https://critoxium.com/shop/

Terkini

Amalan Membaca Yasin malam nisfu syaaban

 Soalan: Assalamualaikum wr. wb. Apakah benar amalan membaca yasin 3 kali di malam nisfu syaaban merupakan bid'ah kerana tiada nas. Yang ada cuma hadis daif?
Abdul Hanan, KL

Jawapan: Menurut Ibnu Manzur dalam bukunya "Lisan al Arab" bid'ah bermaksud mengada-adakan sesuatu yang baru atau rekaan terhadap sesuatu yang baru yang tidak ada contoh sebelumnya. Jadi jelaslah bahawa bid'ah itu adalah sesuatu yang diada-adakan tanpa ada asas sebelumnya dan contoh yang boleh diikuti.

Menurut Al Jawhari menegaskan dalam kitabnya mengatakan; Bid'ah ialah mengada-adakan sesuatu di dalam agama selepas lengkapnya agama itu. Kemudian Al Allamah Asy Syanawi mendefinisikan bid'ah sebagai sesuatu yang diada-adakan yang bercanggah dengan kebenaran yang diterima daripada Rasulullah SAW dan ijma. Ia merangkumi rekaan sesuatu yang tidak diizinkan oleh syarak baik berbentuk perkataan, perbuatan secara sarih, isyarat dan tidak melibatkan perkara-perkara adat.

Berdasarkan difenisi ini bid'ah merangkumi sesuatu yang dikeji oleh syarak dan dilarang olehnya samada ia diadakan sebagai agama Allah dan syariat ataupun tidak.

Berkaitan tentang membaca surah Yasin sebanyak tiga kali dimalam nisfu Syaaban antara lain; sesungguhnya membaca Al Quran disunatkan dan pembacanya mendapat pahala. Perkara ini tidak pernah dipertikaikan oleh seseorangpun dari kalangan ahli ilmu. Sangat banyak hadis yang menerangkan tentang kelebihan membaca Al Quran antaralain; "Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka baginya sepuluh pahala untuk setiap huruf yang dibaca itu, saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi alif itu satu huruf, Lam, satu huruf, dan Mim satu huruf". Namun jika mengkhususkannya pada hari-hari tertentu dan masa-masa tertentu setengah ahli mengatakannya bid'ah.

Untuk lebih jelas lagi kami terangkan bahawa bid'ah itu dapat juga dibahagikan kepada bid'ah hakikiah dan bid'ah Idafiah. Bid'ah hakikiah ialah bid'ah yang tidak mempunyai asas langsung dari Al Kitab, Sunnah dan ijmak ulama. Bid'ah idafah atau sandaran ialah bid'ah yang mempunyai sandaran dari Al Kitab, As sunnah dan ijma ulama tetapi masa dan teknik pelaksanaannya tidak berdasarkan kepada Al Kitab atau as sunnah. Mungkin berdasarkan pengertian ini mereka menetapkan perkara di atas sebagai bid'ah. Kerana di dalam amalan itu mengandungi dua makna. Pertama dia merupakan sunat, kedua ia merupakan bid'ah kerana menetapkan masa-masa tertentu ataupun jumlah-jumlah tertentu.


Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.