Benarkah PAS menolak kemerdekaan?
Oleh DR KAMARUL ZAMAN YUSOFF
SAYA terbaca tulisan Tun Dr Mahathir Mohamad bertajuk “Kenapa Saya Tentang PAS”.
Di dalam tulisan beliau itu, Tun Dr
Mahathir menyebut mengenai PRU 1955 di mana dinyatakan oleh beliau
bahawa, “Dalam PRU itu isu utama ialah kemerdekaan”, “Sementara Umno
dalam Perikatan tuntut kemerdekaan selepas PRU, PAS mendakwa Malaya
belum layak mendapat kemerdekaan”, “Perikatan mendapat 51 (daripada 52)
kerusi”, “PAS memenangi hanya satu kerusi” dan “Jelas penolakan
kemerdekaan merugi PAS”.
Saya tidak pasti dari mana kenyataan
“PAS menolak kemerdekaan” atau “PAS mendakwa Malaya belum layak mendapat
kemerdekaan” ini diambil tetapi rekod-rekod sejarah yang saya sendiri
temui menunjukkan bahawa:
● Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali
Pertama di Dewan Madrasat ad-Da'irat al-Ma'arif al-Wataniah, Kepala
Batas, Seberang Perai, pada 3 Januari 1953 telah memilih “merdeka”
sebagai cogan kata PAS.
● Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali
Pertama di Dewan Madrasat ad-Da'irat al-Ma'arif al-Wataniah, Kepala
Batas, Seberang Perai, pada 3 Januari 1953 telah meluluskan 7 rancangan
politik PAS yang dua daripadanya adalah berbunyi “memperkenalkan
kemerdekaan tulen kepada rakyat, menanamkan semangatnya dan menunjukkan
cara-cara mencapainya” dan “menegakkan sebuah negara merdeka yang
didirikan oleh rakyat, daripada rakyat, kerana rakyat”.
● PAS telah, di atas pertimbangan
untuk mencapai kemerdekaan negara, menghantar Ahmad Fuad Hasan dan
Muhammad Hanif bagi menghadiri Persidangan Kebangsaan anjuran 16
orang-orang terkemuka termasuk 7 Menteri Besar mulai 6 Mei 1953.
● PAS telah, di atas pertimbangan
untuk mencapai kemerdekaan negara, menghantar Muhammad Hanif dan Ahmad
Awang bagi menghadiri Perhimpunan Kebangsaan anjuran Umno-MCA pada 23
Ogos 1953.
● Ekoran tindakan Persidangan
Kebangsaan memutuskan ketidaksetujuannya ke atas tuntutan supaya Pilihan
Raya Dewan Undangan Persekutuan diadakan pada tahun 1954 dan ekoran
tindakan Perhimpunan Kebangsaan perhimpunan meluluskan satu ketetapan
yang menuntut supaya Pilihan Raya Dewan Undangan Persekutuan diadakan
pada tahun 1954 maka Mesyuarat Agung Khas PAS di Madrasat al-Masriyyah,
Tanah Liat, Bukit Mertajam, pada 26 September 1953 telah meluluskan usul
menghentikan penyertaan PAS di dalam Persidangan Kebangsaan dan
meneruskan penyertaan PAS di dalam Perhimpunan Kebangsaan dengan syarat
“PAS tidak terikat jika sekiranya ada perkara-perkara yang tidak sesuai
dengan PAS”.
● Berakhirnya penyertaan PAS di
dalam Perhimpunan Kebangsaan pada 11 Oktober 1953 bukanlah disebabkan
oleh ketidaksetujuan PAS ke atas tuntutan kemerdekaan, tetapi adalah
disebabkan bantahan dua wakilnya, iaitu Muhammad Hanif dan Mohd Asri
Muda, ke atas cadangan jawatankuasa perhimpunan itu untuk memperluaskan
hak-hak mengundi kepada penduduk-penduduk yang belum diakui taraf
kerakyatan mereka mengikut dasar jus soli telah ditolak oleh mesyuarat
perhimpunan itu.
● Manifesto PAS dalam PRU 1955, yang
diadakan pada 27 Julai 1955, sendiri secara sangat jelas menyebut pada
bahagian "Siasah"-nya bahawa, jika mencapai kemenangan, wakil-wakil
rakyat PAS akan “berusaha dan berikhtiar dengan bersungguh-sungguh bagi
mencapai kemerdekaan Malaya dengan secepat mungkin”.
● Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali
Ke-5 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada 23, 24 dan 25 Disember
1956 telah meluluskan usul “supaya tarikh kemerdekaan Malaya tidak mahu
bergenjak dari 31 Ogos 1957”.
● Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali
Ke-5 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada 23, 24 dan 25 Disember
1956 telah meluluskan usul “supaya kemerdekaan yang akan diisytiharkan
pada 31 Ogos 1957 itu hendaklah kemerdekaan yang penuh berdaulat dalam
erti kata yang sebenar-benarnya”.
● Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali
Ke-6 di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, pada 24 dan 25 Ogos 1957
telah meluluskan usul “menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada
semua pihak yang telah berjuang dahulu dan sekarang sehingga lahirnya
kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957”.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.