https://critoxium.com/shop/

Terkini

Pertahan Ekonomi Al-Argam .


Oleh Fathi Aris Omar

Sesuatu yang abadi dan berkesan mengenai kumpulan al-Arqam sejak 1980-an hingga sekarang: kepercayaan orang ramai bahawa mereka pandai berniaga.

Hingga kepandaian berniaga itu menarik simpati orang ramai, pendakwah dan cerdik pandai. Konon, walau dituduh sesat dan menyeleweng, orang merayu janganlah jabatan agama/polis rosakkan perniagaan kumpulan itu!

Dek kuatnya propaganda al-Arqam itu dan tebalnya rasa kasih pada agama, kita terlupa dua perkara:

(a) semua pertubuhan agama berusaha mengembangkan kantung dana masing-masing, sama ada kutipan derma, sokongan ahli atau perniagaan.

(b) semua kultus, apa ideologi dan agamanya, memperalatkan dana, seks dan banjiran kasih sayang (disebut: love bombing) sebagai nadi kehidupan mereka.

Pertubuhan utama berasaskan agama ABIM, IKRAM, ISMA dan PAS (tidak lupa, Umno) juga berniaga/mengutip derma tetapi tiada sesiapa mengaitkan pertubuhan ini dengan perniagaan dan ekonomi tetapi orang selalu nampak al-Arqam.

(Umno juga dikaitkan dengan usaha mengembangkan dana dalam projek, syarikat besar dan politik wang tetapi ia bukan pertubuhan agama).

Selain usaha niaga ABIM, IKRAM atau ISMA, PAS turut rancak mengembangkan dana, termasuk perniagaan. Saya dimaklumkan ada kawasan-kawasan tertentu PAS mempunyai aset/dana hingga ratusan ribu ringgit, malah lebih sejuta ringgit.

Jadi dalam banyak-banyak kelompok agama ini, hanya al-Arqam dianggap hebat dalam perekonomian, perusahaan kecil dan rangkaian luar negara. Kumpulan Islam lain tidak dikenali begitu dan (boleh jadi) tidak mahu menjual imej tersebut.

Sebelum dituduh sesat oleh kerajaan pada 1990-an, walau kontroversi Syeikh Suhaimi sebagai al-Mahdi dan aurad Muhammadiyah sudah lama tercetus, cerita perekonomian al-Arqam sudah lama disebar.

Saya tidak fikir pada era 1970-an dan 1980-an al-Arqam sudah rancak berniaga tetapi tanggapan mereka hebat berekonomi sudah melekat walau hanya mi, kicap, buku, kaset dan majalah.

Mungkin orang Melayu sendiri cepat kagum pada kegiatan ini sewaktu gula-gula, biskut dan segala macam makanan di kedai runcit ceruk kampung dihasilkan bukan Islam.

Pada tahun-tahun awal ini orang kita memang cepat kagum: anak gaji empat angka, anak masuk asrama penuh, anak kerja pegawai, dapat masuk TV/akhbar atau ada rumah batu besar. Apatah lagi muncul sebagai jutawan!

Tetapi simpatisan al-Arqam ini (hingga Rufaqa' dan GISB) terlupa sifat asasi kultus agama: dana, harta, seks dan limpahan kasih sayang (love bombing). Tanpa semua ini, tiada kultus boleh bertahan lama.

Sebab itu saya selalu hairan bagaimana cerdik pandai, golongan kelas menengah dan birokrat (termasuk penguatkuasa) boleh ada rasa simpati pada al-Arqam atas usaha ekonomi mereka!

Perlu diakui memang al-Arqam berusaha keras ke arah itu. Dakwahnya yang sebenar memang berniaga macam ABIM dengan seminar/kertas kerja atau IKRAM dengan sekolah agamanya.

Tetapi, seperti saya sebut ini, dana satu ciri khas kultus atau apa-apa gerakan yang berunsur agama dan politik. Banyak kultus yang kita boleh kaji.

Jadi tidaklah logik mengawal kesesatan atau penyelewengan al-Arqam sekadar membetulkan akidah. Nadi kehidupan mereka yang sebenarnya dana.

Seseorang penganut tegar atau fanatik, apa jua kepercayaan agama atau politik, tidak boleh diubah sekadar pemaksaan majlis taubat. Program latihan dan penjara juga gagal jika dananya masih kuat.

Paksalah dan seksalah, walau di Teluk Guantanamo, mereka tidak berubah. Paling teruk, mereka mengalami masalah mental. Yang lain, menyamar, berpura-pura atau berhelah macam takiyyah Syiah.

Lihatlah sepanjang 30 tahun ini, daripada pertama kali diharam pada 1994 hingga sekarang 2024, al-Arqam tidak berubah lebih baik daripada yang dikenali pada 1970-an.

Yang berubah hanya jumlah kekarutannya dan nama, daripada al-Arqam kepada Rufaqa' kepada Global Ikhwan (dan mungkin nama-nama yang kita belum kenali/belum tahu).

Ciri-ciri lain kultus:

1. mengepung minda/fizikal ahli, menghukum mereka yang tidak setia/tidak taat atau keluar daripada kultus

2. tidak mempeduli hubungan kekeluargaan asas, boleh pisahkan pasangan/anak

3. penguasaan mutlak hal-ehwal kelompok khususnya dana/disiplin dalam kalangan pemimpin atasan/teras tanpa penanggungjawaban

4. tidak tolak ansur pada kritikan, teguran atau pertikaian (persoalan) dari dalam (dan juga dari luar)

5. tidak pernah telus dalam hal-ehwal dana, aliran tunai dan aset kecuali dalam kalangan beberapa kerat pemimpin atasan

6. takut (atau ditakut-takutkan) dunia luar yang dianggap bertentangan atau memusuhi nilai hidup mereka

7. hanya pemimpin suci dan mengetahui kebenaran, sementara pengikut berasa selalu perlu dipandu arah.

Pendek kata kultus itu berkembang dan bertahan apabila:

- wujud seorang pemimpin berkarisma,

- ajarannya tidak dipersoal,

- kehidupan pengikut dikawal ketat,

- ada amalan tertentu mengawal fikiran atau menyeronokkan,

- pengasingan daripada pengaruh luar,

- pengikut beri segalanya untuk kelompok, dan

- bersiap sedia untuk satu perubahan besar/akhir zaman.

NOTA: Saya tidak bahas sesat atau tidak al-Arqam. Semua ini terpulang pada penyelidik, jabatan agama dan penguatkuasa.

Yang saya tegaskan di sini ialah pergerakan dana dan aktiviti perniagaan tidak boleh dipisahkan daripada kultus agama, sel pengganas, kumpulan samseng atau kelompok politik.

Jadi simpati pada perekonomian al-Arqam tidak sejalan dengan usaha mengawal penyelewengannya. Tidak logik tolak kesesatan atau mahu betulkan akidah tetapi benarkan aliran dana bergerak bebas.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.