Kerajaan perlu bertanggungjawab tragedi tanah runtuh
Oleh S.M. Mohamed Idris
PERSATUAN Pengguna
Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dan marah berikutan satu lagi tragedi
tanah runtuh di Paya Terubong, Pulau Pinang yang sudah meragut
sekurang-kurangnya lapan nyawa, di mana ramai lagi pekerja dipercayai
masih tertimbus di bawah tanah.
Sehubungan dengan projek pembinaan yang
membabitkan kawasan bukit, kami menggesa kerajaan negeri supaya
menghentikan kesemuanya sehingga pemeriksaan keselamatan dan alam
sekitar yang teliti dijalankan bagi memastikan semua langkah-langkah
pengawasan telah diambil bagi mengelak tragedi seumpamanya berulang.
Insiden di Bukit Kukus menjadi suatu
tragedi bagi mangsa-mangsa yang maut dan tercedera serta kaum keluarga
mereka. Selain itu ia juga menjadi satu lagi tanda amaran bahawa
penduduk di sekitar kawasan di mana pembangunan bukit sedang dijalankan
berada dalam persekitaran yang tidak selamat.
Ianya amat memeranjatkan bahawa tidak
satu pun tapak pembinaan di Pulau Pinang mematuhi pelan mitigasi hakisan
tanah seperti yang termaktub di dalam kelulusan projek mereka, yang
dilaporkan dalam satu akhbar berbahasa Inggeris,
Lebih mengejutkan projek lebuh raya
berkembar Paya Terubong di sepanjang Bukit Kukus ini merupakan projek
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), seperti yang dijelaskan oleh Ketua
Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dalam sidang akhbar semalam. Ini
mencerminkan kerajaan negeri tidak dapat menjamin keselamatan projeknya
sendiri.
Sungguhpun arahan menghentikan kerja
dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH)
beberapa hari lalu berikutan kejadian palang tumbang di sepanjang projek
jalan berkenaan, ia jelas menunjukkan tidak ada langkah-langkah
keselamatan dan pencegahan diambil di tapak berkenaan untuk melindungi
pekerja dan mencegah sebarang bencana.
Ketika mengunjungi tapak tragedi
runtuhan semalam, kami melihat terdapat kerja-kerja pembersihan
besar-besaran dan cerun curam yang botak dengan kecerunan hampir 90
darjah di sepanjang tapak projek. Tidak terlihat langsung
langkah-langkah diambil untuk melindungi cerun atau menstabilkan tanah
di tapak berkenaan, yang jelas mengundang bencana untuk berlaku.
Kerajaan negeri dan pihak berkuasa
kerajaan tempatan tidak seharusnya mengatakan ini adalah “takdir Tuhan”
berikutan hujan lebat padahal kita sedia maklum, jika cerun dibiarkan
terdedah tanpa sebarang perlindungan atau langkah-langkah untuk
menstabilkan tanah tidak diambil, ia cenderung menjadi gelongsoran
tanah.
Jelas sekali, pihak berkuasa kerajaan
tidak mengambil iktibar daripada tragedi runtuhan tanah baru-baru ini,
termasuk tragedi gelongsoran tanah yang meragut 11 nyawa di kawasan
Tanjung Bunga tahun lalu.
Kerajaan negeri dan MBPP perlu mengakui
kesilapan dan bertanggungjawab kerana kurang berpandangan jauh, kurang
melakukan pengawasan yang teliti dan kurangnya langkah-langkah
penguatkuasaan hingga membawa kepada tragedi ini, iaitu projek kerajaan
sendiri.
Tambahan pula, MBPP mempunyai unit
geoteknikal, dengan pakar-pakar yang sepatutnya menyemak semua projek
cerun bukit dan memastikan segala langkah-langkah yang sempurna telah
diambil. Ia sepatutnya diteliti oleh Jawatankuasa Pembangunan Tanah
Berisiko Peringkat Negeri bagi projek-projek berisiko tinggi, seperti
yang termaktub di dalam Garis Panduan Pembangunan Lereng Bukit Pulau
Pinang (2012).
