SPLASH: PH 'habiskan' rizab Selangor?
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
PETALING JAYA:
Pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) oleh
kerajaan negeri yang membeli kepentingan berbayar RM2.5 bilion dilihat
penuh keraguan dan bakal memberi kesan negatif.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr
Mohd Zuhdi Marzuki berkata, bayaran itu adalah 10 kali ganda dari
ditawarkan semasa Selangor diterajui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim iaitu hanya RM250 juta.
Aju beliau, perbezaan sekitar RM2.25
bilion itu begitu besar dan boleh dilaksanakan begitu banyak agenda
rakyat, selain menimbulkan persoalan pihak yang akan mendapat jumlah
sebesar itu.
"Peruntukan RM2.25 bilion ini adalah
sebahagian daripada pinjaman Kerajaan Selangor kepada Kerajaan
Persekutuan dalam pengstrukturan semula industri air. Pinjaman itu bila
dibayar dengan 10 kali ganda, pinjaman itu mungkin akan meningkat.
"Kemungkinan juga syarikat-syarikat
konsesi air yang telah terima penyelesaian sebelum ini akan saman semula
Kerajaan Selangor. Ini disebabkan kaedah dulu telah ditandatangani dan
tidak sama dengan dilakukan terhadap SPLASH.
"Bermakna, Kerajaan Selangor kemungkinan
lepas ini akan berbelanja lebih besar. Mungkin tarif air akan
meningkat. Ini pun sudah disebut. Mungkin 20 meter tidak lagi percuma,"
ujarnya memaklumkan pengambilalihan itu setelah PAS tiada lagi dalam
Kerajaan Selangor.
Mengulas perkara sama, Tan Sri Abdul
Khalid pula berkata, rizab simpanan Selangor sebanyak RM3 bilion boleh
menjadi kosong setelah penggunaan oleh Belanjawan defisit RM800 juta dan
pembelian SPLASH menggunakan baki RM2.2 bilion itu.
Manakala Naib Presiden PAS, Dato'
Iskandar A Samad pula menyatakan bahawa kerajaan negeri tidak berani
untuk berbuat sedemikian semasa PAS masih berada bersama mereka, tetapi
kini perkara tidak betul sedemikian berlaku.
Beliau yang juga bekas Exco Kerajaan
Negeri Selangor menyatakan, semasa PAS masih dalam kerajaan, urusan
SPLASH ditangguh-tangguh dan terus dilaksanakan sebaik PAS tidak ada
lagi bersama mereka selepas PRU14.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.