Golongan 2 bilion dan 970 di Malaysia
Oleh MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN
BERDASARKAN Laporan
Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016, bilangan isi
rumah di Malaysia meningkat daripada 6.7 juta (2014) kepada 6.9 juta
(2016). Isi rumah merujuk kepada kombinasi pendapatan kasar individu (15
tahun dan ke atas) yang menetap bersama dalam sebuah rumah. Di
Malaysia, purata saiz isi rumah adalah empat orang dan dua orang
daripadanya mempunyai pendapatan.
Terdapat empat punca pendapatan isi
rumah. Pekerjaan bergaji (63 peratus), bekerja sendiri (15.6 peratus),
hasil daripada harta dan pelaburan (12.9 peratus) serta pindahan semasa
(8.5 peratus).
Purata pendapatan isi rumah telah
meningkat sebanyak 6.2 peratus iaitu RM6,141 (2016) berbanding RM6,958
(2014) sebulan. Purata penengah dalam tempoh yang sama meningkat 6.6
peratus kepada RM5,228.
Di Malaysia, isi rumah dikategorikan
kepada tiga kumpulan berasaskan pendapatan. Pertama, kumpulan 20 peratus
tertinggi (T20). Kedua, kumpulan 40 peratus pertengahan (M40) dan
ketiga, kumpulan 40 peratus terendah (B40).
Pada tahun 2016, purata pendapatan isi
rumah B40 ialah RM2,848, M40 ialah RM6,502 dan T20 pula ialah RM16,088.
Paras Garis Kemiskinan nasional pula berbeza mengikut geografi.
Bagi kawasan di Semenanjung Malaysia,
kategori miskin di kawasan bandar ialah mereka yang mempunyai pendapatan
bulanan RM970 ke bawah manakala di kawasan luar bandar pula ialah
RM880.
Di Sarawak, mereka yang memperolehi
pendapatan bulanan RM1,070 di kawasan bandar dan RM940 di kawasan luar
bandar. Sabah dan Labuan mencatatkan paras yang lebih tinggi iaitu
RM1,170 di kawasan bandar dan RM1,220 di kawasan luar bandar. Secara
keseluruhannya, kadar kemiskinan di Malaysia berada pada paras 0.4
peratus.
Oleh itu, sekiranya kita menilai purata
pendapatan isi rumah T20 dan B40 atau mereka yang berada di bawah Paras
Garis Kemiskinan, maka didapati terdapat jurang yang sangat luas.
Seolah-olah kita melihat sebuah keluarga yang tinggal di rumah flat dua
bilik berkeluasan 660 kaki persegi berharga RM200,000 manakala sebuah
keluarga lagi mendiami sebuah ‘penthouse’ empat bilik yang berkeluasan
3,500 kaki persegi berharga RM1.5 juta dan kehidupan mereka hanya
dipisahkan dengan sebatang jalan.
Bagaimana pula dengan data yang
dilaporkan oleh Credit Suisse Global Wealth 2018 yang mendedahkan
terdapat 487 individu di Malaysia mempunyai nilai aset
sekurang-kurangnya RM207.9 juta sehingga RM2.079 bilion? Seramai 184
orang dalam kalangan mereka mempunyai nilai aset minimum bernilai RM415
juta.
Lebih dahsyat lagi, seramai 33 orang
pula mempunyai nilai aset berjumlah RM2 bilion. Andainya kelompok
‘super’ kaya ini menyumbang 2.5 peratus kepada Tabung Harapan Negara,
maka jumlahnya adalah RM50 juta.
Jurang kekayaan golongan kaya dan miskin
adalah topik utama perbincangan di peringkat global dan Malaysia. Kek
ekonomi negara sebahagian besarnya dilahap oleh golongan kaya dan
‘super’ kaya.
Bagi mengukur kondisi ini, kerajaan
menggunakan Pekali Gini atau juga disebut sebagai Indeks Gini. Satu
indikator untuk mengukur ketidakseimbangan pendapatan. Kadar 0 mewakili
persamaan mutlak dan kadar 1 mewakili ketidakseimbangan mutlak.
Sejak tahun 2007, Pekali Gini di
Malaysia ialah 0.441. Kemudian menurun kepada 0.401 pada tahun 2014 dan
terus menurun kepada 0.399 pada tahun 2016. Walaupun ia menunjukkan
‘downtrend’, namun ia masih berada pada tahap yang tidak memuaskan.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.