Apa beza puji dan bodek?
Oleh
ADA
orang, dalam sehari dia tidak dipuji oleh sesiapa, dia akan resah
gelisah. Tidak senang duduk. Hidupnya jadi tidak lengkap pada hari itu.
Rasa kosong. Hatinya meronta-ronta mahu menjadi tumpuan.
Setidak-tidaknya daripada kawan-kawan yang paling dekat.
Tapi pada zaman sekarang ini memang
senang untuk mendapat pujian. Upload saja gambar sendiri di akaun media
sosial, tidak kiralah yang diedit atau tidak, ramailah memuji, walaupun
sebenarnya bukan ikhlas sangat. Sekadar ambil hati atau mengisi masa
lapang. Wajah yang sudah dimamah usia pun dikatakan nampak muda dan
badan yang gempal pula dikata pula sudah semakin langsing.
Itulah kebanyakan dalam kalangan kita, memang
suka menjaga hati, tidak suka menyatakan hal-hal yang benar, walaupun
dalam hal yang sekecil-kecil ini. Masih mahu menyembunyikan hakikat
atau fakta. Dan penerima pujian, terus terkapai-kapai dalam pujian. Esok
atau beberapa jam kemudian upload lagi gambar sendiri dengan aksi lain.
Pun
begitu saya rasa semua pun bersetuju bahawa kita perlu menjaga hati
tetapi bukanlah dalam semua keadaan. Semua perkara bukan boleh settle
dengan menyembunyikan kebenaran dan menjaga hati. Keadaan boleh jadi
lebih buruk lagi. Buruk yang di luar jangkaan.
Itu
hubungan sesama kawan di alam nyata dan alam maya. Bagaimana pula dalam
kumpulan seperti di tempat kerja, masyarakat atau lebih besar lagi
dalam negara? Pernah dengar pembodek adalah parasit dalam sesebuah
organisasi? Dan jangan leka dengan puji-pujian?
Saya
tidak suka menulis pasal politik tetapi tewasnya Barisan Nasional (BN)
dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu pun, banyak dikaitkan
dengan hal ini. Hanya mahu mendengar puji-pujian saja. Tidak diberikan
maklumat yang tepat. Pengkritik pula dipandang sebagai musuh.
Ayat
lazim, mengkritik biarlah di saluran yang betul. Masalahnya di saluran
yang betul pula, khalayaknya tidak memberikan maklumat yang betul.
Akhirnya pujian memakan tuan. Ramai pula yang menerima padah dan
tempiasnya.
Inilah kebanyakan yang berlaku
sekarang di mana-mana. Yang memuji mendapat sanjungan dan tempat dalam
sesebuah organisasi atau masyarakat, yang memberi kritikan dianggap
sebagai pencetus masalah dan rebellious.
Pembodek
akan terus menjalankan tugasnya. Melalaikan. Dia pun bukan tumpul akal,
bijak mengatur strategi. Tetapi hakikatnya, pembodek selalunya tiada
keupayaan untuk menghasilkan kerja yang baik sebab itu dia jadi begitu,
sedangkan yang kuat bekerja pula, selalunya tidak banyak cakap, ikut
sahaja.
Memberi kritikan bukan bermakna
mencari salah. Kalau salah pun, apa salahnya ia ditegur dan
diperbetulkan. Tetapi yang sering menjadi batu penghalang untuk menerima
kritikan adalah - hendak berlapang dada tidak semudah berkonflik.
Lantas berkonfliklah jadi pilihan.
Tidakkah
kita nampak dan belajar tentang ini? Tidakkah selalunya kebenaran itu
memang pahit untuk ditelan tetapi menjadi ubat paling mujarab?
Saya
percaya ramai yang berhadapan dengan situasi sebegini. Keadaan ini
memang dekat dengan semua. Kalau tanya saya, ia amat merimaskan dan
menyesakkan kepala. Tetapi itulah, antara pujian, kritikan dan bodek,
kita sepatutnya tahu untuk membezakan ketiga-tiganya. Samalah macam
mudahnya kita membezakan antara air dan api.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.