Duduk dengan PAS, mesti jadi baik
Oleh MOHD NASIR ABDULLAH
APABILA suatu ketika
dahulu Tun Mahathir menumpang di pentas PAS kerana berkrisis dengan
Tunku Abdul Rahman sekitar tahun 60-an, beliau dikatakan banyak berucap
menghentam Umno, dasar-dasar yang tidak dipersetujui beliau yang
dilaksanakan oleh Tunku. Tun tidak pula dilaporkan bercakap berkenaan
hal penghinaan kepada Rasulullah yang tiada pisau ‘Gillette’
atau apa-apa semisalnya yang melanggar syarak atas makluman bahawa PAS
memperjuangkan hukum hak Rasulullah. Maka menjadi baiklah percakapan
beliau, selaras dengan kehendak Allah yang mana PAS perjuangkan. Hanya
bicaranya tertumpu khusus serangan terhadap dasar Tunku yang dikatakan
tidak betul itu.
Sewaktu PAS bergabung di bawah bendera
Perikatan di pertengahan tahun 70-an, PAS banyak membantu kerajaan dalam
melaksanakan prinsip Islam dalam pentadbiran Kerajaan Malaysia.
Laporan
menyebut bahawa banyak acara-acara kerajaan yang melibatkan hidangan
arak, berjaya dihapuskan, walaupun tidak semua. PAS juga berjaya
menerbitkan buku-buku agama bagi pihak kerajaan yang masih digunakan
sehingga kini. Antara buku-buku terbabit yang menjelaskan Batas-batas Iman dan Kufur
yang berkenaan aqidah umat Islam. Tidaklah BN beromongan atau memaksa
mengenai perkara dosa dan noda bersama dengan PAS ketika itu kerana tahu
kehendak PAS. Bahkan, PAS pernah memecat seorang ahlinya kerana menari
dengan wanita dalam satu majlis keramaian.
Semangat 46 mengajak PAS sebumbung
dengan mereka bersama beberapa lagi parti lain pada akhir tahun 80-an di
bawah Angkatan Perpaduan Ummah (APU) sebagai satu pasukan menentang BN
yang dilihat semakin rakus di bawah kepimpinan Tun Mahathir ketika itu.
Dakwa Ku Li sebagai Presiden S46, kemenangan beliau pada pemilihan Agung
Umno 87 dirampas Tun Mahathir. Habis digegerkan kejahatan dan keburukan
Tun. Tetapi dalam masa yang sama, tiada pula disyarahkan akan keperluan
mengekalkan hukum yang diasakan Lord Reid. Ber-Hudud, ber-Takzir dan
ber-Qisaslah mereka bagi menari mengikut rentak politik Islam yang
dipalu oleh PAS. Memuja-mujilah akan kehebatan Islam yang pada janji
mereka akan diberikan keutamaan apabila memerintah nanti. Dan
sememangnya patut Islam itu dipuji. Hasilnya, Kelantan semenjak tahun
90, kekal di bawah pemerintahan ulamak. Tidak kurang ahli S46 menukar
parti kepada PAS selepas berpecah.
Apabila peristiwa ‘mata lebam’ Pak
Syeikh tahun 98 terjadi, PAS sekali lagi diperlukan bagi Pak Syeikh
menyuarakan mengenai betapa beliau tidak bersalah atas segala
tuduhan-tuduhan oleh mentor beliau Tun Mahathir. Habis pelosok ceruk
kampung di Malaysia, disinggah beliau, menggunakan pentas PAS yang mana
ketika itu, beliau tidak berparti. Sewaktu pidato berapi-api yang beliau
ungkapkan, beliau langsung tidak menyebut perihal cadangan untuk
mengadakan rancangan dosa yang tiada berfaedah kepada agama dan rakyat.
Mengetahui jelas PAS tidak akan sesekali berkompromi dengan idea dosa,
maka beliau membuang jauh-jauh apa-apa sekali berkaitan dosa, kerana
menyedari akan kesannya jika PAS menjauhkan diri. Menari rentak lagu
Tamil pun tidak. Tapi difahamkan ketika itu pinggangnya masih sakit.
DAP juga tidak ketinggalan mempamerkan
sisi baik mereka apabila duduk dalam pasukan yang PAS turut berada di
dalamnya, Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR). Mereka mula
menghafal ayat-ayat al-Quran bagi memberikan kefahaman kepada rakyat
mengenai betapa kesungguhan mereka mahu menjadikan Malaysia lebih baik,
makmur dan sejahtera.
Oleh kerana PAS meyakini bahawa hanya
Islam yang akan memandu manusia ke arah itu, DAP tanpa segan silu
melafazkan segala bentuk perkara yang diingini PAS yang sebenar pada
hakikatnya diinginkan oleh Islam. Tiada mereka mengumpul perkataan keji
membina bait-bait ayat bagi menyebut mengenai hal lagha yang sangat
dibenci oleh PAS.
Hatta Dyana Sofea ketika kempen PRK
Teluk Intan, berselendang dia semasa duduk bersama Presiden PAS.
Walaupun tak lengkap tutupan auratnya, tapi masih berusaha untuk
bersopan, menghormati PAS. Juga apabila ada artis yang mesra PAS, mereka
tidak berdansa berpegang tangan lelaki perempuan bila membuat
persembahan. Malah penyanyi wanita juga tidak dibenarkan menyanyi di
hadapan lelaki ajnabi. Patuh mereka dengan kehendak PAS yang juga syarat
Islam itu.
