Surat Terbuka kepada Pemimpin Politik dan Masyarakat
Oleh Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mukadimah
Mutakhir ini, telah sampai ke meja kami
pelbagai pertanyaan melalui media baru isu-isu berkaitan politik. Ini
termasuklah berkenaan beberapa kenyataan daripada tokoh-tokoh politik.
Tidak perlu kami nyatakan siapa dan apa yang dinyatakan. Cukuplah ianya
dapat difahami dan menjadi nasihat buat semua pemimpin politik dan
anggota masyarakat.
Kehangatan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU
14) yang makin terasa ini jelas bahangnya di media sosial apabila
penyokong kem masing-masing tidak henti-henti berbalas idea dan hujah
sehinggalah terbawa-bawa kepada fitnah dan buruk sangka. Bahang PRU 14
juga sedikit mencuit emosi beberapa pemimpin politik dari media sosial
hingga ke Parlimen. Dari kedai kopi hingga ke pentas ceramah, pelbagai
bentuk nada hujahan boleh kita amati. Sayangnya, dari kritikan membina
kepada kem lawan, sudah ada yang sampai mengeluarkan kata-kata nista dan
keras yang sedikit pun tidak melambangkan akhlak seorang Muslim.
Ada yang bertanya kepada kami, “Tidak
adakah surat terbuka kepada pemimpin politik? Takkan hanya artis?” Kami
beranggapan mungkin penyoal tidak tahu yang sekitar empat tahun lepas,
kami pernah mengeluarkan sebuah buku berjudul Pemimpin Yang Adil: Rahmat
Kepada Rakyat.
Sebagai pelengkap kepada buku berkenaan,
kami merasa amat perlu untuk mengemukakan surat terbuka kepada para
pemimpin politik, pimpinan parti begitu juga kepada masyarakat umum.
Tujuannya semata-mata untuk sama-sama kita muhasabah kembali sikap dan
tindakan kita agar ia benar-benar selari dengan nilai agama dan insani
sehingga apa yang kita hasratkan benar-benar bersih dan tepat dari
sebarang bentuk tindakan yang menyeleweng.
Nasihat ini adalah tulus daripada hati kepada seluruh pemimpin politik dan masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa.
Nasihat Kami
Wahai pemimpin politik dan masyarakat,
antara tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah kepada
hamba-hamba-Nya yang Muslim adalah supaya mereka bersatu dengan cara
berpegang kepada agama Allah S.W.T dan tidak berpecah atau bertelagah
sesama sendiri. Sesuatu umat tidak akan terselamat daripada angkara
perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan
kepimpinan mereka kepada seorang ketua, iaitu ketua yang dapat
menyatukan mereka dan semua pendapat tunduk kepada kebijaksanaannya.
Betapa pentingnya persoalan kepemimpinan ini sehingga Nabi S.A.W
bersabda:
إِذَا كَانَ ثَلاَثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ
Maksudnya: “Jika ada tiga
orang dalam permusafiran, hendaknya mereka mengangkat salah seorang di
antara mereka menjadi pemimpin.”
(Riwayat Abu Daud, no 2609)
Dalam sistem demokrasi, hak bersuara
adalah dibenarkan akan tetapi akhlak dan adab perlulah dijunjung.
Mengakhlakkan diri dengan peribadi yang unggul lagi luhur adalah satu
perjuangan yang amat tinggi nilainya. Apakan tidak, kerana kepimpinan
menjadi contoh dan suri teladan terbaik kepada anak buah masing-masing
sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Khaldun:
الناس على دين ملوكهم
Maksudnya: “Orang ramai mengikut agama pemimpin-pemimpin mereka.”
Mengikut bidalan ini, ia adalah menepati
realiti kemasyarakatan dan inilah yang berlaku dalam kebanyakan
kehidupan manusia. Justeru, dengan baiknya, pemimpin yang menjadi suri
teladan, maka sudah barang tentu akan memberi kesan yang mendalam kepada
masyarakat dan orang bawahannya.
