https://critoxium.com/shop/

Terkini

MCA jalin kerjasama dengan Pas


BALAKONG - Kemunculan pertama Pas di pentas MCA  menggesa pengundi Balakong untuk menyokong parti etnik Cina itu pada 8 September ini telah menyingkap fasa baharu dalam politik tanah air.

Hari ini, MCA tanpa berselindung menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan parti Islam itu sebagai pasukan blok pembangkang.

Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, kerjasama MCA dan Pas bertujuan membentuk blok pembangkang yang kuat untuk menjalankan fungsi semak dan imbang.

"Kita ingin mewujudkan satu pasukan pembangkang yang  kuat untuk main peranan semak dan imbang.

"Semua parti mahupun individu yang bersama kita (MCA) atas prinsip semak dan imbang serta memberi bantuan kepada kita untuk mewujudkan kuasa semak dan imbang di Dun Selangor," katanya ketika sidang media di pusat operasi MCA di sini, hari ini.

Ditanya sejauh mana kerjasama antara MCA dan Pas, beliau berkata, sebagai ahli politik peranan utama ialah demi kebajikan rakyat dan pembangunan negara.

"Kerjasama MCA dan Pas ini akan terus dijalin berdasarkan isu. Selagi sesuatu parti atau  individu memegang nilai murni yang universal sealiran dengan prinsip MCA kita akan terus 'berkawan' namun pastinya akan timbul pandangan yang berbeza,"  katanya.

Semalam buat pertama kali pertama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan turun berkempen untuk MCA menyeru pengundi Balakong memilih Tan Chee Teong pada Sabtu ini.
Kehadiran pimpinan Pas dalam minggu terakhir ini menyuntik elemen kejutan dalam tempoh 21 hari berkempen PRK itu.

“Terdapat 56 kerusi Dun di Selangor, PH menang 51, Umno empat dan Pas satu kerusi pada PRU14. Hanya lima kerusi milik pembangkang. Ini tidak sihat.

“Tidak cukup wakil pembangkang untuk semak dan imbang kerajaan. MCA akan menjadi pembangkang yang baik dan efektif. Sila undi pembangkang, undi MCA pada Sabtu ini,” kata Takiyuddin ketika berucap di pasar malam di Taman Tun Perak, malam tadi.

Sementara itu, calon MCA PRK Dun Balakong, Tan Chee Teong berkata dalam tempoh 18 hari berkempen ini, beliau telah menjelajah hampir 95 peratus kawasan di Dun Balakong.

Beliau berhasrat untuk mencapai 101 peratus kawasan untuk mengadakan program walkabout agar pengundi memahami betapa pentingnya semak dan imbang dalam Kerajaan Selangor.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.