Garis panduan tersebut menghendaki
pemantauan dan penguatkuasaaan yang tegas oleh pihak berkuasa berkenaan,
termasuk MBPP, untuk semua projek yang ada kaitan dengan kawasan bukit,
termasuk projek milik kerajaan sendiri seperti di Bukit Kukus.
Namun tragedi terbaharu berlaku, tidak
lama selepas runtuhan tanah di Tanjung Bunga tahun lalu, dan selepas
palang tumbang di Bukit Kukus beberapa hari lalu.
Kesemua ini menunjukkan kerajaan negeri
dan MBPP tidak berupaya memastikan projek-projek di cerun bukit termasuk
projek jalan seperti ini boleh dilaksanakan dengan cara yang selamat.
Kesemua jaminan yang sebelum ini
diberikan oleh pelbagai pihak berkuasa negeri dan tempatan serta
wakil-wakil kerajaan negeri dan sebagainya kini ternyata mengelirukan.
Sehubungan itu, CAP menggesa agar langkah-langkah berikut diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan MBPP:
- Tindakan segera mesti diambil untuk
menjalankan langkah-langkah pembaikan di lebuh raya Bukit Kukus untuk
mencegah tanah runtuh dan kegagalan cerun.
- Berikutan kurangnya pemantauan dan
penguatkuasaan di pihak berkuasa negeri dan kerajaan tempatan, sudah
tiba masanya kerajaan Pulau Pinang menghentikan kelulusan selanjutnya
projek-projek yang membabitkan tanah bukit dan cerun, sekalipun untuk
projek kerajaan, termasuk projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau
Pinang.
- Berikutan kerapnya kes tanah runtuh
dan laporan yang menyatakan tapak-tapak pembinaan di negeri ini tidak
mematuhi pelan mitigasi hakisan tanah yang ditetapkan, kerajaan negeri
perlu menghentikan kerja bagi kesemua projek yang ada sehingga
pemeriksaan dijalankan bagi memastikan kerja-kerja itu dilaksanakan
dengan selamat. Pihak berkuasa perlu menjalankan pemeriksaan segera di
tapak pembinaan dan memastikan langkah-langkah telah diambil untuk
mencegah kegagalan cerun dan gelongsoran tanah sebelum menyambung kerja
mereka.
Memandangkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak
berupaya, bantuan perlu didapatkan daripada kerajaan persekutuan dan
negeri-negeri lain untuk memeriksa, memantau dan menguatkuasakan
peraturan sedia ada.
- Kerajaan negeri perlu berupaya dan
memperuntukkan dana bagi membetulkan semua corak pembangunan yang tidak
sempurna di bahagian cerun dan kawasan berbukit yang dijalankan sejak
beberapa tahun lalu. Bukit Bendera sahaja mempunyai kira-kira 200 kes
tanah runtuh, di mana masih banyak yang belum diperbaiki. Kerajaan
Negeri tidak seharusnya menjadikan alasan kurang dana, tetapi sebaliknya
mengubah keutamaannya agar dana diperuntukkan untuk perkara penting,
termasuk melindungi bukit-bukau dan memantau pembangunan di kawasan
bukit.
- Kerajaan negeri dan pihak majlis
bandaran perlu bertanggungjawab terhadap tragedi di Paya Terubong dan
memastikan pegawai-pegawai utamanya bertanggungjawab. Di negara-negara
lain, pegawai-pegawai utama agensi terlibat akan mengaku
bertanggungjawab dan meletakkan jawatan serta sanggup dipersalahkan
akibat gagal bertindak.
- Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang
dan projek-projeknya tidak seharusnya diteruskan, memandangkan
pembangunan berlebihan yang akan terlibat, dan kurangnya kapasiti pihak
berkuasa untuk mengawas dan memantau pelaksanaannya.
- Keluarga mangsa gelinciran tanah perlu
dibayar pampasan sewajarnya, dan proses serta jumlah pampasan perlu
telus demi memastikan kebajikan mereka dijaga.
Presiden CAP




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.