Kelompongan Dekad Baharu Johor
Oleh Mahdzir Ibrahim
Seperti burung unta yang menyorokkan kepala didalam pasir. Itulah
yang berlaku di Johor apabila umno BN terus dengan sindrom penafian
terhadap kerosakan integriti pentadbirannya.
Skandal rasuah dikalangan ahli politik dan kakitangan kerajaan BN
di Johor bukan sahaja semakin menurun, malah masalah ini gagal ditangani
dengan dasar perubahan yang menyakinkan rakyat.
UMNO BN Johor merasakan slogan Dekad Baharu Johor akan mampu
membuatkan rakyat terpesona hingga terlupa bagaimana mereka ditipu oleh
kerajaan boneka regim kleptokrat UMNO BN.
JCORP satu-satunya syarikat milik kerajaan negeri yang sehingga
kini belum berjaya melangsaikan hutang-piutangnya yang semakin
bertimbun.
Hanya segelintir anak syarikat KCORP seperti Kumpulan Perubajan
Johor (KPJ) yang masih membuat untung, namun keuntungan itu gagal
dimanfaatkan sebaiknya oleh kerajaan negeri dalam memberi perkhidmatan
kesihatan yang lebih luas dan menyeluruh kepada rakyatnya.
Nama sahaja Bangsa Johor, tetapi hanya ia hanya slogan untuk
menyedapkan telinga. Rakyat Johor masih terus diabaikan dalam aspek
kesihatan asas, jauh dari menikmati kemudahan yang diterima oleh rakyat
Selangor menerusi Skim Peduli Sihat, Skim Rawatan Jantung serta skim
Peduli Sihat Penjawat Awam dan yang terbaru Kasih Ibu Smart Selangor
(KISS).
Sekalipun Selangor belum memiliki syarikat perubatan sepertimana
KPJ tetapi mereka masih mampu memberi kemudahan kesihatan yang kini
telah mencecah 1.3 juta isi rumah di negeri tersebut. Johor seharusnya
boleh buat lebih baik dari Selangor yang tak punya apa-apa.
Pemegang Kad Peduli Sihat dengan mudah mendapatkan rawatan asas
dimana-mana klinik swasta tanpa perlu membayar, sebaliknya kos perubatan
itu ditanggung oleh kerajaan negeri.
Klinik-klinik panel ini sudah mencecah seribu buah klinik diseluruh
ceruk Selangor. Kerajaan negeri tak perlu mengeluarkan wang satu sen
pun untuk membina klinik sepertimana Klinik 1Malaysia. Pergilah ke
klinik panel tak kira masa, siang atau tengah malam, diceruk mana pun
klinik panel itu, rakyat tak perlu membayarnya.
Tidak sampai 10 tahun kerajaan PH memerintah di Selangor, ratusan
juta wang rakyat telah dikembalikan menerusi skim-skim yang penting dan
bermutu kepada rakyatnya.
Berbanding Johor yang telah lebih 50 tahun kerajaan BN memerintah,
rakyat Johor hanya dapat berbangga dengan jenama KPJ, manfaatnya entah
dimana.
Inilah yang digembar-gemburkan oleh Menteri Besar Johor sebagai
Dekad Baharu Johor. Apa tu? Adalah ianya replika ajaib? Atau bangunan
baru yang besar-besar? Fasiliti baru yang mahal-mahal? Untuk apa?
Menjamu mata rakyat?
Bangunan komersil yang nak runtuh di pekan Kukup pun hingga kini tak terbikin.
Kemajuan dikalangan UMNO Baru ini hanyalah kemajuan dalam konteks
lama. Bangunan lama ditukar baharu, samada diroboh dan diganti baru atau
tanah baru ditarah untuk bangunan baru. Hanya ini Dekad Baharu Johor
mampu tawarkan?
Tawaran-tawaran ini tidak akan lebih hebat pun dari kemudahan infrastruktur dan sistem perkhidmatan di Singapura.
Kenapa Singapura?
Kerana inilah kayu ukur bagi Johor, baik dari segi kemajuan ekonomi
mahupun sistem perkhidmatan sosial. Dekad Baharu Johor gagal melihat
keperluan masyarakat dalam konteks yang maju sebaliknya formula kemajuan
itu ditafsir dan dizahirkan dalam kerangka pemikiran lama.
Selain daripada itu, kerana Singapura sering digambarkan oleh UMNO
sebagai kambing hitam apabila isu-isu cukai keluar masuk kenderaan gagal
diselesaikan. Singapura juga dijadikan modal mengutuk pekerja-pekerja
yang bekerja di Singapura sebagai tidak patriotik sedangkan masalah
kelembapan ekonomi tempatan dan kadar upah yang murah gagal diselesaikan
hingga anak-anak Bamgsa Johor mencari makan dinegeri orang.
Intipati Dekad Baharu Johor ini gagal melakarkan dasar penjimatan
yang jelas sebaliknya terus mahu berbelanja semahunya seolah-olah
formula ekonomi itu tidak memerlukan dasar penjimatan yang efisien.
Mana-mana wilayah yang maju mempunyai dasar penjimatan sumber yang
cekap. Baik penjimatan perbelanjaan mahupun sumber mentahnya seperi
tanah, air dan penghasilan bahan buangan/kotoran.
Sebaliknya, jika kita teliti model-model pembangan yang mapan dan
maju, teknoloji yang menjimatkan boleh dihasilkan. Teknoloji penjimatan
ini akan mengubah mentaliti rakyat agar dasar penjimatan itu harus
bermula dari satu individu, kumpulan, komuniti, organisasi dan
seterusnya negeri.
Kelompongan Dekad Baharu Johor inilah peluang Pakatan Harapan untuk
menyuntik semangat dan dasar baru agar rakyat dapat menerima bagaimana
satu perubahan boleh dibuat demi kebaikan dan kemajuan sosial dan
ekonomi setiap rakyat.
Agama kita menitik beratkan penjimatan, keghairahan berbelanja
hanyalah nafsu-nafsi untuk memancing undi. Kos-kos kemajuan UMNO BN
Johor ini kelak akan ditanggung oleh rakyat, tidak kita anda ahli UMNO
atau Bangsa Johor, sesiapa sahaja yang tinggal dan mencari makan di
Johor akan tentu perlu membayarnya dan kos ini bukan murah.
Dasar penjimatan yang cekap dan telus akan menjadi tanda aras tahap integriti pentadbiran kerajaan ( Good Governence ).




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.