Jangan terperangkap dalam sangkar musuh
Oleh ALANG IBN SHUKRIMUN
MAAF cakap. Tapi agak
kecewa dengan sikap orang kita yang aktif di media sosial. Walaupun
Muktamar dua hari cukup padat dengan ilmu dan idea, tetapi perkara
tersebut tidak begitu tersebar di alam maya. Ucapan dasar, perbahasan
perwakilan, penggulungan dan penangguhan pimpinan tidak menjadi viral.
Sebaliknya boleh dikatakan kebanyakan sibuk menyambut serangan musuh
mengenai baju Amal. Padahal itu cuma isu yang sengaja disensasikan.
Kenapa perlu menari ikut rentak musuh? Kenapa tidak bawa agenda sendiri?
Tidak tahu, apakah fokus kepada isu Amal adalah satu langkah strategik dari organisasi parti sendiri, ataupun inisiatif facebookers dan mujahid siber
PAS akibat tidak memiliki sebarang agenda strategik yang lain. Jika ia
adalah langkah strategik, maka tiada pertikaian lagi. Mungkin ada
maslahahnya tersendiri. Tetapi jika inisiatif akar umbi, saya rasa perlu
perbetulkan kembali fokusnya. Amat malang jika respon ini adalah hasil
umpanan musuh politik.
Mungkin fenomena ini timbul kerana
mentaliti kita masih simplistik dan tidak berapa gemar memberatkan
pemikiran. Lebih suka melayan provokasi dan sentimen murahan. Jika benar
ini faktornya, malanglah PAS. Parti bernuansa Islam ini sepatutnya
berdiri atas dasar ilmu dan agama. Bukan sentimen dan rasa.
Joseph Liow, fellow Brookings Institute
pada 2003 menyatakan PAS kuat kerana ahlinya dipupuk dengan
perbincangan berat mengenai ideologi (fikrah). Ini menyebabkan mereka
susah dirosakkan. Tahun 2017 beliau menyatakan pula bahawa Islamis di
Malaysia sudah tidak pentingkan perihal ideologi menyebabkan mereka
senang terdorong utk bersikap oportunis. Maknanya, kualiti ahli sudah
berubah ke tahap membimbangkan.
Ayuh ahli PAS. Buktikan dapatan Joseph
Liow ini silap. Bangkit semula dengan kembali membincangkan perihal
ideologi dan ilmiah di media sosial. Olah dalam bentuk yang sesuai bagi
mentaliti rakyat setiap lapisan. Tugas utama kita dakwah, sementara
politik hanyalah alat dan wasilah. Tetapkan jati diri, jangan tertukar
matlamat, barulah tidak mudah terikut rentak asing.
18 September 2018
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.