https://critoxium.com/shop/

Terkini

Baik teksi @ Grab jangan biadab

Oleh

KALAU dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pun dia orang buat ‘dhek’ – dan kurang ajar – apa lagi dengan penumpang biasa! Tidak syak lagi insiden di Langkawi hujung minggu lalu menambahkan lagi kemarahan dan ‘bhengkek’ orang ramai terhadap pemandu teksi.

Seperti yang dilaporkan media sekumpulan 10 pemandu teksi bersikap kurang ajar terhadap Perdana Menteri pada satu majlis dialog di pulau legenda itu. Dialog tersebut diadakan bagi membincangkan masalah pemandu teksi yang menghadapi persaingan dengan perkhidmatan e-pengangkutan.

Kumpulan berkenaan meninggalkan dewan ketika Tun Mahathir cuba menjelaskan apa yang sedang dilakukan kerajaan bagi meredakan persaingan dalam industri pengangkutan, demi manfaat pemandu teksi.

Perdana Menteri sendiri turun padang untuk membincangkan nasib mereka, dan mereka boleh angkat punggung, langsung tidak hormat.Maka tidak menghairankan sekiranya ada yang marah-marah dan meminta kerajaan jangan memberi muka kepada orang seperti ini. Malah, ada yang mencadangkan haramkan sahaja teksi.

Kalau pun tidak kerana insiden di Pulau Mahsuri itu, perihal pemandu teksi kurang mesra pelanggan itu bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Maaf cakap, kita ada lebih kurang 45,000 pemandu teksi di seluruh negara, bukan semuanya bengkeng. Tetapi sikap kasar dan sombong memang menjadi ‘trade mark’ pemandu teksi kita.

Almaklumlah selama ini pun seluruh dunia tahu pemandu teksi di negara kita adalah antara yang paling teruk di planet bumi. Di bandar-bandar besar, khasnya KL, biasa sangat penumpang merungut kerana layanan yang menyakitkan hati sekiranya menahan teksi pada waktu puncak, termasuk ketika keadaan terdesak.

Pemandu enggan mengambil penumpang. Antara alasan yang paling biasa: laluan ke destinasi sesak, atau “teksi saya nak hantar cuci”, atau “saya belum solat Zohor”, atau “nak hantar anak tuisyen”, macam-macam.

Atau, lebih menyakitkan hati sekiranya ada yang sanggup mengambil dan menghantar penumpang tetapi “jangan pakai meter...” Tambangnya boleh naik dua atau tiga kali ganda.

Penumpang sebenarnya sudah bosan dengan sikap tidak profesional – malah sombong – pemandu teksi. Puas sudah mengadu pada SPAD, JPJ, Puspakom, polis, wakil rakyat, hatta tok ketua dan JKK, semua tidak berkesan.

Jawapan paling biasa pihak yang menerima aduan penumpang ialah: “Kita akan siasat, dan ambil tindakan.” Tetapi tidak ada tindakan. Pemandu teksi semakin naik lemak.

Sebaliknya pemandu teksi pula memberi alasan kepada penguat kuasa mengapa tidak mengambil penumpang di laluan sesak: “Bawa teksi pun macam berniaga, mesti nak untung. Kalau lalu jalan sesak macam mana kita nak cari makan? Penumpang tak faham ker?”

Hello? Nama pun bawa teksi, pastilah ada kalanya jalan sesak, terutama di KL. Kalau tidak mahu laluan sesak jangan bawa teksi; bawalah kapal terbang atau kapal selam!

Berbeza betul dengan Grab, pemandunya tidak memilih destinasi. Tidak kira laluan sesak, hujan lebat hatta banjir kilat, mereka sedia menerima tempahan penumpang untuk mendapat rezeki.

Sejak perkhidmatan e-pengangkutan itu diperkenalkan beberapa tahun lalu, penumpang ada pilihan: kalau susah mendapat teksi, panggil sahaja Grab.

Pemandunya lebih mesra alam, murah senyuman, tidak muncung ikan todak. Dan yang lebih penting, tambangnya lebih murah berbanding teksi.

Itu tanggapan umum terhadap Grab. Terbukti persaingan dengan e-pengangkutan menjejaskan mata pencarian pemandu teksi. Ramai mendakwa pendapatan mereka merosot sehingga 60 peratus. Ramai yang terpaksa berhenti membawa teksi.

Kalau tanya orang ramai, pasti mereka akan kata: “Dulu sombong dengan penumpang, selalu jual mahal. Sekarang sudah ada Grab baru mereka tau, padan muka!”

Tetapi kerajaan sentiasa bertolak ansur dan menyedari nasib pemandu teksi tidak boleh diketepikan terus. Grab perlu, tetapi 45,000 pemandu teksi di seluruh negara mesti juga diberi perhatian. Sebab itu perbincangan dan dialog perlu diadakan untuk mendapatkan satu formula yang menguntungkan semua pihak, termasuk penumpang.

Seperti yang diumumkan kerajaan mahu Grab dan lain-lain perkhidmatan seumpamanya perlu menggunakan kenderaan yang diluluskan kerajaan, membayar insurans dan cukai sama seperti syarikat teksi.

Saya setuju Grab dan lain-lain e-pengangkutan perlu dikenakan syarat dan peraturan seperti teksi. Mereka perlu dikawal bagi memastikan tidak ada pemandunya yang mengambil kesempatan atau membuli penumpang.

Teksi dan Grab mesti bersaing secara sihat dan tidak saling berseteru.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.