Islam tiada kaitan dengan pembunuhan Jamal Khashoggi
Oleh ABDUL HADI AWANG
PERISTIWA pembunuhan
kejam terhadap wartawan Saudi, Jamal Khashoggi sangat memalukan seluruh
manusia. Lebih malang kalau pelakunya mengaku Islam, jika benar
dilakukan.
Islam mengharamkan cara bunuh yang kejam walaupun terhadap yang disabitkan hukuman mati.
Islam juga mengharamkan mayat diseksa
walaupun musuh yang telah dibunuh dalam medan peperangan yang paling
kejam terhadap penganut Islam sendiri. Apatah lagi menyeksa orang yang
masih hidup.
Firman Allah:
وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ (190(
“Dan perangilah kerana
(menegakkan dan mempertahankan) agama Allah terhadap orang-orang yang
memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya
Allah tidak mengasihi kepada orang-orang yang melampau”.(Surah
Al-Baqarah: 190)
Rasulullah S.A.W. berpesan kepada para panglima dan bala tentera Islam dengan sabdanya:
اغْزُوا
وَلَا تَغُلّوا، وَلَا تَغْدروا، وَلَا تُمَثِّلُوا، وَلَا تَقْتُلُوا
وَلِيدًا، وَلَا أَصْحَابَ الصَّوَامِعِ". رَوَاهُ الْإِمَامُ أَحْمَدُ.
“Berperanglah (menghadapi
musuh yang mencerobohi kamu), jangan khianat, jangan melanggar
perjanjian, jangan mencincang musuh yang sudah mati, jangan membunuh
wanita dan kanak-kanak, dan juga mereka yang berada di rumah ibadat
agama mereka. (ditambah lagi dalam riwayat yang lain, termasuk mereka
yang tidak terlibat dengan peperangan). (Riwayat Imam Ahmad dalam
Musnadnya)
Islam turut mengharamkan penyeksaan binatang, apabila Rasulullah S.A.W. menegaskan:
“Seorang wanita dimasukkan
ke dalam neraka kerana mengurung seekor kucing tanpa makanan sehingga
mati”. (Riwayat Imam Al-Bukhari)
Rasulullah S.A.W. juga menceritakan:
“Seorang lelaki yang musafir
kehausan menemui telaga lalu turun ke dalamnya untuk mendapatkan air
minum. Apabila memanjat keluar daripada telaga, tiba-tiba terdapat
seekor anjing kehausan sehingga menjilat tanah, lalu dia turun semula ke
dalam telaga yang sangat dalam di padang pasir itu. Dia mengambil air
dengan di masukkan ke dalam sepatunya lalu menggigit sepatu itu dan
memanjat kembali untuk memberi minuman kepada anjing tadi. Maka Allah
mengurniakan rahmat kepadannya”. (Riwayat Imam Muslim)
Islam mengajar memberi minum kepada
anjing kehausan yang najis mughallazah, mendapat pahala dan rahmat
Allah. Maka manusia yang membunuh tanpa sebab yang diizinkan oleh hukum
Islam dan ditambah pula dengan tindakan ganas memotong dan menceraikan
jasad itu, menunjukkan tidak ada sifat Islam di dalam dirinya, bahkan
dianggap tidak berperikemanusiaan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira
agama, bangsa dan warna kulit.
Maka seluruh Dunia Timur dan Barat yang
berperikemanusiaan mengutuknya, dan umat Islam sepatutnya paling
terkehadapan dalam mengutuk tindakan kejam ini, walaupun siapa yang
melakukannya atau yang melakukannya paling dekat dengan Kaabah yang
menjadi kiblat umat Islam.
Allah berfirman:
Allah berfirman:
مِنْ
أَجْلِ ذَٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنَّهُ مَن قَتَلَ
نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ
النَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ
جَمِيعًا ۚ وَلَقَدْ جَاءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِالْبَيِّنَاتِ ثُمَّ إِنَّ
كَثِيرًا مِّنْهُم بَعْدَ ذَٰلِكَ فِي الْأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ (32)
“Bahawasanya sesiapa yang
membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh
orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka
seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya. Dan sesiapa yang
menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah
menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah
datang kepada mereka Rasul-rasul Kami dengan membawa keterangan yang
cukup terang. Kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu,
sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan
kerosakan) di muka bumi”. (Surah Al-Maa'idah: 32)
Al-Quran menegaskan betapa besarnya dosa
membunuh tanpa sebab yang diizinkan oleh undang-undang syariat,
sehingga termasuk dalam dosa besar dan akibatnya di hukum dunia dan
akhirat.
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANGPresiden PAS
Bertarikh: 24 Oktober 2018 / 14 Safar 1440 -




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.