https://critoxium.com/shop/

Terkini

Bimbing ahli biasa GISBH keluar daripada ketaasuban


Oleh Dr Ahmad Irfan Ikmal Hisham

KETIKA Islam disifatkan umatnya berada dalam keadaan 'dagang' di negara ini sebelum era 1980-an, banyak jemaah Islam muncul bagi menyebarkan kefahaman hidup beragama kepada masyarakat.

Ketika seruan ke arah kebaikan seperti menutup aurat, memakai tudung labuh dan berpakaian sunah lebih banyak mengundang pandangan sinis masyarakat, jemaah seperti Darul Arqam diasaskan Ashaari Muhammad menongkah arus menyebarkan dakwah hingga kawasan pedalaman, termasuk ke Sabah dan Sarawak bahkan ke negara jiran.

Bertunjangkan bakat ramai pengasas terawal berwibawa, sama ada dari aspek ilmiah, tasawuf, penulisan, seni dan perniagaan, al-Arqam diterima masyarakat sebagai platform mewujudkan masyarakat rasa bertuhan.

Ada juga jemaah lain berkongsi citra sama, tetapi tiada menandingi tarikan yang ada pada Darul Arqam hinggakan perkampungan yang mereka bangunkan kerap dikunjungi rakyat di negara ini.

Tidaklah keterlaluan untuk menghargai usaha awal mereka mencetus hiburan alternatif, penerbitan Islamik dan perniagaan fardu kifayah diyakini status halal yang sebahagian legasinya masih kekal hingga sekarang.

Malangnya, jemaah ini tewas dengan ujian beragama. Dengan kemasukan ramai ahli baharu, ada antara mereka membawa idea dan agenda tertentu beransur-ansur menyimpang daripada ajaran Islam.

Daripada fokus kepada gerakan dakwah dan cara hidup beragama, al-Arqam mula membicarakan persoalan khawariqul adah (menyalahi fenomena biasa) melampau, jauh daripada batasan syariah dan amalan tarikat muktabar sebenar.

Ini menyebabkan ramai tokoh meninggalkan jemaah berkenaan hingga pada 1994, ia diharamkan kerajaan. Walaupun Ashaari sudah mengisytiharkan taubat, beliau dan pengikutnya meneruskan legasi dengan penubuhan entiti perniagaan seperti Rufaqa Corporation Sdn Bhd dan terkini, GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Kesesatan berevolusi gerakan ini, sebenarnya terjemahan hakikat insan beragama sejak zaman Nabi Adam AS yang Allah SWT izinkan untuk diuji iblis dan syaitan sehingga rasa kabur dalam menilai serta membezakan perkara hak dengan batil.

Dalam sejarah Islam, manusia sejak zaman Nabi Adam AS sentiasa mentauhidkan Allah SWT. Sehinggal pada zaman Nabi Nuh AS, tercetusnya ajaran sesat atas nama agama membawa syirik pertama dalam sejarah manusia, berpunca ketaasuban kepada lima pemimpin agama; Wad, Suwa', Yaghuth, Ya'uq dan Nasr.

Ketika banyak naratif kisah al-Quran diceritakan secara umum tanpa pembutiran, nama kelima-lima orang ini disebut dalam Surah Nuh sebagai amaran betapa syirik pertama dalam sejarah manusia adalah rentetan sikap berlebihan mengagungkan manusia lain, walaupun tujuan asalnya adalah baik. Ketika sudah percaya kepada Allah SWT, mengapa perlu diseru langsung kepada makhluk serba kekurangan.

Ajaran sesat sentiasa menguji umat manusia

Selepas peristiwa banjir besar, hanya manusia beriman menaiki bahtera Nabi Nuh AS tinggal di bumi ini. Namun, selepas hanya beberapa generasi, muncul gejala ajaran sesat dan syirik kedua, perlu ditangani Nabi Hud AS. Selepas itu, ajaran sesat dan kesyirikan sentiasa ada dalam umat manusia, walaupun diutuskan Nabi secara berterusan dan banyak kaum dibinasakan.

Sejarah kaum terdahulu juga perlu diambil iktibar, apabila elemen kesesatan dalam beragama itu biasanya didorong dengan aktiviti sampingan hampir berulang. Sebagai contoh, Nabi Syuaib AS diutuskan kepada kaumnya yang bukan sahaja sesat, bahkan mengamalkan perniagaan secara tidak adil seperti menipu timbangan walaupun berharta.

Mereka juga menghalang perkembangan ilmu kepada masyarakat agar terus jahil dalam dunia sendiri. Nabi Syuaib AS juga diutuskan kepada Ashabul Aikah, yang ditafsir sebahagian ulama tafsir sebagai penyembah pokok besar dan iktikad sengaja dikhayalkan demi mewujudkan kultus agama unik.

Begitu juga kesesatan penduduk Sodom dan Gomorrah bukan sekadar menyekutukan Allah SWT, bahkan mempromosikan konsep hiburan serta seksual melampau dan songsang secara terbuka dan diinstitusikan dalam kelab sosial mereka, hingga diutuskan Nabi Lut AS untuk berdakwah kepada mereka sebelum diturunkan azab.

Tidak dilupakan Firaun berbohong mengenai nasab manusiawinya hingga mendakwa diri sebagai keturunan Tuhan. Dakwaan luar biasa ini tujuannya sama, iaitu memanipulasi sikap gelojoh manusia dalam mengenal Tuhan. Kalau boleh, biarlah Tuhan disembah, adalah Tuhan dapat dilihat di depan mata.

Sorotan ajaran sesat dan syirik berulang dalam sejarah dunia, membolehkan kita memahami cabaran membendung perkembangan ajaran sesat pada akhir zaman ini.

Buka mata anak muda, individu bersimpati

Dengan penahanan terkini pemimpin kanan GISBH, pembongkaran mengenai kepercayaan melampau mereka terhadap pemimpin kanan, termasuk individu sudah meninggal dunia, rekayasa iktikad baharu seperti wasilah orang mati, kuasa Kaabah, keberkatan relik seperti janggut, rambut serta pakaian, ditambah pula tawaran amalan poligami dan keseronokan seks Islamik kepada anak muda serta berselindung di sebalik perniagaan bertaraf antarabangsa yang hakikatnya banyak memecahbelahkan hubungan kekeluargaan dan pengabdian moden, diharapkan dapat membuka mata anak muda serta ahli dalam pertubuhan ini serta mereka bersimpati.

Menerusi saluran perundangan sah sekiranya terbukti bersalah, tindakan keras perlu diambil kepada pemimpin utama banyak berhelah dan memanipulasi ketaatan ahli untuk jalan salah. Pun demikian, diharapkan agar ahli biasa, terutama anak muda memang dibesarkan dalam pergerakan ini, disantuni dan dibimbing dengan berhemah supaya kembali ke jalan benar.

Dikhuatiri mereka akan mengulangi kesilapan lampau, terus taasub atau lebih buruk lagi, kembali ke dalam masyarakat dalam keadaan hanyut tanpa bimbingan agama.

Pihak berkuasa perlu membabitkan bekas ahli Darul Arqam yang berjaya membebaskan diri daripada gelembung ketaasuban dalam proses intervensi.

Keterbukaan ditunjukkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar untuk membuka mahkamah menilai keterangan pasangan ahli GISBH berkahwin tanpa pendaftaran sah, amat dipuji bagi membuka mereka kembali kepada norma hidup bermasyarakat.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Pahang al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.