Kontrak pincang bebankan negara
Oleh
DALAM
satu sesi temubual dengan pihak media pada akhir September lalu, Peguam
Negara, Tommy Thomas mendedahkan wujudnya ratusan kontrak pincang
antara kerajaan dahulu dengan beberapa syarikat tempatan dan luar
negara.
Pada awalnya, Jabatan Peguam
Negara tidak menyedari betapa besar sekali jumlah kontrak sedemikian.
Ada kontrak bina lebuh raya, kontrak perkhidmatan, kontrak PFI (private
finance initiative) seperti `bina-pajak-senggara-dan-pindah’, kontrak
bina pelabuhan dan sebagainya.
Terdapat 46 kontrak PFI, 350 kontrak
jenis-jenis lain dan 300 kontrak pemerolehan.
Kata Thomas, pegawai-pegawai yang bertugas
di jabatannya merasa kesal dan tertekan apabila pandangan dan nasihat
mereka mengenai kontrak-kontrak pincang itu langsung tidak dipeduli oleh
political masters mereka, iaitu menteri-menteri berkenaan. Thomas
menyifatkan pegawai-pegawai berkenaan sebagai unsung heroes (wira yang
tidak didendangkan).
Menjelaskan
kepincangan kontrak itu, Thomas menyatakan ada fasal-fasal dalam kontrak
tersebut yang berat sebelah, menguntungkan syarikat-syarikat berkenaan
dan merugikan kerajaan. Sebagai contoh, ada satu kontrak PFI bernilai
RM350 juta untuk membina sebuah universiti tempatan.
Kontrak ini diberi
kepada sebuah syarikat yang kemudian menjalin kerjasama dengan sebuah
syarikat lain untuk membinanya. Selepas universiti itu siap, kerajaan
terikat pula dengan syarikat kontraktor untuk membayar kos penyenggaraan
selama 22 tahun bernilai RM1.1 bilion.
Kontrak
seumpama inilah yang menerima teguran Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamad - “Siapa yang buat kontrak bodoh ini?” (Who did these stupid
contracts?).
Dalam undang-undang kontrak
semua negara moden, termasuklah Malaysia, terdapat dua prinsip utama,
iaitu kebebasan berkontrak dan keutuhan kontrak. Semua orang layak dan
berhak membuat kontrak. Seorang itu boleh berunding dengan sesiapa
sahaja untuk mewujudkan satu kontrak. Dalam proses perundingan itu tidak
boleh wujud elemen paksaan, pengaruh tidak wajar, penipuan, salah nyata
dan sebagainya. Objektif kontrak itu mestilah sah dan tidak menyalahi
undang-undang atau polisi awam.
Jika
kedua-dua pihak mencapai persetujuan tentang segala terma dan syarat,
mereka boleh merakamkan persetujuan dengan menandatangani satu kontrak
yang formal, dan dokumen ini akan mengikat mereka selepas itu.
Sebaliknya, jika mereka gagal mencapai persetujuan, kedua-dua pihak
bebas untuk menamatkan perundingan dan mencari orang lain.
Andainya
satu kontrak yang sah dan mengikat telah wujud, kontrak itu hendaklah
dipatuhi. Tidak boleh bagi mana-mana pihak secara bersendirian atau
sebelah pihak (unilateral) mengubah terma dan syarat kontrak tersebut.
Segala perubahan dan pindaan mesti disetujui oleh kedua-dua pihak.
Dalam
perkembangan terkini melibatkan kontrak merentas sempadan, biasanya
peguam yang mewakili pelanggan akan memastikan dalam perjanjian itu
terdapat fasal yang menyatakan andainya berlaku suatu hal keadaan di
luar jangkaan (misalnya pertukaran kerajaan, perubahan dasar negara,
pindaan undang-undang, perkembangan teknologi, perubahan keadaan
pasaran) atau timbul satu keadaan yang tidak adil kepada mana-mana
pihak, kedua-dua pihak dikehendaki secara suci hati merunding semula
terma dan syarat kontrak tersebut. Matlamat “fasal perundingan semula”
ini adalah bagi memberi peluang secukupnya kepada kedua-dua pihak untuk
sama-sama menikmati manfaat daripada perjanjian itu.
Sekali
pun fasal sedemikian itu tidak ada dalam kontrak asal, pihak yang
merasakan kontrak yang ditandatangani dulu itu telah menimbulkan kesan
yang tidak adil kepadanya, maka pihak itu boleh meminta pihak lain
merundingkan semula kontrak tersebut.
Sejurus
selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh, Dr. Mahathir ada
menyatakan sementara Malaysia menyokong projek OBOR (One Belt One Road)
China, beliau tetap mahu “merunding semula terma beberapa perjanjian
dengan Beijing, sekiranya perlu”.
Mengulas
hasrat itu, portal berita South China Morning Post menyatakan
sebagaimana di masa lampau, China mempunyai pengalaman yang luas
menangani masalah perjanjian yang tidak seimbang dengan merundingnya
semula, China hendaknya faham jika Malaysia merasa perlu dirunding
semula beberapa perjanjiannya andainya perjanjian itu pincang.
Jika
kontrak pincang dengan negara asing perlu dirunding semula, apakah cara
terbaik menangani kontrak pincang dengan syarikat tempatan?
Pada
hemat saya, selain menyelesaikannya dengan cara yang sama, kerajaan
juga boleh merujuk kontrak pincang tempatan itu ke mahkamah agar
mahkamah boleh meneliti semula dan jika ada alasan yang
kukuh,mengisytiharkannya sebagai tidak sah dan batal.
DATUK SALLEH BUANG
ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas
Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.