https://critoxium.com/shop/

Terkini

Akta Berita Tidak Benar wajar dimansuh

Oleh

MINGGU lepas, dilaporkan bahawa Dewan Negara telah menolak Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018.

Perkara itu diumumkan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. A. Vigneswaran, selepas undi belah bahagian menyaksikan 28 ahli Dewan Negara tidak menyokong pemansuhan akta itu berbanding 21 yang menyokong, manakala tiga yang lain memilih untuk tidak mengundi.

RUU itu yang bertujuan memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Ogos 2018 setelah bacaan kali ketiga.

Untuk konteks, Akta Anti Berita Tidak Benar telah diluluskan oleh Parlimen awal tahun ini, dan telah dikuatkuasakan sebelum Pilihan Raya Umum yang Ke-14.

Ini merupakan kali kedua Dewan Negara telah menolak suatu usul yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Maka, penolakan suatu usul oleh Dewan Negara adalah amat jarang terjadi.

Penolakan ini bermakna RUU Antiberita Tidak Benar (Peman-suhan) 2018 akan dihantar semula kepada Dewan Rakyat. Dewan Rakyat boleh membuat apa-apa pindaan, jika perlu, dan meluluskan RUU tersebut semula. Selepas lulus sekali lagi, ia akan dihantar semula kepada Dewan Negara, tetapi hanya seawal satu tahun selepas penolakan di Dewan Negara buat kali pertama.

Selepas itu, walaupun Dewan Negara tidak meluluskan RUU tersebut, ia akan dihantar untuk perkenan diraja, dan seterusnya dijadikan undang-undang dan dikuatkuasakan.

Dalam erti kata lain, Dewan Negara tidak boleh menolak terus sesuatu usul yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat, tetapi hanya melambatkan proses kelulusan sehingga satu tahun. Ini kerana, ahli-ahli Dewan Negara adalah dilantik, dan bukannya dipilih melalui proses pilihan raya.

Dari satu aspek, penolakan Dewan Negara ini menunjukkan bahawa Dewan Negara kini boleh memainkan peranan sebagai institusi semak dan imbang bagi Dewan Rakyat dan Kerajaan Persekutuan.

Penulis jangkakan bahawa banyak lagi RUU yang akan ditolak oleh Dewan Negara yang dikuasai oleh senator-senator pembangkang buat masa ini. Dewan Negara bukan lagi sekadar ‘rubber stamp’ untuk kerajaan.

Tetapi pada masa sama, penolakan RUU tersebut adalah suatu langkah yang regresif. Tindakan majoriti ahli Dewan Negara yang menolak pemansuhan akta tersebut adalah mengecewakan. Ahli-ahli Dewan Negara yang menolak pemansuhan akta tersebut telah gagal menggarap aspirasi rakyat dalam era Malaysia Baharu.

Akta Anti Berita Tidak Benar adalah undang-undang anti-demokratik yang melanggar kebebasan asasi rakyat Malaysia dan memberi kuasa kepada pemerintah untuk menentukan apa itu ‘benar’ dan ‘palsu’. Di tangan pemerintah yang tidak bertanggungjawab, ia akan disalahgunakan.

Sekiranya ia tidak disalah­gunakan sekalipun, tidakkah ahli-ahli Dewan Negara yang menyokong akta ini sedar bahawa sekiranya akta tersebut dilaksanakan, ramai ahli parti pembangkang, termasuklah pemimpin tertinggi mereka, akan dikenakan tindakan kerana menyebar berita tidak benar?

Walaupun dengan halangan ini, kerajaan mesti meneruskan usaha untuk memansuhkan akta tersebut. Ia mungkin memakan masa, tetapi janji untuk memansuhkan akta tersebut mesti dilaksanakan.

Pada masa yang sama, kerajaan wajar mengenakan menggantung segala bentuk perlaksanaan Akta Anti Berita Tidak Benar dari sekarang sehinggalah akta tersebut dimansuhkan kelak.

Penggantungan itu haruslah merangkumi aspek seperti penyia­satan, penahanan dan pendakwaan di bawah akta tersebut.

Kerajaan mesti meneruskan usaha mendukung semula kebebasan asasi rakyat Malaysia yang telah dinafikan dan disekat oleh undang-undang yang digubal oleh kerajaan terdahulu, melalui reformasi institusi dan perundangan, walaupun menghadapi tentangan daripada pihak pembangkang.

* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.