https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tiada Kata Kata Marah Dari Tuan Sabariah


Oleh Mohd Sayuti Omar

Dalam perjalanan dari Puterajaya tadi saya mendengar klik video Tuan Sabariah Tuan Ishak balu Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga merupakan bunda kepada Nik Omar dan Nik Abduh.

Klik video berkenaan diterbitkan oleh Dewan Muslimat Pas Pengkalan Chepa. Tuan Sabariah berucap dalam siri kempen di Dun Chempaka di mana turut sama bertanding di Dun berkenaan ialah anak keduanya, Nik Omar.

Semasa saya menonton kilik video berkenaan sudah 46.k views — atau ditonton. Ia sama banyak dengan views orang yang menonton secara live anaknya Nik Omar yang berucap dengan Dr Mahathir di Puterajaya.

Klik video Tuan Sabariah semestinya menarik perhatian ekoran apa yang disebutnya sebagai ujian berlaku ke atasnya, apabila salah seorang daripada 10 anaknya ada yang “moteng”. Dalam bahasa dilek Kelantan “moteng” bermaksud tidak hadir atau tidak bersama atau ke lain.

Dapat difahamkan perkataan itu ditujukan kepada Nik Omar yang bertanding atas tikit bukan parti Pas di Chempaka. Tuan Sabariah juga mengakui dalam keluarganya berlaku sedikit perpecahan, gara-gara “moteng” tu. Tidak banyak sedikit sahaja.

Sepanjang saya mengikuti ucapan balu Tokguru ini tidak ada apa yang perlu dikesalkan atau rasa terkilan oleh sesiapa. Sebagai seorang ibu sudah semestinya beliau sedih apabila anaknya ada yang “moteng”. Yang penting moteng itu beliau tidak sampai mengecam dan marah kepada anaknya seperti dilakukan oleh orang lain.

Apabila selepas sebak sejurus beliau dapat ketawa dan mengilai kecil, ertinya hati si ibu ini tidak “bera” seperti mana ditangkapi oleh umum. Dari sini fahamlah kita kenapa kalau Nik Omar tidak melayan tuduhan terhadapnya sebagai anak derhaka, buang baka dan sebagainya.

Boleh diselami kenapa Tuan Sabariah sebak seketika mungkin kerana gara-gara moteng itu menyebabkan anaknya dikatakan membuang baka, dituduh berkawan dengan dajal. Saya merasakan kesebakannya itu kerana hal itu.

Tidak ada sepatah haram pun keluar dari mulut beliau yang beliau tidak merestui Nik Omar bertanding dalam pilihan raya. Tidak ada... atau ada disebut di bahagian lain?

Mengenai Pas beliau menekan apa yang dipesankan oleh arwah suaminya, Tok guru Nik Aziz kepadanya agar tidak ditinggalkan. Katanya, Pas yang hak tok guru tinggal sudah molek. Benar dan ramai orang bersetuju dengan kenyataan dan pegangan itu. Tetapi apakah Pas selepas ketiadaan tok guru ini Pas masih berjalan seperti dahulu. Inilah yang menimbulkan persoalan dan perdebatan.

Saya yakin sekiranya Pas yang dibuat oleh Tokguru itu masih seperti dahulu, tidak ada sesiapa yang akan mempersoalkannya apa lagi meninggalkan dan menyertai wadah lain. Ini juga termasuk kepada Nik Omar, dimana perkara ini dijelaskan berkali-kali yang Pas yang ada hari ini berlainan dengan Pas di zamannya.

Kelainan itu dirasai oleh Nik Omar dan orang lain juga. Mungkin Nik Abduh juga turut merasai dengan melihat apa yang berlaku ke atasnya di Pengkalan Chepa. Apakah penutupan pintu kepada Nik Abduh di Pengkalan Chepa dan mengirimkannya ke Bachok itu ia bukan perubahan dan kelainan dalam Pas?

Pohon maaf kalau status ini menyentuh kalbu mana-mana pihak, saya hanya mentafsirkan apa yang didengar dilihat tidak lebih dari itu. Trims.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.