https://critoxium.com/shop/

Terkini

Gandingan Anwar, Azmin terbaik untuk PKR

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin mengingatkan anggota parti di negeri ini supaya memilih pemimpin yang mempunyai rekod pencapaian baik bagi meneruskan kelangsungan perjuangan mereka.

Mengambil Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai contoh, Zuraida berkata pemimpin itu mempunyai rekod pencapaian yang baik kerana memegang jawatan sebagai timbalan presiden parti sehingga empat penggal selain menjadi menteri besar Selangor selama empat tahun.

"Kita kena buat kerja gunakan kematangan kita pada pemilihan parti kali ini kerana ia penting.
"Kalau kita tidak matang memilih kepimpinan pada pemilihan parti kali ini, maka pengurusan parti akan terjejas.

"Kita kena pilih satu pasukan yang bersatu padu, yang boleh buat kerja sebagai satu pasukan kerana kalau tidak, setiap keputusan kita akan berpecah, apabila berpecah mana mungkin kita hendak menggerakkan agenda, hala tuju dan aktiviti parti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Yang Berhormat Zuraida Kamaruddin, di Butterworth malam tadi.

Zuraida yang juga calon bagi naib presiden berkata gandingan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin adalah yang terbaik dalam usaha menstabil, mengukuh dan memantapkan parti bagi tempoh tiga tahun akan datang.

"Inilah yang kita hendak agar PKR terus disegani kawan, parti DAP, Amanah (Parti Amanah Negara) dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) serta digeruni BN-Umno.

"Inilah pemimpin kita nak, dan yang terbaik bantu Anwar melaksanakan agenda reformasi adalah Datuk Seri Azmin Ali… sudah tentu lebih sempurna lagi pasukan Anwar dan Azmin dilengkapkan dengan Zuraida Kamaruddin calon nombor tiga bagi naib presiden PKR bersama barisan exco lain," katanya.
- Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.