Tuduhan berniat jahat
TELUK INTAN - DAP menganggap tuduhan kononnya Pengerusi Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi tunggangan mereka jika Harapan membentuk kerajaan disifatkan berniat jahat.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, tuduhan tidak benar yang dilemparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu hanya bertujuan mengelirukan rakyat.
Katanya, Harapan secara jelas mengumumkan Mahathir sebagai perdana menteri sebelum diserahkan kepada Datuk Anwar dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Ini merupakan berita palsu yang perlu dikenakan tindakan di bawah Akta Anti Berita Tidak Benar kerana kita sudah menjelaskannya sebelum ini.
“Tak ada istilah memperkudakan atau diperkudakan sebaliknya kita kekal dengan keputusan sebelum ini,” katanya kepada media ketika hadir bertemu penduduk di pasar malam Taman Indah Jaya, di sini, semalam.
Najib dalam catatan di laman facebook dan twitternya mengatakan bahawa Mahathir sebenarnya “diperkudakan” oleh DAP untuk memecah belah undi Melayu pada PRU13.
Hadir sama dalam program tersebut, Pengerusi DAP Perak yang juga calon kerusi Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.