Warga Felda sudah marah kepada Kerajaan PH
Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
SAYA bersetuju dengan
kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang
juga Pengerusi Biro Dasar PPBM, Datuk Dr Rais Hussin, bahawa
pengiktirafan terhadap UEC bukanlah termasuk dalam 10 janji yang
Kerajaan PH ikrar untuk laksanakan dalam 100 hari pertama
pentadbirannya.
Sehubungan itu, fokus utama Kerajaan PH
sekarang seharusnya ditumpukan kepada pelaksanaan 10 janji ini dahulu
kerana tempoh 100 hari pertama pentadbirannya sudah hampir tamat.
Jika diamat-amati kembali, sektor
pengundi Felda adalah antara sektor utama yang cuba dipikat oleh PH dan
yang menjadi penyumbang utama kepada kemenangan PH dalam PRU14.
Di dalam usahanya untuk menarik sokongan
warga Felda, PH menganjurkan Konvensyen Warga Felda pada 19 Mac 2017
dan menawarkan 5 resolusi kepada warga Felda jika PH menang dalam PRU14.
Dua daripada lima Resolusi Konvensyen
Warga Felda ini akhirnya dimasukkan sebagai antara 10 janji yang
Kerajaan PH ikrar untuk laksanakan dalam 100 hari pertama
pentadbirannya, iaitu:
Janji 3: Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda, dan
Janji 7: Menubuhkan Suruhanjaya
Siasatan DiRaja 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji, dan merombak semula
struktur kepimpinan mereka
(Turut terkandung di dalam Manifesto PH
adalah “Iltizam khusus untuk warga Felda” merangkumi “Iltizam 1:
Menghentikan penyelewengan dalam Felda di semua peringkat”, “Iltizam 2:
Menyusun semula tadbir urus Felda”, “Iltizam 3: Membela nasib peneroka
Felda dan mengurangkan bebanan hutang mereka”, “Iltizam 4: Memodenkan
dan menaik taraf kawasan-kawasan Felda” dan “Iltizam 5: Memberi peluang
pendidikan terbaik untuk anak-anak peneroka Felda”)
Malangnya, sehingga kini kedua-dua janji
ini masih belum dilaksanakan oleh Kerajaan PH sehingga menyebabkan mula
timbul suara-suara kemarahan dari warga Felda.
Dapat kita baca kenyataan Pengerusi
Majlis Pemuafakatan NGO Felda (MPNF), Mazlan Aliman, pada 12 Julai
mendesak Kerajaan PH menunaikan janji untuk menghapuskan hutang-hutang
tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.
Mazlan Aliman selaku Presiden Persatuan
Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) juga sebelumnya membuat kenyataan
pada 18 Mei lalu supaya Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan
bagi menyiasat pelbagai isu dihadapi Felda.
Agak pelik bila desakan sebegini perlu
dibuat kembali, apatah lagi secara terbuka, oleh Mazlan Aliman yang
merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat PAN, bila perkara-perkara yang didesak
ini sudah sedia dijanji untuk dilaksanakan tempoh 100 hari pertama
pentadbirannya oleh Manifesto PH.
Terbaru adalah kenyataan terbuka
Timbalan Presiden Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan
(Anak), Mohd Nasaie Ismail, yang juga adalah aktivis PAN, yang “merayu
kepada kerajaan baharu agar cakna nasib peneroka Felda yang masih tidak
menerima wang sara hidup” kerana “peneroka menerima wang sara hidup yang
lambat yang tidak pernah berlaku di zaman pemerintah yang lalu”.
Tegas Mohd Nasaie Ismail: “PH pula,
tanpa 19 kerusi Felda, tidak akan boleh membentuk kerajaan. Jangan
abaikan mereka. Undi tidak selama-lamanya milik kita. Hentikan
berpolitik. Jangan sampai rakyat lapar dan mereka mula bertindak. Ini
bukan wayang, anda boleh pergi ke page atau group Facebook anak anak Felda dan lihat reaksi mereka.”
Lebih jauh lagi, kata Mohd Nasaie
Ismail: “Anak turut dimaklumkan oleh Setiausaha MPNF bahawa surat dan
pemakluman sudah dihantar kepada Menteri yang berkenaan Felda untuk
bertemu namun sudah lebih dua minggu tiada jawapan diberikan.”
Semua ini membuatkan kita tertanya-tanya
mengapa ini boleh berlaku sedangkan Manifesto PH menjanjikan pembelaan
terhadap warga Felda, ditambah pula yang menyuarakan segala perkara ini
adalah pemimpin dan aktivis PAN sendiri yang ada wakil dalam Kerajaan PH
dan Majlis Presiden PH. Takkanlah wakil-wakil PAN dalam Kerajaan PH dan
Majlis Presiden PH tidak mampu untuk menyuarakan segala perkara ini di
dalam mesyuarat?
Dan mengenai penubuhan Suruhanjaya
Siasatan DiRaja ini, kalau mengikut Manifesto PH, sepatutnya ada empat
suruhanjaya begini untuk menyiasat “secara terperinci dan berasingan”
1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji dalam 100 hari pertama pentadbiran
Kerajaan PH.
(Ini juga ada disebut dalam “Janji 13:
Menyelesaikan skandal 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji” yang berbunyi:
“Suruhanjaya siasatan akan ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci
dan berasingan penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB, Felda, Mara dan
Tabung Haji. Suruhanjaya ini juga akan ditugaskan untuk mencadangkan
tindakan susulan yang sesuai, serta mekanisme terperinci untuk
menyelesaikan skandal-skandal besar ini.”)




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.