Bukti DNA PH dan BN sama
Oleh MOHD NASIR ABDULLAH
DALAM sains, DNA adalah
salah satu tanda yang melaluinya, boleh kita kenal pasti banyak perkara
di dalam kejadian sesuatu. Ia menyimpan banyak hal yang penting bagi
sesuatu makhluk atau benda itu. DNA paling penting adalah bagi
mengetahui asal kejadian atau keturunan sesuatu makhluk itu. Tetapi
kadangkala, kita tidak perlu pergi sehingga terlalu kompleks bagi
mengetahui asal usul sesuatu itu. Antara contohnya ialah cukup kita tahu
mereka adalah anak-beranak yang sah, itu juga boleh menjadi bukti asas,
DNA mereka adalah sama.
PH sebenarnya adalah produk keluaran BN.
Walaupun tidak semua komponen atau cenderung menyokong PH itu asalnya
BN, tetapi majoriti mereka, ya. Bersatu, PKR, Warisan, PBB semua itu
adalah datang dari BN. Manakala PKR pula ialah sepupu sebelah ayah,
menunjukkan kekuatan darah keturunan mereka. DAP pula, walaupun berbalah
suam tahi ayam dengan MCA, tetapi apabila ada isu besar melibatkan
bangsa Cina, mereka memenuhi ciri-ciri pepatah, air dicincang takkan
putus. Begitulah kelihatannya.
Tidak cukup dengan perwarisan dari segi
keturunan ini, DNA yang sama juga boleh dilihat dalam perwatakan
masing-masing. Mereka sama-sama mempunyai perangai menipu. Ada yang
berjaya menjadi penipu tersohor, ada juga yang hanya menjadi penipu di
peringkat bawahan. Mereka juga mempunyai ciri-ciri sama dalam mendendami
musuh mereka, terutama yang mereka anggap musuh itu, membawa ajaran
Islam. Mereka akan menzalimi pembawa obor Islam ini dengan semaksima
mungkin. Mereka juga sama-sama tidak berapa kisah dengan agama seperti
contoh kedua-duanya meluluskan lesen judi.
Mereka menipu rakyat dalam terlalu
banyak perkara. Antaranya yang paling jelas ialah manifesto PRU. Dulu
pada PRU13, BN janji macam-macam tetapi tidak banyak pun yang
ditunaikan. Maka PH marah, ajak rakyat bangkit jatuhkan BN. BN berjaya
dijatuhkan, tetapi PH lebih teruk menipu. Bukan sahaja menipu, tetapi
sanggup juga mengatakan janji bukan wajib ditunaikan. Menipu dan terus
menipu.
Kini, PH kembali membawakan suara atau
gaya pemerintahan BN dahulu. Royalti petroleum di Terengganu dan
Kelantan, cuba disekat oleh Kerajaan Pusat yang dikuasai PH.
Masing-masing menolak bola royalti ini. Paling akhir dikesan, bola itu
berada di kaki Menteri Kewangan. Beliau sepertinya mahu menyembunyikan
bola itu. Habis lenyap segala integriti dahulu yang mencemuh BN kerana
tidak membayar royalti kepada Kerajaan Negeri. Kegagalan menangani isu
ini dengan baik, akan menjadikan keadaan hubungan Negeri dan Pusat,
tidak menjadi baik. Ini berlawanan dengan semangat federalisma yang
didirikan atas asas negeri-negeri dalam Tanah Melayu, bersatu membentuk
Malaysia. Hak yang termaktub ke atas negeri dalam Perlembagaan tidak
mahu dihormati. Tetapi cukai dari negeri, tetap dikutip. Persis perangai
BN dahulu, tiada bezanya.
Terengganu teruk terkena pada tahun 2000
dahulu. Sekarang, cekikan Pusat bertukar tangan, tetapi dijangka lebih
sakit lagi. Teringat baru-baru ini, kepada pesanan Dato’ Wan Mutalib
Embong, bekas Exco Terengganu 1999-2004, jangan percaya mereka mahu
masukkan wang royalti, sehingga benar-benar masuk dalam akaun. Ia
seperti kuat kebenaran ini. Tiada suara dalam PH yang menentang cubaan
sekatan ini walaupun wajah-wajah penentang sekatan royalti oleh BN suatu
ketika dahulu, telah menjadi orang besar PH. Tidakkah ini menyamai
perangai BN? Ramai antara mereka ketika dahulu adalah pejuang rakyat
marhaen, ketua pelajar yang berdemo sebelum menyertai BN. Selepas
mendapat tilam empuk, wang bertimbun dalam BN, maka mulut mereka
terkatup dari membicarakan apa yang mereka sebut dahulunya sebagai ‘hak’
rakyat.
Masalah royalti ini sudah difahami oleh
semua pihak. Penandatangan dan insan yang draf perjanjian itu ada yang
masih hidup. Jika ia tidak betul, kenapa apabila dibawakan kes itu ke
mahkamah oleh negeri, ianya mempunyai merit untuk dibicarakan? Kenapa
perlu ditukar nama kepada macam-macam selain daripada ‘royalti’? Kenapa
juga perlu dipinda Akta Laut yang turut ditentang oleh sebahagian
komponen PH dahulu untuk menafsirkan semula jarak laut dari pantai
negeri-negeri?
Politik Machiavelli menjadi buku panduan
mereka. Keadilan Islam? Persetankan. Mati ceritanya lain, hidup lain
pula kisahnya. Politik suku, agama suku, kembali menguasai pakatan
mereka. Sesuatu yang dihidupkan kembali. Amat malang ia tidak ditentang
oleh mereka yang mengaku Islamis di dalam gabungan mereka. DNA mengejar
gelaran dan pangkat juga mengesahkan mereka dari leluhur yang sama. Baru
lima bulan berkhidmat, entah apa kejayaan, pencapaian atau sumbangan,
ada yang nun jauh melintang Semenanjung, dari hujung Timur, datang dia
ke negeri Antah Berantah menundukkan kepala kepada sosok yang pernah
dihina kerana tuduhan skandal dahulu bagi menerima anugerah. Anugerah
apa? Untuk jasa apa? Tidak dilakukan orang sebelum ini, kecuali dari
kalangan bani BN.
Terkini, tuduhan terhadap Kerajaan
Kelantan yang tidak mampu membayar gaji kakitangan negeri. Fitnah jahat
yang dengan selambanya dilemparkan oleh seorang Menteri yang sekarang
jelas menunjukkan taring kebenciannya terhadap Negeri Melayu Islam ini.
Tiada permohonan maaf dibuat atas tuduhan itu sambil beliau
membangkitkan nama DNA-nya, BN yang juga pernah menuduh hal yang serupa
kepada Kelantan melalui DS Najib. Apa yang BN kata mestikah benar? Atau
itu hanyalah perangai jahat yang diwarisi dari BN? Bagaikan Pak Pandir
memujuk Mak Andeh, bukan Andeh sahaja yang mati anak. Perlukah menjadi
pembohong untuk menjawat jawatan tertinggi Negara Malaysia? Dari
pemerhatian saya, ia perlu. Mereka sama, DNA yang datang dari sulbi yang
sama. Sulbi Sekular. Cuma BN kini agak kendur kerana kalah. Maka BN
menjadi mudharat ringan.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.