Ketahuilah, kalian begitu juga diri ini
akan dipersoalkan tanggungjawab ini di akhirat kelak. Maka, berkatalah
yang baik-baik. Firman Allah S.W.T:
وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا
Maksudnya: “…katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik..”
(al-Baqarah: 83)
Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim berkata:
“Maksudnya ucapkanlah kepada mereka
dengan ucapan yang baik dan sikap yang lembut. Termasuk dalam hal itu
adalah amar makruf dan nahi munkar (menyuruh berbuat baik dan mencegah
kemungkaran). Sebagaimana dikatakan oleh Imam al-Hasan al-Basri mengenai
firman-Nya ini: “Termasuk ucapan yang baik adalah menyuruh berbuat baik
dan mencegah perbuatan munkar, bersabar, suka memberi maaf, serta
berkata kepada manusia dengan ucapan yang baik, sebagaimana yang
difirmankan oleh Allah SWT tadi. Iaitu setiap akhlak baik yang diredai
oleh Allah SWT.”
Cakap hanya yang benar dan baik. Jika tidak, lebih baik diam. Nabi S.A.W bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: "Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam”
(Riwayat al-Bukhari, no. 6475 dan Muslim, no. 47)
Umar al-Khattab R.A berkata:
“Siapa yang banyak kalamnya, maka
banyak tergelincir dalam tutur katanya. Dan siapa yang banyak
ketergelincirannya, maka banyaklah dosa. Dan siapa yang banyak dosanya
neraka lebih utama baginya.”
Zaman kini, boleh jadi yang benar dan
baik itu tidak “laris” di mata manusia dan dipandang remeh. Namun,
ketahuilah bahawa Allah sentiasa bersama mereka yang baik dan membawa
panji kebenaran.
Wahai pemimpin politik dan masyarakat
Muslim, jauhi daripada melabel-labelkan dan menggelar dengan gelaran
yang tidak baik. Firman Allah SWT:
وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ
Maksudnya: “…dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk...”
(al-Hujurat: 11)
Syeikh al-Maraghi menyatakan: Qatadah
dan juga Ikrimah meriwayatkan daripada Abu Jubairah Ibn al-Dahhak yang
berkata: Ayat ini turun mengenai Bani Salamah.” Ibn Jarir pula telah
meriwayatkan daripada Ibn Abbas dengan maksud: “Seorang lelaki telah
melakukan amalan buruk kemudian dia bertaubat dan kembali kepada
kebenaran. Maka Allah S.W.T telah melarang orang itu dicela dan
perbuatannya yang telah lalu.”
Apa yang diucapkan oleh seseorang
pemimpin, itulah yang menjadi ikutan kepada penyokong masing-masing.
Jika baiklah ucapannya, maka baiklah yang dituturkan oleh penyokongnya.
Jika sebaliknya, itulah yang menjadi ‘modal’ bagi penyokongnya untuk
melemparkan kata-kata nista kepada lawan.
Jauhi daripada menghina dan mencaci serta melaknat sesama sendiri. Rasulullah S.A.W bersabda:
لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ
Maksudnya: “Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.”
(Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, no 312; Al-Tirmizi, no 1977)
Ingatlah, boleh jadi orang yang kita hina itu jauh lebih mulia dan baik daripada kita. Benarlah firman Allah S.W.T:
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن
يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن
يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ
Maksudnya: “Wahai orang-orang
yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan
merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang
dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu
puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan
yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada
mereka;” (al-Hujurat: 11)
Syeikh al-Maraghi berkata:
“Ini kerana kadang-kadang orang yang
dihina lebih baik di sisi Allah daripada orang yang menghina sebagaimana
yang disebut di dalam hadis.”
Orang yang dicaci, dihina, difitnah dan
dilaknat itu, belum tentu lebih hina daripada yang menyumpah seranah.
Apatah lagi jika kedua-duanya masih berpayung di bawah kalimah syahadah
yang sama.