Terbaharu ialah musuh ketat PAS semenjak
sekian lama, Umno, turut menjadikan pentas PAS sebagai apa yang
dikatakan titik penyatuan Melayu Islam. Di atas pentas PAS, tiada
kedengaran suara Umno menyeru kepada penghinaan terhadap hukuman sebat
Syarie yang dilaksanakan oleh Kerajaan negeri Terengganu di hadapan
orang ramai baru-baru ini. Tiada lagi mereka mempertahankan segala
bentuk perkara yang tidak betul yang mereka lakukan ketika berkuasa
dahulu. Yang ada adalah bagaimana mahu menjadikan Malaysia sebagai
sebuah kerajaan yang lebih adil di masa hadapan. Semuanya berkaitan
dengan kebaikan. Kebencian kepada ulamak, tidak disuarakan oleh mereka,
selain mereka turut berkopiah dan berjubah. Tiada diundang Puteri Umno
yang berseluar yengki atau berkebaya ketat dengan rambut jambul di depan.
Maka inilah kehebatan Islam yang dibawa
oleh PAS. Tajuk di atas mungkin dirasa agak nakal bagi sesetengah orang,
mungkin juga memualkan. Siapa lagi kalau bukan kepada pembenci PAS.
Tetapi antara kebencian yang menebal itu, dengan kenyataan sebenar jauh
di lubuk hati mereka, mereka terpaksa mengakui akan kebenaran kenyataan
itu. Mereka telah melihat sendiri bagaimana sebahagian tokoh-tokoh yang
dinyatakan di atas ketika duduk bersama-sama dengan PAS, akan bertertib
tingkah laku mereka. Seperti ada pengawal lagak gayanya. Cakap hanya
kebaikan, akhlak juga tidak meliar. Saya tanpa ragu mempertahankan
kenyataan ini.
Apa signifikasinya tulisan ini? Padahal
tokoh-tokoh itu sebahagian besar akhirnya berpisah dan menentang pula
PAS, malah ada yang lebih dahsyat tentangannya selepas itu. Tidaklah
juga berubah perangai mereka. Ya, itu pandangan yang betul, mereka hanya
cuba menggunakan PAS. Lari daripada berkawan dengan PAS, mereka
kemudiannya menunjukkan perangai lama mereka. Tun Mahathir kembali
bercakap karut mengenai Islam, Pak Syeikh kembali mempersoalkan sebatan
Syarie, DAP membenci perkara-perkara baik yang dicadangkan PAS, seperti
mahu mengharamkan pesta arak, memberikan kebebasan pekerja seperti
pramugari menutup aurat dan banyak lagi. Lihat juga sekumpulan ahli yang
keluar daripada PAS sekarang? Ikut bos mereka, janji manifesto bukan
satu perkara yang wajib ditunaikan, jangan berlumba-lumba menonjolkan
Islam. Pernahkah perkataan itu dikeluarkan ketika mereka bersama PAS
dahulu? Carilah sejarah, pasti tidak berjumpa. Dan jika ada, mereka
pasti akan ditegur atau dihukum.
Tetapi dari satu sisi positif ialah,
sekurang-kurangnya mereka berhenti bercakap mengenai kejahatan atas apa
yang Islam larang ketika bersama-sama dengan PAS. Apabila tokoh-tokoh
itu turut mahu bercakap mengenai Islam di pentas PAS, mereka mesti
belajar dahulu supaya tidak tersalah. Mereka juga pastinya malu
melakukan kejahatan kerana ramai yang akan terpalit. Dan rakyat yang
baik pasti akan membenci mereka jika masih ‘nakal’ ketika bersama PAS.
Sebagaimana apabila berada di dalam masjid, kita menjaga segala akhlak
buruk kita agar tidak dipamerkan. Begitulah sikap mereka bila berada
‘dalam’ PAS.
Bukankah Hadis Rasulullah ada
mencadangkan untuk bercakap perkara yang baik sahaja atau diam? Inilah
hasilnya ketika mereka bersama PAS. PAS memandu mereka ke jalan itu.
Biarlah mereka mahu dekat dengan apa niat sekalipun, kerana mereka pasti
akan meninggalkan perkara buruk bila bersama PAS. Tiada cocok perlakuan
sumbang dengan identiti PAS. Itu semua orang tahu. Jika ada ahlinya
terbuat perkara dosa, maka akan segera dikritik orang seperti biasa
dikata orang “ahli PAS apa, macam itu? Buat dosa tak ingat dunia”. Tidak
masuk akal jika ada orang cuba menukar posisi PAS dalam ayat contoh itu
kepada Umno, DAP, Bersatu mahupun PAN. Jadi ia jelas membuktikan PAS
bukan tempat berbuat dosa, walau terkadang ada ahlinya terkhilaf.
Paling menyerlah, PAS tidak pula
terpaksa mengikut prinsip mereka bila bersama. Tidak pernah PAS
bersetuju atas pentas mereka untuk bersepakat dalam hal keburukan dan
kejahatan dari pandangan Islam. Tidak pernah. PAS ajak yang baik-baik
sahaja. Jika ada yang mengajak PAS berbuat onar, PAS akan menjauh. Jadi
biarlah Umno, Tun, DAP jika mahu berbaik dengan PAS sekarang atau lain
kali, sebab mereka akan jadi baik insyaAllah. Jadi bila duduk dengan
PAS, mesti dengan sendiri seseorang itu akan jadi baik.
Al-Khor, Qatar
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.