https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pemuda: Henti cemuh DAP, tonjolkan kejayaan kerajaan PAS

KUALA NERUS, — Semua anggota PAS perlu mempraktikkan budaya politik matang dan sejahtera (DPMS) seperti yang disarankan olehpresidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang termasuk dalam memeliharahubungan baik dengan kerajaan persekutuan, kata wakil Dewan Pemuda PAS  Akram Ikrami Taib Azamudden.

“Kita tak perlu lagi sebut soal keburukan, kehancuran, mungkir janji yang dilakukan kerajaan persekutuan hari ini.

“Ia tak perlu dijadikan utama ceramah akan tetapi yang perlu diulang sebut ialah kejayaan dan pencapaian (PAS) di Terengganu dan Kelantan dan di seluruh negara.

“Kita perlu faham bahawa DPMS membuahkan hasil yang cukup memberangsangkan dan ini tawaran PAS yang perlu diberikan kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden PAS pada muktamar tahunan PAS ke-64 di stadium tertutup Kompleks Sukan Negeri di sini hari ini.

Akram Ikrami juga berkata PAS perlu mengamalkan politik damai dengan kerajaan persekutuan iaitu menyokong segala perkara baik yang dilakukan kerajaan pusat demi pentingan dan kemaslahatan rakyat.

Ini kerana biarpun PAS sudah berjaya menawan Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, masih ramai rakyat yang belum meyakini agenda perjuangan yang dibawa oleh parti itu.

“Antara perkara yang kita mesti sedar dalam PRU14, PAS masih bersilat dalam gelanggang kita sendiri. Kita membuka tari dan bunga silat yang tersendiri tatkala kita lihat musuh bergerak maju mengeksplorasi langkah yang lebih tuntas.

“Pada era ini media sedang menguasai pemikiran dan fikiran masyarakat. Inilah cabaran besar PAS ketika kita hanya aktif di meja kuliah dan mimbar,” katanya.

Selain itu, beliau juga meminta supaya PAS berhenti mencemuh PKR dan DAP sebaliknya mencontohi  kepakaran mereka bagi meraih sokongan pengundi muda. — Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.