Masyarakat telah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada anda, maka jauhilah daripada berbohong. Sabda Rasulullah S.A.W:
يُطْبَعُ الْمُؤْمِنُ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ إِلاَّ الْخِيَانَةَ وَالْكَذِبَ
Maksudnya: “Orang yang beriman boleh jadi melakukan pelbagai kesalahan kecuali sifat khianat dan dusta.”
(Riwayat Imam Ahmad (22170), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (21349) dan Syu’ab al-Iman (2809))
Ini kerana, kedua-dua sifat ini adalah
amat hina di dalam Islam yang sewajarnya kita menjarakkan dan
menjauhinya dalam kamus kehidupan kita. Jika yang disampaikan itu satu
penipuan, ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Jika
balasan-Nya ditangguhkan di dunia, ketahuilah bahawasanya tiada lagi
penangguhan di alam sana. Mahkamah-Nya adalah yang seadil-adilnya dalam
menjatuhkan hukuman.
Elakkan percakapan atau ucapan yang
boleh dipertikaikan atau membawa kesamaran. Ini kerana ia membuka ruang
kepada ramai orang dan pihak sama ada mengiyakannya atau menentang.
Ucapan seperti ini tidak akan menambah kebaikan bahkan boleh mengeruhkan
suasana kehidupan. Ini berdasarkan satu kaedah
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.
Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar R.A,
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: Barangsiapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.
Apa jua perkara yang berisiko
menimbulkan fitnah dan salahfaham, hendaklah sedaya upaya dielakkan
kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek
mahupun panjang.
Duhai jiwa yang bakal kembali
kepada-Nya, memelihara lidah antara yang penting dalam kehidupan ini.
Masakan tidak, Rasulullah S.A.W bersabda kepada Muaz bin Jabal R.A:
أَلَا
أُخْبِرُك بِمَلَاكِ ذَلِكَ كُلِّهِ؟ فقُلْت: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ !
فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ وَقَالَ: كُفَّ عَلَيْك هَذَا. قُلْت: يَا نَبِيَّ
اللَّهِ وَإِنَّا لَمُؤَاخَذُونَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ؟ فَقَالَ:
ثَكِلَتْك أُمُّك وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ عَلَى وُجُوهِهِمْ -أَوْ قَالَ
عَلَى مَنَاخِرِهِمْ- إلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ؟!"
Maksudnya: “Mahukah kamu
kiranya aku memberitahu kepadamu anak kunci kepada semua perkara
tersebut?” Aku menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah” Lalu Baginda
memegang lidahnya seraya bersabda: “Kamu mesti menjaga ini!” Aku
bertanya: “Wahai Nabi Allah! Adakah kita akan dibalas (dipersoalkan)
dengan apa yang kita pertuturkan?” Baginda menjawab: “Celakalah kamu!
Tidak ada yang menghumbankan manusia ke dalam neraka di atas muka mereka
– dalam riwayat yang lain disebutkan di atas hidung mereka – melainkan
hasil tuaian ini adalah ada lidah mereka?”
(Riwayat al-Tirmizi, no. 2619)
Antara mutiara kata Salafussoleh adalah:
Ibnu Mas’ud pernah bersumpah dengan nama Allah, lalu mengatakan, “Di
muka bumi ini, tidak ada sesuatu yang lebih sesuai menerima lamanya
penjara daripada lidah!”. Begitu juga diriwayatkan, bahawa Ibnu Mas’ud
berkata, “Jauhilah fudhulul kalam (pembicaraan yang melebihi keperluan). Cukup bagi seseorang berbicara, menyampaikan sesuai keperluannya.”
Jika perlu berdebat, maka berdebatlah dengan sebaik-baiknya. Allah SWT berfirman:
وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ
Maksudnya: “dan berbahaslah
dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik;
sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang
sesat dari jalan-Nya.”
(al-Nahl: 125)
Dalam perdebatan, nilai intelektual dan ketepatan maklumat serta hujah yang benar lagi sahih dengan dalil naqli dan mantiq aqli perlu dijunjung.
