Ketidakhadiran menteri Kabinet di Parlimen perkara biasa
KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusoff
menyifatkan ketidakhadiran Menteri dan Timbalan Menteri di Parlimen
sebagai perkara biasa yang berlaku di mana-mana negara.
Malah, beliau berpandangan, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu oleh mana-mana ahli Parlimen.
“Ini adalah perkara biasa, dari dahulu sampai
sekarang memang itulah Parlimen. Kalau kita ambil contoh Parlimen luar
negara, sama sahaja.
“Kita bukan seperti Parlimen
di Australia yang mana semua orang berada dalam satu bangunan. Menteri
di sebelah kiri, Parlimen di tengah, jadi mereka boleh datang secepat
mungkin,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis
Penyerahan Buku Undang-Undang (Janab Law Series) oleh Hakim Mahkamah
Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer di bangunan Parlimen, hari
ini.
Semalam, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr.
Shamsul Anuar Nasarah memuat naik gambar yang memaparkan barisan kerusi
menteri dan timbalan menteri yang kosong ketika bekas Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak membahaskan usul Kajian Separuh Penggal
Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dalam sidang Dewan Rakyat.
Catatan
tersebut seterusnya tular dan mengundang reaksi kurang senang para
netizen yang mempersoalkan mengapa situasi itu berlaku dalam era
Malaysia Baharu di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Mengulas lanjut, Mohamad Ariff berkata, selagi kuorum mencukupi, ia sudah memadai untuk meneruskan sidang.
“Kalau sudah pukul 12 tengah malam, takkan perlu ada 222 ahli Parlimen juga. Selagi ada kuorum, sudah memadai.
“Ini kerana apa yang dibahaskan di Parlimen akan dirakam dalam penyata rasmi. Itu yang penting,” katanya.
Ketika
diminta mengulas mengenai cadangan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim
yang meminta supaya elaun ahli Parlimen yang gagal hadir menghadiri
sidang Dewan Rakyat dikaji semula, beliau menyifatkan tindakan itu
sebagai terlalu drastik.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.