Ke mana perginya menteri-menteri Kabinet?
Oleh Hussaini Amran
SETIAP gerak-geri
dan tutur kata semua menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan
Pakatan Harapan termasuk dalam sidang Dewan Rakyat sentiasa berada dalam
radar orang ramai.
Rakyat tidak mengharapkan mereka akan
memberi bulan dan bintang. Cukuplah sekiranya anggota-anggota Kabinet
melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka contohnya
menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Mungkin tidak semua menteri atau timbalannya dapat
mengikuti sidang sepenuhnya kerana ada tugas rasmi lain yang perlu
dilaksanakan tetapi sekurang-kurangnya masih ada di antara mereka yang
boleh meluangkan masa untuk berada di dalam dewan.
Entah
mengapa, barisan kerusi yang menempatkan menteri dan timbalan menteri
kelihatan lengang semasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak membahaskan usul Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia
Ke-11 (RMK-11) dalam sidang Dewan Rakyat baru ini
Situasi
yang dirakamkan oleh Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr. Shamsul Anuar
Nasarah itu seterusnya dimuat naik dalam laman Facebook miliknya sebelum
tular sehingga mengundang reaksi kurang senang dalam kalangan netizen.
Masalah
kehadiran khususnya melibatkan penyokong kerajaan pernah dibangkitkan
semasa Dewan Rakyat bersidang Julai lalu dan mesyuarat Kabinet yang
diadakan setiap Rabu dikatakan menjadi puncanya.
Cuma semalam, alasan sama tidak boleh dikitar semula kerana Kabinet tidak mengadakan mesyuarat pada hari Selasa.
Maka,
tidak hairanlah apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya
memberi markah antara 40 hingga 50 peratus ketika menilai prestasi
Kabinetnya.
Masih banyak yang mereka perlu
lakukan untuk meraih markah yang lebih tinggi bukan sahaja daripada Dr.
Mahathir malah rakyat yang mengundi mereka.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.