

Keulitannya memperjuangkan isu-isu demokrasi dan rakyat benar-benar menakjubkan.

Kekuatan PH seterusnya akan dapat dilihat apabila beberapa siri jelajah ke seluruh negara diteruskan lagi. Beberapa negeri sedang mengatur kunjungan Dr Mahathir bersama pimpinan PH. Pada 10 Mac ini Dr Mahathir bersama Mohamad Sabu, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Muhyiddin Yassin dan lain akan turun ke Kelantan.

Mereka akan berlabuh dan berkhemah di Bachok. Himpunan di Bachok itu bakal menjadi indikator kekuatan Pakatan Harapan di Kelantan yang kini dipimpin oleh Husam Musa sebagai pengerusi.
Perkembangan malam tadi, ceramah PH di Meranti dalam parlimen Rantau Panjang salah satu kubu Pas di Kelantan khabarnya mendapat sambutan hangat. Apa berlaku di Meranti itu menunjukkan kekentalan Pas di dalam kubunya sendiri kini sudah mulai roboh sedikit demi sedikit.

Para pensetia dan pentaksub Pas sebelum ini nampaknya sudah insaf dan berjinak-jinak untuk mendengar dan mengikut rasionalisasi politik dibawa PH, khasnya Parti Amanah Negara (Amanah).

Dan kekuatan sebenarnya PH akan terjawab apabila minggu depan Dr Mahathir akan mengumumkan logo yang bakal digunakan PH dalam pilihan raya akan datang. Kesepaduan ahli dan penyokong PH menerima logo itu nanti tanpa “ogehan” (pertikaian) menjelaskan komponen itu sudah bersedia untuk berhadapan dengan BN tanpa menghiraukan kepada Gagasan Sejahtera, dibawah pimpinan Pas.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.