Ketika mengupaskan tentang iklim
kehidupan intelektual di Andalusia, Prof. Dr. Wan Mohd Nor menulis:
“Ramai di antara kita sentiasa berbangga dengan pencapaian agung umat
Islam terdahulu, sama ada di Andalusia atau di tempat-tempat lain,
tetapi tidak begitu ramai yang mahu meninjau secara ilmiah akan iklim
dan faktor-faktor yang memungkinkan terlahirnya hasil yang sedemikian
agung.
Jika kita ingin membangunkan sesebuah
masyarakat, bangsa dan tamadun yang agung, kita harus jugalah cuba
memahami iklim dan mengenal pasti faktor-faktor tersebut, dan berusaha
mencipta sebaik mungkin iklim dan faktor-faktor yang serupa, setelah
mengambil kira perbezaan tempat dan zaman.” Hal yang sama juga kami
nukilkan dalam buku Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur: Negara Sejahtera Rahmat Untuk Semua.
Setiap detik seorang wakil rakyat di
Parlimen dan Dun, adalah satu amanah daripada-Nya, begitu juga harapan
daripada rakyat yang mengundinya. Berdebatlah untuk manfaat rakyat
dengan fakta dan hujah yang lengkap, persediaan yang rapi dan tidak
mensia-siakan setiap peluang yang ada. Ini kerana, itulah antara yang
akan dipersembahkan di hadapan-Nya nanti.
Inilah Pesanan
Akhir kalam, kami katakan marilah
sama-sama kita menginsafi diri dengan merapatkan saf dan membina negara
dengan akhlak yang mulia dan keperibadian yang unggul. Jika ini kita
dapat pertahankan, negara kita akan tetap harmoni dan dipandang tinggi
oleh masyarakat antarabangsa. Bangsa apa pun kita dan agama apa pun
kita, jika kita warga Malaysia dan tanah air kita adalah bumi bertuah
ini, makanya menumpahkan kasih sayang dan taat setia kepada tanah watan
adalah wajib untuk kita pertahankannya selama mana nyawa dikandung
badan.
Kami nukilkan kata-kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz Rahimahullah daripada buku Sirah wa Manaqib 'Umar ibn 'Abdul 'Aziz karya Ibn Al-Jauzi, antara lain katanya:
“Fiqh yang terbesar ialah bersifat dengan cukup dengan apa yang ada (qana’ah) dan menahan daripada menyakiti manusia.”
Dengan mengamati dua sifat tersebut iaitu qana’ah
dan menahan daripada menyakiti hati manusia, sudah pasti ianya membawa
kelebihan kepada seseorang dalam melayari bahtera kehidupan kerana
kedua-duanya akan terselamat daripada sifat mazmumah dan disakiti oleh
manusia. Marilah sama-sama kita menginsafi diri sebagai umat Islam dan
juga rakyat Malaysia yang menjunjung nilai dan budi yang luhur sebagai
jati diri kita untuk kekal gah di persada antarabangsa. Benarlah kata
pujangga terkemuka, Almarhum Ahmad Syauqi:
وإنِّما الأُمَمُ الأخلاقُ ما بَقِيَتْ *** فَإنْ هُمُ ذَهَبَتْ أَخلاقُهُمْ ؛ ذَهَبُوا
“Dan sesungguhnya semua umat kekal selama adanya akhlak. Apabila mereka hilang akhlak, maka lenyaplah umat tersebut.”
Inilah pesanan yang ingin kami sampaikan
daripada hati kami yang tulus kepada para pemimpin politk dan seluruh
lapisan masyarakat. Pemimpin politik tanpa mengira warna dan logo tetap
adalah sahabat-sahabat yang amat kami kasihi. Atas dasar kasih sayang
inilah, nasihat dan ingatan disampaikan sempena PRU 14 ini. Kami
menyusun sepuluh jari memohon maaf jika bahasa yang dikemukakan terkasar
dan tidak sesuai. Semoga Malaysia akan terus aman, damai dan sejahtera
di bawah lembayung rahmat-Nya atas kepimpinan negara yang diredhai-Nya.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Mufti Wilayah Persekutuan




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.