25 Tahun Selepas 20 September
Oleh Fathi Aris Omar
Gerakan Reformasi 1998 lahir daripada semangat perlawanan. Lawan tetap lawan, lawan sampai menang. Tetapi belum ada harapan. Sepuluh tahun semangat perlawanan menyala tanpa tanda-tanda jelas kemenangan.
Hidup sepanjang dasawarsa ini penuh pertarungan dan keperitan. Tangkapan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan intipan polis sentiasa menghantui pemimpin dan aktivis. Media arus perdana membungkam semua suara kritikan.
Selain pentas ceramah gabungan pembangkang Barisan Alternatif (BA), badan kehakiman dan polis menjadi sorotan ramai. Datuk Seri Anwar Ibrahim dibicara selama dua tahun bagi dua kes yang dianggap “konspirasi politik peringkat tertinggi”.
Terengganu, yang dirampas BA pada pilihan raya umum (PRU) 1999, ditarik balik royalti petroleum pada September 2000, menjejaskan kira-kira 80 peratus pendapatan negeri. Rasa dizalimi membuak-buak.
Persempadanan baharu pilihan raya dibentang pada 2003 dengan hasrat menghalang kemaraan BA yang meraih sokongan besar pengundi Melayu. Mewujudkan lebih banyak kerusi campuran bukan Melayu antara “dosa terbesar” Tun Dr Mahathir Mohamad, kata pemimpin PAS.
Hairannya, demonstrasi yang dimulakan secara besar-besaran di Kuala Lumpur sejak 20 September 1998 tidak pernah padam. Ia tetap diteruskan kecil-kecilan. Ada kalanya melimpah ke Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) pada November 2000.
Perhimpunan di Masjid Negara dan Dataran Merdeka 25 tahun lalu menjadi penanda aras perlawanan dengan bantahan besar bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil mulai 2007 atau mendesak pemansuhan ISA pada 2009.
Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) pula muncul dalam tunjuk perasaan terbesar etnik India pada November 2007, selang dua minggu selepas demonstrasi Bersih kali pertama.
Pada September tahun itu, kumpulan peguam berarak di Putrajaya bagi mendesak siasatan klip video pengaturan hakim, skandal badan kehakiman paling panas yang didedahkan Anwar daripada rakaman sulit lima tahun sebelumnya.
Pertengahan 2006, orang ramai turun di jalan raya bagi membantah kenaikan harga minyak dan tarif elektrik. Dengan bantuan blog, pada tempoh yang sama, Dr Mahathir melancarkan siri serangan terhadap penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Digelar “tsunami politik”, setelah satu dekad bertarung, pilihan raya 8 Mac 2008 menguak harapan. Selain Kelantan, empat lagi negeri termasuk Selangor jatuh ke tangan gabungan pembangkang, kemudiannya dikenali Pakatan Rakyat (PAKATAN). Barisan Nasional hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.
Pergeseran dalaman
Tiba masanya negeri-negeri ini membuktikan semangat reformasi. Selangor mendahului dengan memperkenal Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor pada 2010 selepas Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor dibentuk dua tahun lebih awal.
(rujuk laporan ‘Rintis reformasi pentadbiran, Selangorkini, 9-15 Mac 2023)
Bagaimanapun harapan kejayaan ini datang bersama ujiannya tersendiri. Perak kembali ke tangan BN setelah berlaku insiden melompat parti beberapa wakil rakyat. Beberapa ahli parlimen PAKATAN berpindah sokongan kepada kerajaan pusat.
Selain serangan media yang makin meningkat kepada lima kerajaan negeri PAKATAN, berlaku pula pergeseran dalaman parti dan juga antara tiga parti ini Selangor dilanda krisis menteri besar, sementara PAS retak hingga melahirkan Parti Amanah Negara.
PAS pula berpisah daripada DAP tetapi tidak meninggalkan kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), terus berada dalam pentadbiran Selangor. Semua krisis ini berlaku, satu demi satu, selepas kejayaan PAKATAN meraih undi popular lebih besar daripada BN pada pilihan raya umum 2013.
Namun desakan untuk reformasi tidak pernah dilupakan, termasuk menuntut pilihan raya bebas dan adil. Buat pertama kali dakwat kekal diperkenalkan pada pilihan raya sedekad lalu hasil desakan reformasi pembangkang.
Beberapa akta penting diperkenalkan sebelum Abdullah diasak keluar pada April 2009. Beliau
memperkenalkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menambah lagi keupayaan bertindak badan itu.
Abdullah juga memperkenalkan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) walau sebahagiannya masih tidak memuaskan dan mengundang kritikan.
Pembelotan 2020
Semua akta ini digubal selepas menerima syor beberapa suruhanjaya bebas siasatan diraja (RCI), antaranya bagi menambah baik badan kepolisan dan juga kehakiman sebelum PRU 2008 lagi.
Akta zalim ISA yang menakutkan itu terpaksa dimansuh oleh kerajaan Datuk Seri Najib Razak pada Julai 2012 hasil kempen berterusan sejak 1998 dan demonstrasi besar menolak undang-undang tersebut pada 2009.
Ketika pergeseran sesama PAKATAN itu, meledak pula skandal syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan kapal selam Scorpene yang tidak surut-surut sejak hujung 2006.
Di saat inilah, selepas gerakan Deklarasi Rakyat dilancar pada Mac 2016, Dr Mahathir berjabat tangan dengan Anwar di mahkamah selepas krisis tajam selama 18 tahun.
Peristiwa ini melicinkan proses kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Pakatan Harapan (HARAPAN), gabungan baharu yang menggantikan PAKATAN apabila PAS memilih jalannya sendiri.
Datang PRU 9 Mei 2018, penguasaan BN selama 60 tahun pun berakhir. Pelbagai usaha reformasi mula digerakkan lebih banyak. Pindaan perlembagaan dibuat pada Julai 2019 bagi membolehkan remaja seawal 18 tahun turun membuang undi.
Namun, sekali lagi, usaha reformasi tergendala akibat pembelotan Bersatu dan sekumpulan ahli parlimen KEADILAN pada Februari 2020.
Ketika negara dilanda Covid-19, kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertindak sesuka hati dengan merampas negeri-negeri, sepanjang 2020, yang asalnya dimenangi HARAPAN. PN juga memperkenalkan darurat pada Januari 2021.
Tetapi usia pentadbiran ini tidak panjang. Darurat yang menguatkan kuasa Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa proses semak dan imbang menjadi punca kejatuhannya sehingga diganti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ogos 2021.
Pemimpin Umno itu bersedia menghulur tangan kerjasama dengan HARAPAN yang membolehkan sejumlah lagi reformasi penting dilaksanakan. Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangan pada 13 September tahun itu.
Pencapaian terbesar persefahaman, antaranya, meminda perlembagaan bagi melarang tindakan lompat parti, mengukuhkan kembali Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mewartakan pengundi 18 tahun. Semua warga layak mengundi apabila pendaftaran automatik daftar pemilih diluluskan.
Berkat pindaan inilah terbentuknya Kerajaan Perpaduan selepas pilihan raya umum 19 November 2022. Anwar, bersama agenda reformasi, yang meniti liku keperitan dan pengkhianatan selama 25 tahun akhirnya diangkat ke Putrajaya.
Maka bermulalah babak-babak baharu politik negara. Reformasi institusi terbentang luas. Akhirnya, siapapun tokoh dan apapun pentasnya, semua bangsa memerlukan kaum pembaharu. Pada setiap zaman rakyat pasti bangkit menuntut perubahan.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.