Dobi layan diri bukan jadi hak milik peribadi
Oleh
PADA masa kini,
semua kemudahan yang diperlukan pengguna terutama di kawasan bandar
termasuk premis dobi pakaian layan diri yang lebih menjimatkan masa,
tenaga dan wang muncul bagaikan cendawan tumbuh pada musim hujan.
Hampir di setiap tempat
terdapat kemudahan tersebut bagi membolehkan golongan yang sibuk bekerja
membasuh pakaian mereka tanpa mengira masa.
Selain itu, kebanyakan dobi layan diri ada
menjual sabun dan cecair pelembut pakaian bagi memudahkan pelanggan yang
mungkin terlupa untuk membawanya dari rumah.
Sebenarnya, perkhidmatan dobi layan diri
yang mula popular sejak beberapa tahun lalu di negara ini memberikan
bukan sahaja khidmat untuk mencuci malah mengering pakaian dalam tempoh
singkat.
Negara kita sebenarnya agak lewat dalam
industri dobi layan diri kerana ia telah diperkenalkan di England seawal
tahun 1949 lagi. Di England, perkhidmatan itu dikenali sebagai launderettes manakala di Amerika Syarikat, Kanada dan Australia pula ia dinamakan laundromats.
Biarpun kemudahan itu diperkenalkan untuk
memberi kemudahan kepada pengguna tetapi ia tidak memberi apa-apa makna
jika sikap kita masih tidak mah
u berubah dengan mementingkan diri
sendiri dan menjadikannya seolah-olah milik peribadi.
Sikap mementingkan diri sendiri hanya menyusahkan pengguna lain.
Dalam hal ini, ada beberapa perkara yang
perlu diambil berat oleh pengguna perkhidmatan tersebut kerana khidmat
layan diri bukan tempat untuk mementingkan diri sendiri.
Kerap terjadi pelanggan membiarkan pakaian yang telah selesai dicuci atau dikeringkan lebih daripada had masa ditetapkan.
Terdapat juga sikap pelanggan bertindak
keluar agak lama dari premis dobi selepas memasukkan pakaian sama ada ke
dalam mesin pencuci atau pengering sebelum kembali semula sehingga
menyusahkan orang lain yang ingin menggunakannya.
Perkara itu berlaku kepada penulis baru-baru ini ketika mengunjungi sebuah premis dobi layan diri berhampiran tempat tinggal.
Sebaik melangkahkan kaki ke dalam premis
itu, terdengar suara seorang wanita seolah-oleh marahkan sesuatu.
Rupa-rupanya dia marahkan pelanggan yang menggunakan dua mesin cuci
tetapi tidak mengambil cucian biarpun mesin itu telah lama berhenti
berputar.
Selepas menunggu hampir setengah jam,
pelanggan tersebut muncul dan hampir berlaku pergaduhan. Mujurlah
beberapa orang yang ada di situ dapat menenteramkan keadaan.
Kes seperti ini rupanya bukan perkara
baharu kerana dikhabarkan terdapat kes serupa di tempat lain
memandangkan perangai ‘buruk’ dan mentaliti orang kita masih tidak
berubah.
Kita kena ingat masa dan keperluan
seseorang tidak sama dengan orang lain. Masa itu penting. Jika setiap
mesin pencuci dan pengering ada had masa yang ditetapkan, maka pantau
dan ikut apa yang ditetapkan.
Kita sendiri yang perlu bertanggungjawab
dalam hal ini dan bukan lepas tangan kepada orang lain. Jangan sampai ia
mencetuskan perasaan tidak puas hati orang lain dengan perbuatan kita.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.