Khashoggi: Antara Saudi, Turki & Ikhwan Muslimin
Oleh Abdul Muein Abadi
NAMA Jamal Khashoggi tiba-tiba menggegarkan arena politik antarabangsa. Pada mulanya, lelaki Arab Saudi ini yang sepatutnya melangsungkan perkahwinannya tidak lama lagi telah diisytiharkan hilang selepas beliau pergi ke Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki untuk urusan persediaan perkahwinannya.
Akhirnya kebenaran tidak dapat disembunyikan lagi: pihak Turki memiliki bukti bahawa beliau telah mati dibunuh dengan dikerat hidup-hidup dan dipenggal dengan dahsyat di Konsulat Arab Saudi di Istanbul ini.
Jamal Khashoggi bukanlah sembarangan lelaki. Beliau dilaporkan pernah berkhidmat dengan agensi perisikan Arab Saudi selama lebih 20 tahun sebelum hari ini terkenal sebagai seorang penulis dan wartawan yang berpengaruh dan banyak mengkritik rejim monarki Arab Saudi yang diketuai oleh Raja Salman dan Putera Mohammed Bin Salman.
Beliau pernah berkhidmat di bawah Putera Turki al-Faisal, Putera Bandar al-Sultan dan arkitek badan perisikan Arab Saudi sendiri iaitu Brigadier-General Yousuf al Idrissi. Beliau pernah menulis laporan pada 1994 bahawa usaha Arab Saudi untuk menghapuskan pengaruh gerakan Islamis yang paling berkuasa di Mesir iaitu Ikhwan Muslimin adalah sia-sia.
Hubungan Jamal Khashoggi dengan gerakan Islamis Ikhwan Muslimin menjadi fokus utama yang mengakibatkan pembunuhan kejam ke atas beliau ini. Beliau pada asalnya menyertai jemaah Ikhwan Muslimin pada waktu muda sebelum berkhidmat dengan kerajaan Arab Saudi.
Susulan pendirian beliau yang menentang tindakan Putera Mohammed Bin Salman seperti memerangi Yaman, memulau Qatar, dan rapat dengan Donald Trump, beliau telah bertindak nekad melarikan diri dari Arab Saudi pada September 2017.
Jamal Khashoggi juga lantang mengkritik Israel dan sering menyeru para pemimpin Dunia Islam dan Arab khususnya agar berjuang menentang Israel. Pada 2 Oktober 2018, beliau telah ke Konsulat Arab Saudi untuk urusan perkahwinannya – itulah hari terakhir beliau dilihat di khalayak ramai.
Adakah beliau dibunuh hanya semata-mata kerana ‘mengkritik Raja Salman dan Putera Mohammed Bin Salman’ atau dasar luar agresif Arab Saudi? Motif yang lebih kukuh adalah pada bakal isterinya dan juga perancangan Jamal Khashoggi sendiri.
Siapakah bakal isteri Jamal Khashoggi? Beliau ialah seorang wanita Turki bernama Hatice Cengiz yang merupakan seorang diplomat dan juga anak perempuan kepada bekas penasihat Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. Apakah perancangan Khashoggi? Beliau merancang untuk menubuhkan sebuah Pusat advokasi bernama ‘Democracy for the Arab World Now’ (DAWN) bagi mempromosikan gerakan pro-demokrasi dengan bantuan dana Turki dan Qatar – dua negara yang pro-Ikhwan Muslimin dan pesaing kuat kepada dominasi Arab Saudi di Timur Tengah.
Hal ini demikian kerana Khashoggi memiliki rangkaian yang cukup besar dan meluas di dalam mahu pun di luar Arab Saudi. Maka tidak menghairankan sekiranya Khashoggi dilihat sebagai ancaman. Sejak sekian lama, gerakan pro-demokrasi dilihat sebagai ancaman kepada status quo monarki Arab yang berkuasa di Timur Tengah hari ini – malah tumbangnya rejim seperti di Tunisia, Mesir, dan perubahan di Maghribi selepas Arab Spring menambahkan kebimbangan sebegini.
Tidak menghairankan sekiranya Putera Mohammad Bin Salman mengutuskan pembantu beliau sendiri, iaitu Maher Abdulaziz Mutreb ke Istanbul untuk ‘menguruskan’ Khashoggi.
Rahsia ini bocor apabila seramai 15 ejen dari Arab Saudi – termasuk ahli patologi – dikesan terlibat hasil siasatan pihak berkuasa Turki. Malah, foto pembantu Putera Mohammad Bin Salman, iaitu Maher Abdulaziz Mutreb memasuki Konsulat Arab Saudi beberapa jam sebelum ‘kehilangan’ Khashoggi juga telah didedahkan.
Konsulat Arab Saudi yang pada mulanya mendakwa bahawa Khashoggi telah pun keluar beredar dari konsulat di Istanbul selepas urusan beliau selesai akhirnya menukar kenyataan mereka. Terbaharu, mereka mengakui bahawa Khashoggi telah ‘terbunuh’ dalam konsulat.
Apa pula reaksi ‘polis dunia’ iaitu Amerika Syarikat yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dan kebebasan bersuara para wartawan? Seperti diduga, Presiden Trump mengulangi kenyataan bahawa Arab Saudi ialah sahabat dan sekutu paling penting bagi Amerika Syarikat di Timur Tengah.
Semoga keadilan dapat ditegakkan dalam kes pembunuhan berprofil tinggi ini.
* Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.