'Kenapa masa Najib tak keras, tetapi saya sebaliknya..'
Oleh Muhammad Shamsul Abd Ghani
PUTRAJAYA - Menteri Kewangan Lim Guan Eng kesal dengan sikap pemimpin Pas Kelantan berhubung reaksi mereka terhadap isu kewangan Kelantan 'tenat'.
Katanya, kenyataan beliau mengenai pengurusan kewangan kerajaan Kelantan begitu tenat sehingga perlu bantuan kewangan daripada kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri bukanlah perkara baharu.
Jelasnya, hakikatnya perkara itu berlarutan sejak zaman BN di mana kerajaan negeri Kelantan senantiasa terdesak mencari wang untuk membayar gaji/emolumen ahli pentadbiran kerajaan Kelantan.
"Soalannya ialah mengapa tidak ada reaksi sebegitu kuat dan keras oleh barisan kepimpinan Pas ketika bekas Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak mendedahkan kepada umum pada 28 Januari 2018 bahawa kerajaan Kelantan terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan Negeri Kelantan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebaliknya, bila beliau sebagai menteri kewangan buat kenyataan yang sama, barisan kepimpinan Pas memainkan sentimen yang begitu mengapi-apikan dan membuat fitnah bahawa beliau berdendam dengan Pas sedangkan beliau hanya menyatakan hakikat bahawa Kelantan adalah sebuah negeri yang gagal dari segi urusan ekonomi kerana tidak mampu membayar gaji/emolumen kepada ahli pentadbiran Kerajaan.
"Pada 2016, Kelantan memang menerima RM398 Juta, secara keseluruhan, sebagai Pemberian (Grant) daripada kerajaan Persekutuan seperti yang diterima negeri-negeri lain dalam Persekutuan Malaysia. Termasuk di dalam pemberian RM398 Juta kepada Negeri Kelantan ini ialah pemberian defisit RM59.9 juta kerana hasil Kerajaan Negeri Kelantan tidak mencukupi untuk membayar perbelanjaannya, termasuk gaji/emolumen ahli pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan.
"Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga meminjamkan RM100 Juta dana tambahan sebagai pinjaman pendahuluan untuk menampung perbelanjaan Kerajaan Negeri," katanya.
Jelasnya, sehingga 31 Disember 2017, Kerajaan Negeri Kelantan masih belum membayar balik pinjaman pendahuluan sebanyak RM388 Juta, yang menjadikan kerajaan Negeri Kelantan penghutang terbesar pinjaman pendahuluan ini.
"Perlulah ditegaskan hanya negeri yang bermasalah dalam aspek pengurusan kewangan perlu memohon pemberian defisit dan pinjaman pendahuluan.
"Inilah latar belakang mengapa Najib membuat kenyataan secara terbuka pada Januari tahun ini bahawa Kelantan tidak mampu membayar gaji/emolumen kakitangan kerajaan negeri Kelantan sendiri dan perlu bergantung kepada bantuan Kerajaan Persekutuan. Ini adalah fakta berdasarkan angka-angka yang benar," katanya.
Jelasnya, tahun ini pula pada bulan Jun 2018, Kerajaan Negeri Kelantan sekali lagi memohon bantuan pinjaman pendahuluan daripada Kerajaan Persekutuan PH
untuk membantu membayar gaji/emolumen kakitangan Kerajaan Negeri Kelantan dan permohonan mereka telah pun diluluskan. Ini juga adalah fakta berdasarkan angka.
"Saya ingin tekankan bahawa pengurusan ekonomi dan pentadbiran kewangan perlu dijalankan berdasarkan fakta dan angka bukannya sentimen dan fitnah jahat," katanya.
Jelasnya, sukar untuk memulihkan keyakinan orang ramai dan para pelabur atau membangunkan semula sebuah negeri yang gagal sekiranya membelakangkan fakta dan angka.
"Pada masa yang sama, saya tertarik dengan reaksi keras daripada barisan kepimpinan Pas terhadap kenyataan saya, berbanding terhadap kenyataan Datuk
Seri Najib yang membuat kenyataan yang serupa sebelum ini," katanya.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.