Menjelang Bajet 2019
Oleh MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN
PERSIDANGAN Mesyuarat
Dewan Rakyat Kali Kedua Penggal Pertama yang bermula hari ini akan
menumpukan kepada pembentangan Bajet 2019 yang dijadual pada 2 November
2018 akan datang.
Ia adalah bajet kritikal untuk menterjemahkan polisi
Pakatan Harapan bagi mengukuhkan keyakinan para pemegang taruh terhadap
kondisi ekonomi negara di bawah Malaysia Baharu.
Kemeruduman mata wang negara membangun,
ketegangan perang dagang AS-China dan kebarangkalian krisis kewangan
global antara independent variables yang akan mempengaruhi kelembapan
pertumbuhan KDNK negara tahun 2018 dan Suku Pertama 2019. Pada masa yang
sama, permintaan terhadap ringgit yang lemah juga turut menambahkan
beban kewangan negara.
Selain itu, beberapa sektor ekonomi
domestik juga turut terjejas. Isu harga getah dan kelapa sawit antara
topik utama dalam sektor pertanian. Begitu juga, pertumbuhan sektot
pembinaan yang terbantut akibat daripada ketidaktentuan status
projek-projek infrastruktur mega. Enjin pertumbuhan akan banyak
bergantung kepada sektor pembuatan, perkhidmatan dam sumbangan besar
daripada sumber petroleum.
Sehubungan itu, penggunaan swasta terus
menjadi pemacu utama pertumbuhan bagi menampan ekonomi negara. Namun,
sentimen pengguna belum dilihat kukuh disebabkan pengenalan semula SST
dan jangkaan penguncupan berterusan pendapatan boleh guna rakyat. Kadar
pengangguran mungkin lebih tinggi dan peluang-peluang baru pekerjaan
masih belum mampu dijana sepenuhnya.
Oleh itu, saiz peruntukan yang
terkandung dalam Bajet 2019 akan lebih kecil berbanding sebelum ini.
Pendekatan austerity, pengawalan terhad bantuan kewangan, penjualan aset
dan penggubalan cukai baharu dilihat akan menjadi pendebatan utama
dalam bajet kali ini. Pelaburan sektor swasta akan terus digalak untuk
memacu ekonomi dengan intervensi minimum daripada pihak kerajaan.
Bagi menjamin kebajikan rakyat, tiga
komponen utama dalam sektor sosial akan menjadi perhatian khusus iaitu
pendidikan dan latihan, kesihatan dan perumahan. Ketiga-tiga sektor ini
akan dinilai lebih tajam bagi mengimbangi keperluan sebenar rakyat.
Peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi sektor keselamatan tetap
dikecilkan, manakala sektor ekonomi perlu kekal berlegar sekitar 55
peratus.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.