Anwar perlu pertahan manifesto PH
Oleh Ahmad Amzad Hashim
PADA hari ini, Dewan
Rakyat kembali bersidang untuk Mesyuarat Kedua bagi Penggal Pertama
Parlimen ke-14. Tahniah diucapkan kepada YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
yang bakal kembali ke Parlimen setelah memenangi Pilihan Raya Kecil Port
Dickson yang berlangsung baru-baru ini.
Kita akur dengan keputusan rakyat di
Port Dickson dan berterima kasih kepada pengundi yang telah memberi undi
yang kedua terbesar kepada PAS walaupun dalam keadaan berdepan lawan
yang mempunyai nama yang lebih besar dan gah.
Walaupun tidak mempunyai sebarang
jawatan dalam kerajaan, pihak lawan sudah pun mendapat ruang untuk masuk
berkempen ke dalam kem tentera. Ternyata, di Port Dickson, kalah adalah
biasa untuk PAS, jika menang, itu luar biasa.
Bagi warga Port Dickson, kesungguhan dan
komitmen petugas-petugas sukarelawan PAS yang berkempen di medan yang
sukar ini adalah sesuatu yang luar biasa bagi kebanyakan orang biasa.
Bendera, bunting, poster calon
PAS kelihatan sangat menyerlah di Port Dickson. Tahniah diucapkan kepada
semua yang telah berkorban wang, material, tenaga, idea dan masa.
Siapa yang tidak teruja jika bakal wakil
rakyatnya bakal dinobatkan sebagai Perdana Menteri? Yang tidak teruja
barang kali yang bakal melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Oleh yang demikian, kita mengharapkan
dengan adanya Dato’ Seri Anwar di Parlimen, beliau akan mempertahankan
janji manifesto PH yang dirangka oleh partinya dan komponen PH yang lain
dan menunaikan janji sebelum PRU14.
Kita tidak mahu melihat Dato’ Seri Anwar
mengulang kata-kata Perdana Menteri sekarang yang dengan mudah
beralasan bahawa manifesto itu dibuat tanpa menjangkakan PH akan menang.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu
15 Oktober 2018/ 6 Safar 1440




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.