Abdul Hadi patut risaukan Pas, bukan PH
SHAH ALAM - Veteran DAP, Lim Kit Siang menasihatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya lebih risaukan prestasi partinya berbanding pencapaian PH.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata demikian sebagai menjawab dakwaan Abdul Hadi bahawa peratusan keluar mengundi di PRK Port Dickson rendah kerana tanda bantahan terhadap PH yang tidak memenuhi janjinya dan pemimpin pentingkan diri.
Beliau mengalu-alukan 'ilusi' Abdul Hadi itu yang disifatkan berperangai sama dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas bekerjasama.
"Walaupun jumlah peratusan mengundi rendah sebanyak 58.3 peratus dalam PRK Port Dickson, calon PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang 71.3 peratus rekod undi popular paling tinggi untuk pengundi paling rendah.
"Ia sebenarnya lebih tinggi daripada jumlah undi popular bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang hanya memperoleh 62 peratus undi popular di Parlimen Pekan, Abdul Hadi (59.3 peratus undi popular di Marang) atau Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (51.4 undi di Bagan Datuk," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Kit Siang mendakwa, selepas Abdul Hadi mengetuai Pas, prestasi parti Islam itu dilihat semakin menyusut.
"Daripada menjadi parti nasional dengan wakil rakyat di seluruh Semenanjung Malaysia, kini menjadi sebuah parti wilayah yang selesa di negeri-negeri Melayu pantai timur, Kedah dan Perlis.
"Malah beliau juga telah merosakkan kejayaan dalam menyantuni semua bangsa dan agama yang dilakukan dua Presiden Pas sebelum beliau, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan Yusuf Rawa serta Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selama lebih dua dekad," katanya.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.