“Alangkah beruntungnya kita semua jika mampu memiliki sebanyak mungkin unta merah ini sebelum dijemput Allah ke alam barzakh.”
Itu dialog yang digunakan ketika memberi galakan sesama kami dalam ziarah dakwah ke Jepun baru-baru ini (14 - 19 September 2018). Bandingan pahala unta merah itu dijanjikan Rasulullah SAW dalam sabda Baginda:
“Maka demi Allah, (ganjaran yang kamu peroleh) kerana seseorang memeluk Islam (atas usahamu) lebih baik nilainya daripada (nilai) seekor unta merah (unta yang sangat mahal harga pada orang Arab),” - Sahih Bukhari. 


TERASA KERDIL


Apabila dikelilingi majoriti bukan Islam, baru terasa betapa kami masih jauh daripada kerja dakwah berbanding Rasulullah SAW dan para sahabat. Bahkan Musyrikin Quraish pada zaman Nabi sendiri mengakui ‘hampir goncang’ tiang akidah berhala mereka dek kesungguhan nabi dalam berdakwah. Pengakuan mereka itu direkodkan Allah SWT dalam firman-Nya:
“(Musyrikin Quraish mengakui) Sebenarnya dia (Muhammad) hampir dapat menyesatkan kami daripada (penyembahan) tuhan (berhala) kami (kerana usahanya berterusan menyebar dakwah Islam), jika tidaklah kerana kami tetap teguh menyembahnya.” Dan mereka akan mengetahui kelak ketika mereka melihat azab seksa: siapakah yang sebenar-benarnya sesat jalannya,” (al-Furqan 25:42).
Rasulullah SAW dan sahabat Baginda sangat hebat dalam kerja dakwah mereka. Bayangkan, titik mula mereka adalah ‘kosong’ tetapi selepas hampir 1,500 tahun Islam sudah tersebar sejauh mata memandang. Umpamanya, di mana ada oksigen, maka di situ ada Islam.

Saya percaya, jika Baginda dan generasi sahabat masih hidup, pasti banyak negara akan jatuh tersungkur berlutut mempertuhan Allah dek seruan dakwah mereka.

Namun kita perlu bersikap praktikal, bukannya dilamun nostalgia silam. Mereka sudah melakar sejarah harum dalam dakwah, apa pula yang kita ukir? Malang benar jika kita hanya tahu menambah musuh sesama yang sudah Muslim dan gagal mempamer cereka indah untuk yang belum Islam.

HIDAYAH BERPUTIK


Semasa di Jepun, pasukan kami sempat bertemu beberapa Muslim Jepun yang dipertemu hidayah dengan pelbagai jalan yang unik. Antaranya seorang Cina Malaysia berasal dari Kedah. Lama dia hidup di Malaysia, namun dijamah hidayah di Jepun. Mengapa hidayahnya ‘dijadualkan’ Allah di Jepun, sebuah negara bukan Islam? Adakah Muslim Malaysia tidak berjaya memasarkan Islam kepadanya sehingga pemasaran Islam Jepun lebih menarik minatnya?

Apa pun, ini bukti keajaiban hidayah Allah. Ia tiba tanpa mengira lokasi dan waktu. Lihat sahaja kisah sahabat terbilang ‘Amru bin al-‘As r.a. Dia kenal Nabi SAW sejak muda dan lama berada dalam gelanggang melawan Nabi. Setelah Musyrikin Quraish mengalami kekalahan teruk dalam perang Ahzab pada tahun kelima Hijrah dan pengaruh Islam semakin kuat, beliau pergi ke Habsyah untuk bernaung di bawah pengaruh al-Najasyi.

Ketika masuk bertemu al-Najasyi, ‘Amru terserempak dengan utusan Rasulullah SAW dari Madinah iaitu ‘Amru bin Umayyah al-Dhamri. Setelah menghadap al-Najasyi, beliau meminta izin untuk membunuh utusan Baginda yang dianggapnya sebagai duri dalam daging.

Al-Najasyi sangat marah, lalu beliau memukul hidung ‘Amru dengan kuat. Sejurus itu al-Najasyi berkata:
“(Wahai ‘Amru bin al-‘As) adakah kamu meminta izin daripadaku untuk membunuh wakil kepada seorang lelaki yang pernah didatangi Malaikat penyimpan rahsia besar (Jibril a.s.) yang pernah mendatangi Musa a.s.? Aku (‘Amru) bertanya: Wahai Tuanku, adakah benar begitu perihalnya?”
“Al-Najasyi berkata: Aduhai malangnya kamu wahai ‘Amru! Dengarlah cakapku ini dan hendaklah segera kamu ikutilah dia (Muhammad SAW) kerana demi Allah dia memang berada atas kebenaran.”
“Dia juga akan mengalahkan semua penentangnya sebagaimana Musa a.s. mengalahkan Firaun dan bala tenteranya. Al-Najasyi kemudiannya menghulurkan tangannya dan aku (‘Amru) berjanji setia dengannya untuk menerima Islam. Setelah aku keluar bertemu temanku, hasrat asalku sudah hilang dan aku menyembunyikan pengislamanku daripada pengetahuan mereka. Kemudian, setelah pulang ke Mekah aku pergi bertemu Rasulullah untuk mengisytiharkan pengislamanku,” - Musnad Ahmad.

Al-Najasyi tidak mendapat rezeki bertemu Rasulullah SAW walaupun beliau memeluk Islam pada tangan Ja’afar bin Abi Talib selaku ketua Muhajirin Mekah di Habsyah. Oleh itu, pangkat al-Najasyi hanyalah seorang tabiin atau murid sahabat. Walaupun begitu, beliau berjasa besar memecahkan ego kufur ‘Amru bin al-‘As yang membawa kepada pengislamannya. Inilah keajaiban hidayah kurniaan Allah. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan di mana sahaja, Malaysia atau Jepun.

Letakkan sasaran anda agar dapat mengumpul sebanyak mungkin pahala unta merah sebelum dijemput Allah ke alam barzakh. Pahala unta merah bukan hanya di Jepun tetapi boleh muncul di seluruh dunia asal sahaja ada usaha membawa semua manusia ke dalam istana Islam.

Jika tidak mampu melakukannya secara individu, gabungkan tenaga, harta dan doa agar usaha memacu kenderaan dakwah dapat digerakkan selaju mungkin dalam memburu si unta merah sebagaimana kejayaan yang pernah dilakar generasi awal Islam. Insya-Allah.