https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Jangan hukum Rizalman selagi belum dibuktikan salah'

Umno tidak akan berkompromi serta memilih bulu terhadap mana-mana anggotanya yang terlibat dalam salah laku jenayah dan peraturan parti, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau bagaimanapun berkata, Umno masih kekal dengan pendirian untuk tidak menghukum selagi tiada bukti yang kukuh.

“Pertamanya kita kena tengok kenyataan yang dibuat oleh ketua bahagian berkenaan dan saya difahamkan tadi pun dia sudah buat sidang media dan kita nak tengoklah apa yang merupakan pembelaan dan hujah-hujahnya terhadap tuduhan berkenaan.

“Seperti biasa saya dah katakan bahawa perkara yang berkaitan dengan undang-undang Umno daripada dulu lagi tak memilih bulu dan sesiapa sahaja didapati bersalah terpaksa berhadapan dengan hukuman yang sewajarnya.

“Cumanya saya mengenali ketua bahagian berkenaan dan saya harap jangan ada mana-mana pihak yang tidak membuat tuduhan dan sesuatu sehingga siasatan dan penghakiman sebenarnya dapat dijalankan.

“(Ini) kerana saya tak nak dia dihukumi oleh media serta pandangan persepsi di luar tanpa diberikan ruang untuk membela dirinya sendiri dijalankan,” katanya dalam sidang media selepas penyampaian Anugerah Cemerlang (APC) Tahun 2018 di Kementerian Pertahanan, Padang Tembak, Kuala Lumpur, semalam

Hishamuddin yang juga menteri pertahanan berkata demikian mengulas apakah BN akan memberikan kerusi parlimen Bandar Tun Razak kepada MCA selepas ketua Umno bahagian itu Datuk Rizalman Mokhtar yang ditangkap dan didapati positif dadah.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Rizalman, calon berpotensi BN untuk kawasan parlimen itu, hari ini mendakwa disabotaj dan diperangkap supaya positif dadah.

Beliau berkata hanya mahu berhibur di kelab malam itu dan hanya minum kopi dan minuman ringan, tanpa menyentuh minuman keras atau dadah.

Mengulas dakwaan Rizalman disabotaj, Hishamuddin masih tidak tahu hujung pangkal isu itu.

“Jadi, biarlah pihak-pihak berkenaan untuk buat pembelaan dan tuduhan yang sewajarnya dan biar proses berjalan seperti biasa dan ini cara yang adil dan seadil-adilnya.

“Saya harap tidak ada mana-mana pihak yang menangguk di air keruh dan menimbulkan keadaan yang tidak adil kepada semua pihak yang terlibat,” tambahnya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.