PAS sentiasa buka kerjasama termasuk MCA
SAYA merujuk kepada kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pada Konvensyen MCA 2018 yang disiarkan antaranya oleh Malaysiakini bertajuk “Bubar BN atau singkir Umno: MCA tolak gabungan Umno-PAS” dan portal nst.com bertajuk “We can kick Umno out of BN, warns MCA”.
PAS merasakan walaupun MCA bebas dan
berhak menyatakan apa saja sama ada menyokong atau menentang sesuatu
perkara, namun saya agak kabur tentang telahan mereka terhadap PAS.
Semua pihak amat maklum bahawa PAS adalah sebuah parti politik yang
berdaftar secara sah, bersikap demokratik dan bergerak dalam kerangka
undang-undang negara dan perlembagaan partinya.
Adalah suatu makluman yang mantap juga
bahawa PAS sentiasa bersikap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana
pihak, termasuk MCA, demi untuk kebaikan rakyat dan negara. Walaupun MCA
seolah-olah menafikan kerjasama dengan PAS semasa PRK Balakong
baru-baru ini, mereka perlu sedar PAS bukan sahaja bekerjasama dengan
UMNO atas dasar solidariti pembangkang, tapi juga dengan MIC dan
beberapa parti serta individu lain lagi.
Dengan penuh hormat, bagi saya kenyataan
Presiden MCA bukan sahaja tidak realistik malah berupa ‘takut kepada
bayang-bayang sendiri’. Jangan kerana bimbang kehilangan sokongan orang
Cina kepada DAP, MCA beralih kepada PAS yang kononnya tidak
mempertimbangkan realiti masyarakat majmuk di Malaysia dan tidak
mementingkan keharmonian kaum di negara ini. Pimpinan MCA juga dalam hal
ini bolehlah melawat Kelantan dan Terengganu dengan dada yang lapang
melihat sama ada wujud keharmonian kaum serta keamanan hidup di sana.
PAS mengharapkan MCA bertindak sebagai
parti politik yang matang dengan bersikap lebih terbuka serta
menunjukkan semangat demokratik dalam menghadapi suasana landskap
politik yang sudah berubah kini, bukannya dengan menghalakan serangan
malah ugutan kepada pihak lain bagi menutup prestasi buruk dalam PRU
ke-14 yang lalu. Apakah PAS juga yang menyebabkan rekod politik MCA
terjunam teruk dengan hanya memenangi satu kerusi Parlimen sahaja?.
PAS masih dan sentiasa membuka pintu
kerjasama dengan sesiapa sahaja, termasuk MCA, atas dasar kepentingan
negara dan rakyat jelata.
Setiausaha Agung PAS
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.