https://critoxium.com/shop/

Terkini

Guan Eng beri 8 faktor ekonomi negara kekal kukuh

PETALING JAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberi jaminan ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan tinggi di sebalik ketidaktentuan perkembangan global yang meningkatkan pesimisme dan risiko terhadap pertumbuhan ekonomi dunia.

Beliau berkata, Malaysia tidak terkecuali dipengaruhi perkembangan itu, tetapi prestasi Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia antara terbaik di rantau Asia Pasifik dengan kenaikan 0.13% sehingga 7 September lalu.

“Sebagai perbandingan, Indeks Straits Times Singapura dan Indeks Nikkei 225 Jepun masing-masing telah jatuh 8.29% dan 1.72% pada masa sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, 8 faktor menyumbang kepada pengukuhan ekonomi Malaysia.
Pertama ialah pertumbuhan mantap yang dipacu permintaan domestik dan luaran.

“Dengan KDNK (keluaran dalam negara kasar) yang dijangka tumbuh sekitar 5% pada 2018, Malaysia akan menjadi antara negara yang paling pesat membangun di rantau ini.”

Faktor ke-2 ialah kepelbagaian ekonomi yang tinggi, di mana 54.5% daripada KDNK Malaysia terdiri daripada sektor perkhidmatan dan eksport negara juga terdiri daripada pelbagai industri, dengan sektor pembuatan menyumbang lebih 80% daripada jumlah eksport.

Faktor ke-3 ialah kadar pengangguran rendah 3.4% pada Julai lalu dan kenaikan gaji di sektor swasta sebanyak 6.2% bagi separuh pertama tahun ini.

Faktor ke-4 ialah lebihan akaun semasa negara pada tahap 2.8% daripada pendapatan negara kasar (PNK) dan ke-5 ialah kadar tukaran mata wang yang fleksibel, di mana ringgit lebih matang dan terapung sejak krisis kewangan Asia.

“Prestasi ringgit sekarang antara terbaik di Asia. Fleksibiliti kadar pertukaran ringgit telah menjadikan mata wang Malaysia sebagai satu penyerap kejutan apabila keadaan ekonomi tempatan dan dunia menekan.

“Akan tetapi, sektor perniagaan perlu mengambil maklum yang kadar pertukaran mata wang tidak dapat mengelak daripada berubah-ubah dan mereka perlu menguruskan pendedahan perniagaan kepada mata wang asing dengan bijaksana.

“Dalam jangka masa sederhana, kerajaan persekutuan akan terus memperbaiki asas ekonomi Malaysia dan nilai ringgit akan mengukuh untuk mencerminkan perkembangan positif ini.”

Faktor ke-6 ialah negara mempunyai penampan luaran mencukupi, dengan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah AS$104.4 bilion, di mana bank dan syarikat memegang aset luaran negara sebanyak RM1.3 trilion pada akhir suku ke-2 tahun ini.

Faktor ke-7 ialah kadar inflasi rendah 0.8% pada Jun dan 1.1% pada Julai lalu yang memberi ruang kepada Malaysia mengelak sebarang inflasi daripada luar akibat penyusutan nilai terhadap dolar Amerika Syarikat (AS).

Faktor ke-8 ialah konflik perdagangan antara China dan AS yang mewujudkan peluang unik untuk Malaysia.

“Peningkatan tarif import akibat peperangan perdagangan di antara 2 ekonomi terbesar dunia telah menyebabkan banyak syarikat, terutamanya syarikat pembuatan besar dari China dan AS mencari tapak baru untuk loji dan kilang mereka di Malaysia yang dilihat sebagai satu destinasi pelaburan selamat.”

Lim mengulangi kerajaan persekutuan sedang bergelut dengan skandal 1MDB yang menyebabkan negara menanggung beban hutang RM1 trilion.

“Kami berazam menjalankan semua langkah diperlukan bagi memastikan korupsi dan penyalahgunaan kuasa dapat dibasmi daripada sistem pentadbiran negara.

“Dengan asas ekonomi yang kukuh, pentadbiran baik serta kebertanggungjawaban fiskal, Malaysia hanya mempunyai satu arah, iaitu ke hadapan.”

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.