Ada menteri mahu ‘londeh’ Kelantan
Oleh M FAQIH
DALAM tempoh lima bulan
sudah cukup menteri belajar, namun mereka dilihat masih lagi berbaur
pembangkang. Itu luahan bekas veteran Umno, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Katanya lagi dalam isu pendidikan bukan
isu kasut hitam atau stokin. Sebaliknya ujar beliau membina syaksiah
(character building).
Inilah situasi malang yang masih
dibiarkan berlaku. Pengharapan tinggi rakyat, menteri lulusan agama
mempunyai jalur pemikiran lebih Islamik.
Pengharapan rakyat pernah didambakan
kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pak Lah juga lulusan pengajian Islam.
Gambar Pak Lah menjadi imam menghiasi laman-laman utama akhbar. Rakyat
kata ini kalilah. Akhirnya BN menang besar PRU 2004.
Menteri sekarang bukan sekadar lulusan
universiti tempatan, sebaliknya ada yang merantau menimba ilmu di bumi
ambia, Mesir dan Jordan. Malangnya kerangka fikir sekadar tukar kasut
hitam dan stokin.
Lebih mendebarkan apabila ada menteri
enggan mengaitkan isu yang berlaku di Palu, Sulawesi dengan bala LGBT.
Ujar menteri terbabit, kita mudah menghukum.
Maka tidak hairanlah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau terpaksa disesuaikan dengan pemikiran mereka.
“Mereka mempunyai idea berlainan, ada
yang mirip kepada sosialisme, ada yang mirip leberalisme, jadi kena
ambil kira semua,” ujarnya pada Bicara Minda di Karangkraf.
Enam bulan di era Malaysia Baharu belum
memperlihatkan suasana yang menjadi impian rakyat. Mungkin rakyat boleh
menarik nafas setelah GST disifarkan.
Namun ia hanya muncul seketika. Bayaran
bulanan broadband Maxis ketika era GST melonjak kepada RM72 berbanding
RM68 sebelum April 2015.
Namun sekarang di era SST meningkat pula kepada RM71.
Ini fakta yang berlaku bukan lagi sekadar persepsi. Fakta seperti inilah yang dihasratkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Ketika bertegang leher di parlimen Isnin lepas beliau menempelak Kelantan tidak mampu membayar gaji.
Ceritera itu bermula apabila anggota
parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan menyebut andai kata
Kelantan dan Terengganu mengambil alih projek Landasan Kereta Api Pantai
Timur (ECRL).
Respon segera Guan Eng, “saya fikir
macam mana Kelantan mampu buat sedangkan gaji anggota perkhidmatan awam
pun tidak mampu bayar”.
Sindiran tajam Menteri Kewangan itu
membuatkan Dewan Rakyat gamat seketika. Takiyuddin dan anggota parlimen
BN Machang, Dato’ Jazlan Yacob bangkit menuntut bukti.
Sketsa terbabit tidak terhenti di situ.
Pembangkang dari pelbagai penjuru tampil mendesak Menteri Kewangan
menarik balik tohmahan itu.
Isu tersebut tambah hangat lagi. Anggota
parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari muncul dengan statistik
menjelaskan semua kerajaan negeri menerima peruntukan daripada kerajaan
persekutuan.
Pada 2016 Selangor menerima peruntukan RM761.8 juta, jauh lebih tinggi berbanding Kelantan (RM397.9 juta).
Guan Eng enggan mengalah. Kapasitinya sebagai menteri dimanfaat. Lalu diselongkar lagi bagi membelek kelemahan Kelantan.
Lalu ditemui surat ditulis bekas Pegawai Kewangan Kelantan Dato’ Nik Kazim Nik Yusoff.
Menurutnya surat Nik Kazim menyatakan kerajaan Kelantan terdedah kepada kelewatan pembayaran gaji kakitangan serta bil semasa.
Surat itu bertarikh 18 Jun 2018 menyebut
Kelantan perlu pendahuluan dana sebanyak RM97 juta pada Julai bagi
menampung perbelanjaan luar jangka serta ketiadaan punca baru sumber
hasil.
Pendokong Pakatan Harapan girang semula. Impian melondeh Kelantan diteruskan.
Rupa-rupa di sebalik surat permohonan
itu kerajaan negeri menyandarkan kepada bayaran premium dan cukai
kerajaan persekutuan terhadap Kelantan.
Bayaran yang sepatut diterima berjumlah
RM275 juta. Ia melibatkan premium Institut Pendidikan Guru, premium
tanah Felda dan baki cukai tanah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
Lagi pun permohonan diajukan Kelantan merupakan amalan biasa dalam sistem persekutuan.
Kata Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara
Kanan Ahmad Yakob, Pendahuluan Boleh Dituntut diberi kerajaan
persekutuan bagi menampung keperluan aliran tunai negeri-negeri yang
memerlukan.
Berdasar kepada kronologi itu tidak salah seperti disebut Dr Rais, kenyataan menteri masih lagi berbaur pembangkang.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.