Jauhi malapetaka, cegah aktiviti mungkar
TERSEBAR info mengenai satu program khusus untuk meraikan artis dari Thailand termasuk artis gay yang disebarkan melalui program "KISSING KRIST & SIGNTO 1st Fan Meeting". Dinyatakan dalam info tersebut bahawa program berkenaan dijangka akan diadakan di Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2018 bertempat di National Museum Auditorium Kuala Lumpur.
Walau bagaimanapun, pihak Jabatan Muzium
Malaysia telah menafikan program tersebut. Ketegasan yang telah
ditunjukkan oleh Jabatan Muzium Malaysia dalam hal ini perlu dipuji dan
seharusnya dicontohi oleh semua pihak sama ada peringkat kerajaan dan
juga masyarakat umum agar menyatakan pendirian jelas dalam berhadapan
dengan gerakan songsang supaya ia tidak dapat berkembang dan bertapak di
negara ini.
Sekiranya program sebegini disokong oleh
mana-mana pihak, maka amat malanglah bagi negara Malaysia apatah lagi
Malaysia merupakan negara yang meletakkan agama Islam sebagai agama
rasmi Persekutuan. Ia berikutan program tersebut jelas bertentangan
dengan prinsip agama dan nilai budaya masyarakat di negara ini. Sama ada
program ini tertutup atau terbuka, sekiranya dilaksanakan ia pasti
mencalar dan merobek maruah negara dengan kelakuan yang terkutuk.
Kalau tiada angin, masakan pohon
bergoyang. Sudah tentu ada pihak yang berurusan menjemput artis tersebut
kerana tular melalui video pendek artis dari Thailand tersebut akan
tiba bertemu peminat pada 20 Oktober 2018 terdekat ini. Gerakan songsang
ini mula miliki kekuatan sehingga berani muncul dengan lebih terbuka
terutama pasca PRU-14 dengan pelbagai isu yang menjadi polemik
berterusan. Inilah bahana apabila kuasa politik yang dimiliki tidak
mampu menjadi sebenar-benar pelindung kepada agama. Ingatlah pesanan
Imam al-Ghazali mengenai peranan kuasa politik iaitu:
الملك والدين توأمان فالدين أصل والسلطان حارس، وما لا أصل له فمهدوم وما لا حارس له فضائع
“Pemerintahan dan agama adalah dua
perkara yang berkembar. Agama adalah asas dan pemerintahan adalah
pengawalnya. Sesuatu yang tiada asas maka akan hancur dan sesuatu yang
tiada pengawal maka akan lenyap.”
Menjadi kewajipan ke atas pemerintah dan ummah untuk melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Jangan kerana telah didoktrin dengan racun Liberalisme, maka wujudnya tanggapan bahawa adanya dosa dan mungkar
peribadi yang mesti diraikan sekalipun ia adalah hubungan songsang yang
jelas kemungkarannya. Jika perkara ini tidak dibanteras dengan serius,
kita bimbang malapetaka dan bala Allah S.W.T akan turun bertalu-talu
kerana pengabaian kita terhadap tanggungjawab amar makruf nahi mungkar.
Sayyidina Huzaifah al-Yaman meriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasullah S.A.W ada bersabda:
وَالَّذِي
نَفْسِي بِيَدِهِ، لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ
الْمُنْكَرِ، أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا
مِنْهُ، ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلا يَسْتَجِيبُ لَكُمْ
"(Maksudnya) Dan demi jiwaku
di bawah kekuasaan-Nya, sama ada kamu melakukan suruhan perkara makruf
dan mencegah kemungkaran atau Allah akan mengutuskan azab dari-Nya ke
atas kamu, kemudian kamu berdoa pada-Nya namun Dia tidak perkenankan.”
[Riwayat al-Tirmizi]
Seluruh rakyat mesti bangkit bagi
memberikan tekanan kepada mana-mana penganjur yang berani melakukan
program yang tidak bertamadun dan mempromosikan kemungkaran secara
terbuka. Kekuatan yang muncul daripada kesatuan ummah pasti mampu
menggerunkan gerakan songsang tersebut yang dilihat semakin berleluasa
dan bermaharajalela pada hari ini.
Lantaran itu, Dewan Ulamak PAS Pusat
mengucapkan tahniah kepada Jabatan Muzium Malaysia yang telah
mengeluarkan kenyataan media berhubung ketegasan pihaknya daripada
berkompromi dalam mana-mana isu yang melanggar nilai dan norma
masyarakat serta telah menafikan program songsang tersebut yang bakal
diadakan di National Museum Auditorium Kuala Lumpur sebagaimana yang
tular di media sosial.
“Islam Jalan Penyelesaian”
USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.